CAKAP memang senang tapi untuk melaksanakannya tidaklah semudah yang diucapkan.
Perhimpunan Agung UMNO menutup tirainya Sabtu lalu dengan laungan ‘Nak tunggu apa lagi...’ iaitu gesaan agar disegerakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Daripada Presiden UMNO sehinggalah kepada para perwakilan semuanya mahukan perkara yang sama.
Jika diukur dari sudut kemenangan besar Barisan Nasional (BN) di Melaka dan Johor, kehendak pemimpin dan ahli-ahli UMNO itu sangat-sangat difahami.
Momentum tengah laju kenapa harus berhenti di sini, sementara semangat dan kekuatan sedang berada di puncak.
Dari satu sudut yang lain, moral parti-parti pembangkang sedang berada pada tahap yang paling rendah.
Dalam perang pun, kalau hendak serang musuh, seranglah ketika kedudukan dan moral mereka sedang jatuh bukan ketika semangat mereka sedang berkobar-kobar.
Cuma masalahnya, kata putus sama ada Dewan Rakyat patut dan perlu dibubarkan sekarang tidak terletak di tangan dan kaki para perwakilan serta pemimpin UMNO. Bola berada di kaki Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Keadaan ini sangatlah ironi dan pelik kerana bola berada di kaki seorang naib presiden bukannya presiden.
Tapi apa nak buat, kerana telah tertulis, presiden parti sekarang bukan Perdana Menteri. Belum pernah berlaku lagi dalam sejarah situasi sebegini tapi sejarah telah tertulis demikian.
Namun, Perdana Menteri dalam penggulungannya selaku Naib Presiden UMNO pada Perhimpunan Agung tidak tergopoh-gapah atau terdesak untuk membuat keputusan sekadar hendak memuaskan hati para perwakilan.
Beliau sebaliknya menjawab desakan mereka dengan penuh diplomatik iaitu apa jua keputusan berkaitan PRU15 akan hanya diputuskan selepas berbincang dengan para pemimpin tertinggi parti.
"Dua kemenangan besar dalam Pilihan Raya Negeri membuat kita menjadi lebih bersemangat untuk berjuang sehingga timbul permintaan supaya Parlimen dibubarkan segera.
"Saya mendengar cadangan pembahas-pembahas mengenai pembubaran Parlimen. Saya beri jaminan keputusan besar ini akan dibincangkan dengan lima pemimpin tertinggi parti (Presiden, Timbalan Presiden dan Naib-Naib Presiden),” tegasnya.
Terdapat dua perkara utama yang ditekankan beliau dalam ucapannya iaitu pertama beliau mendengar suara para perwakilan yang mahukan PRU segera dan perkara kedua ialah ini merupakan satu keputusan yang besar.
Ini kerana sementara para perwakilan mahukan kehendak mereka dipenuhi, satu perkara lagi yang perlu dipertimbangkan adalah apabila keputusan telah dibuat, ia tidak boleh ditarik balik.
Sekali lagi, sebagai Perdana Menteri, beliau perlu membuat keputusan dan beliau telah menyatakan dengan jelas bahawa ini adalah satu keputusan yang besar.
Sebaik sahaja beliau membuat keputusan untuk membubarkan parlimen, pada saat seterusnya, beliau tidak lagi memiliki apa-apa keistimewaan dan kuasa seorang Perdana Menteri.
Beliau tidak boleh menentukan hala tuju dan keputusan parti kerana beliau bukanlah presiden parti.
Sebaliknya beliau akan kembali sebagai seorang naib presiden parti sahaja. Ini juga satu perkara yang besar dan jika kita berada di kedudukan Ismail Sabri, kita juga akan faham mengapa beliau perlu benar-benar bersedia untuk melakukannya.
Pada masa yang sama, jangan lupa, Perdana Menteri juga perlu berunding dengan rakan-rakan kongsi di peringkat persekutuan iaitu Perikatan Nasional (PN) dan juga rakan-rakan di Sabah dan Sarawak.
Mereka tidak boleh diabaikan atau diketepikan begitu sahaja hanya kerana UMNO telah menang besar.
Namun yang paling kritikal dan penting ialah, pandangan dan nasihat Yang di-Pertuan Agong.
Sama ada Seri Paduka Baginda berkenan dan bersetuju dengan syor ini masih belum diketahui. Boleh jadi jawapannya ‘Ya’ dan boleh jadi juga ‘Tidak’.
Orang lupa, yang bertemu dengan Yang di-Pertuan Agong setiap minggu bukanlah Presiden UMNO atau presiden mana-mana parti politik tetapi Perdana Menteri.
Jadi pada akhirnya, hanya Perdana Menteri dan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang tahu dan pasti bila waktu yang sesuai untuk diadakan pilihan raya. Yang lain-lain, sekadar tunggu dan lihat sahajalah.
*Rozaid Rahman ialah Ketua Pengarang Kumpulan dan Ketua Pegawai Pengisian Sinar Harian
Klik di sini untuk terus membaca