PENYAKIT tuberkulosis (TB) atau lebih dikenali sebagai penyakit batuk kering (tibi) berlaku disebabkan oleh jangkitan kuman bakteria yang dipanggil sebagai mycobacterium tuberculosis (Mtb).
Penyakit ini boleh menyerang organ manusia seperti paru-paru, otak, tulang, buah pinggang dan kulit. Gejala utama penyakit tibi adalah batuk berpanjangan selama dua minggu atau lebih dan hilang selera makan atau turun berat badan
Sungguhpun Malaysia mempunyai kadar beban penyakit tibi yang sederhana, tetapi penyakit ini perlu diberi perhatian serius kerana negara pernah mencatatkan jumlah kes tahunan melebihi 25,000 dan merebak melalui bawaan udara. Oleh itu, pendekatan holistik iaitu hasil gabungan pendekatan bioperubatan (individu) dan sains persekitaran (komuniti) perlu diinovasikan untuk mencegah penyakit ini secara bersepadu.
Umumnya, suntikan BCG, pemeriksaan lanjut dan rawatan dalam enam bulan adalah langkah-langkah utama dalam mencegah dan merawat pesakit secara individu.
Namun, selain mengenalpasti keadaan individu, tahap risiko spatial (ruang) persekitaran di satu tempat juga perlu dilaksanakan secara menyeluruh untuk mencegah jangkitan pandemik ini.
Penyakit tibi perlu dicegah awal sebelum dirawat sempurna kerana ia boleh menyebabkan kematian. Ini juga sejajar dengan agenda utama Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) iaitu ke arah The End and Zero TB Strategy menjelang 2030.
Secara epidemiologinya, persekitaran berhubung kait terhadap penularan penyakit tibi. Dengan adanya elemen spatial ini, maka maklumat persekitaran boleh diperincikan lagi dari aspek kedudukan geografi, data ruang serta atribut yang menerangkan ciri-ciri dalam set data itu.
Konteks penularan dan patogenesis tibi adalah merentas disiplin daripada bidang yang asas (biologi molekuler) kepada bidang yang gunaan atau aplikasi (epidemiologi dan geografi).
Mekanisme penularan ini membantu untuk menentukan faktor risiko berpengaruh tempatan, khususnya indikator persekitaran biofizikal (persekitaran sesak dan sempit) dan indikator manusia (faktor genetic, imunisasi dan gaya hidup).
Dari perspektif global, taburan spatial tibi lebih ke arah negara yang berpendapatan rendah dan sedang membangun terutamanya dari Benua Afrika dan Asia.
Faktor persekitaran yang menyumbang kepada kes ini adalah lokasi kejiranan yang sangat dekat antara satu sama lain, terletak di bandar utama dan dihuni oleh kumpulan berisiko tinggi.
Kes tibi juga boleh menjadi endemik di kawasan luar bandar, tinggal berdekatan dengan tapak pantai dan perindustrian, masyarakat Orang Asli dan kawasan setinggan.
Hal ini demikian, faktor dan tahap risiko persekitaran adalah berbeza dan dinamik mengikut keadaan sesuatu kawasan berkenaan. Oleh itu, faktor risiko bawaan manusia dan persekitaran perlu digabungkan untuk mendapatkan profil spatial persekitaran yang realistik.
Dalam konteks tempatan, contoh kajian tibi di Shah Alam mempunyai ciri-ciri geografi sama seperti berlaku di negara-negara yang mempunyai beban tibi yang tinggi di dunia.
Namun tahap risikonya adalah berbeza mengikut faktor persekitaran dan zon kawasan. Tujuh faktor risiko tersebut berdasarkan kawasan tumpuan pergerakan pesakit, keberadaan kumpulan berisiko, status sosio-ekonomi dalam sebuah rumah, bilangan orang dalam rumah, jenis rumah, jarak dari kilang dan kawasan bandar.
Setiap faktor ini memberikan kadar risiko yang berbeza terhadap penularan tibi, tetapi gabungan faktor-faktor ini akan memberikan impak yang lebih besar kepada keseluruhan penumpuan risiko.
Kesimpulannya, spatial epidemiology (SE) adalah satu bidang yang penting untuk kita memahami dengan tepat tingkah laku dan fenomena penyakit tibi tempatan sekali gus meningkatkan pengesanan kontak atau kes penyakit ini.
* Ts Gs Dr Abdul Rauf Abdul Rasam ialah Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Sains Ukur dan Geomatik, Fakulti Senibina Perancangn dan Ukur (FSPU), UiTM Shah Alam
Klik di sini untuk terus membaca