KEADAAN cuaca di Malaysia semakin tidak menentu dan di luar jangkaan. Natijahnya, perubahan iklim menyebabkan negara berisiko dilanda pelbagai bentuk bencana yang semakin kerap, khususnya banjir, tanah runtuh dan ribut kencang. Bencana alam... Klik di sini untuk terus membaca

KEADAAN cuaca di Malaysia semakin tidak menentu dan di luar jangkaan. Natijahnya, perubahan iklim menyebabkan negara berisiko dilanda pelbagai bentuk bencana yang semakin kerap, khususnya banjir, tanah runtuh dan ribut kencang.

Bencana alam adalah kejadian yang berlaku tanpa campur tangan manusia. Dalam banyak kes, manusia bertanggungjawab terhadap keseriusan sesuatu bencana alam kesan penyelewengan teknikal, kelalaian atau akibat pe-rancangan pembangunan tidak lestari.

Malaysia dijangka terus berdepan situasi bencana alam luar biasa yang lebih kerap pada masa akan datang, selain berlaku di kawasan yang langsung tidak dijangka. Tiada siapa menyangka daerah Jelebu, Negeri Sembilan yang direkodkan sebagai kawasan paling kering pun boleh dilanda banjir luar biasa. Justeru, insurans perlindungan akibat bencana alam kini menjadi keperluan yang tidak boleh dikesampingkan seperti insurans perlindungan pinjaman dan kenderaan.

Bencana memperlihatkan kita tentang kerugian terpaksa ditanggung mangsa akibat kemusnahan harta benda termasuk tempat tinggal dan juga kenderaan yang ditenggelami banjir. Rakyat Malaysia harus faham bahawa mereka mempunyai tanggungjawab mendapatkan per-lindungan mencukupi dan tepat untuk aset mereka berdasarkan kemampuan.

Namun, masih ramai isi rumah di Malaysia tidak mengambil insurans caruman perlindungan bencana alam. Hakikatnya, perlindungan itu sememangnya sudah lama ditawarkan tetapi ramai tidak melanggannya disebabkan premium tambahan yang perlu dijelaskan.

Selain itu, kadar pengambilan perlindungan bencana yang rendah disebabkan ramai berpendapat faktor geografi Malaysia bukan dalam jajaran bencana alam seperti kebanyakan negara lain.

Allianz General melaporkan hanya 11 peratus atau dalam 123,000 daripada 1.11 juta pelanggan memilih perlindungan peril khas dalam perlindungan komprehensif kereta persendirian pada 2021. Bagaimanapun, susulan banjir besar tahun lalu, syarikat itu telah menyaksikan kadar pengambilan 22 peratus dari 68,000 pelanggan (baharu dan pembaharuan) antara 1 hingga 17 Januari lalu.

Terdapat beberapa syarikat insurans di Malaysia yang menawarkan insurans bencana alam merangkumi banjir, tanah runtuh dan lain-lain. Special Perils Coverage adalah satu bentuk perlindungan insurans untuk kenderaan akibat daripada bencana alam. Ia termasuk banjir, ribut taufan, tanah runtuh atau pokok tumbang.

Sekiranya kenderaan kita terlibat dalam mana-mana musibah berkaitan bencana alam, maka kita tidak perlu lagi pening kepala untuk membelanjakan wang daripada poket sendiri bagi membaiki kenderaan tersebut kerana semuanya ditanggung oleh pihak insurans.

Secara keseluruhannya, kadar perlindungan untuk special perils tidak melebihi satu peratus, malah ada menawarkan serendah 0.2 peratus dan ada setinggi 0.5 peratus. Oleh sebab kiraannya adalah berdasarkan jumlah keseluruhan perlindungan kenderaan, secara asasnya semakin mahal kenderaan itu, semakin tinggi juga jumlah perlu dibayar untuk insurans tersebut.

Jika nilai semasa perlindungan kereta adalah RM50,000 dan anda mengambil insurans untuk mendapatkan Special Perils Coverage, jumlah perlu ditambah hanyalah sekitar 0.2 peratus iaitu sebanyak RM100 bersama insurans kereta tahunan yang dilanggan. Insurans bencana alam untuk rumah pula melindungi dua perkara penting iaitu bangunan rumah dan harta benda yang ada di dalam rumah.Ringkasnya, insurans bencana bermatlamat mengurangkan kerugian dan memulihkan kehidupan serta perniagaan mangsa bencana. Dianggarkan antara RM2 hingga RM3 bilion tuntutan berkaitan banjir diterima industri insurans am susulan bencana banjir melanda beberapa negeri pada penghujung tahun lalu.

Maka, adalah berbaloi mengambil Special Perils Coverage yang ditawarkan syarikat insurans kerana ia bukan sahaja dapat melindungi kos kerosakan akibat banjir, malah bencana alam seperti tanah runtuh atau pokok tumbang yang menimpa kereta kita walau di mana kita berada selagi kita mengambil insurans tambahan bencana alam.

*Profesor Madya Dr Haliza Abdul Rahman ialah Ketua Laboratori Belia Dalam Kepimpinan, Politik dan Kewarganegaraan Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS) Universiti Putra Malaysia

Klik di sini untuk terus membaca