PERANG di Ukraine hari ini adalah gabungan dua jenis konflik yang telah melalui evolusinya tersendiri. Dalam kalangan pemikir ketenteraan, konflik yang berlaku itu adalah gabungan dua jenis perang yang diklasifikasikan sebagai perang... Klik di sini untuk terus membaca

PERANG di Ukraine hari ini adalah gabungan dua jenis konflik yang telah melalui evolusinya tersendiri. Dalam kalangan pemikir ketenteraan, konflik yang berlaku itu adalah gabungan dua jenis perang yang diklasifikasikan sebagai perang generasi keempat dan kelima.

Klasifikasi itu merujuk kepada aplikasi sistem persenjataan, doktrin, taktik dan teknologi digunakan pihak-pihak bertelagah untuk mencapai kemenangan ke atas lawan. Perang generasi keempat mempunyai sifat tidak berpusat, tiada garis pemisah yang jelas antara perang dan politik, tentera serta masyarakat awam manakala kebanyakan negara akan hilang monopoli kawalan terhadap pasukan bersenjata nasionalnya.

Perang generasi kelima pula dilaksana melalui apa yang dipanggil non-kinetic warfare (NKW). Ia berbeza dengan perang tradisional yang dikenali sebagai kinetic warfare (KW).

KW adalah cara tradisional dengan pihak bertelagah mengguna kaedah melontarkan peluru, roket dan bahan letupan konvensional untuk menyebabkan kemusnahan fizikal terhadap aset, infrastruktur serta pasukan musuh.

NKW pula menggunakan kaedah logik, psikologi, elektromagnetik, rangkaian komputer, teknologi kecerdasan buatan dan sistem berautonomi yang akan menyerang pemikiran, persepsi, kesahihan maklumat serta keutuhan mental musuh apabila berdepan konflik.Ia juga mempunyai bentuk fizikal yang merupakan platform fizikal elektromagnetik dan rangkaian komunikasi, sama ada dicipta khusus untuk pihak tentera atau media capaian umum global.

Konflik di Ukraine menyaksikan bagaimana kedua-dua versi perang itu digunakan serentak. Sehingga penghujung Mac, Ukraine dilihat lebih berjaya dalam gabungan penggunaan KW dan NKW bagi menghalang tentera Rusia yang memiliki kelebihan anggota serta aset daripada menawan Ukraine dengan mudah.

Satu elemen NKW digunakan dengan jayanya oleh Ukraine adalah untuk menghapuskan kepimpinan tertinggi tentera darat Rusia. Sehingga Mac, empat Jeneral Rusia telah berjaya dibunuh. Ia bukan sesuatu yang mudah dicapai dalam perang moden. Antara yang terbunuh ialah Mejar Jeneral Vitaly Gerasimov. Beliau Ketua Staf pasukan Russian 41st combined army dan mempunyai pengalaman luas dalam taktik serta strategi perang. Beliau pernah terlibat dalam Perang Chechen Kedua, Perang Syria dan penaklukan wilayah Crimea dari Ukraine.

Banyak pihak percaya pembunuhan pegawai-pegawai tinggi Rusia bukanlah kematian biasa di garis hadapan atau kemalangan tetapi merupakan hasil operasi khas tentera Ukraine. Untuk mengetahui pergerakan dan kedudukan sebenar seorang jeneral ketika perang bukanlah mudah dalam mana-mana pasukan tentera global. Apa yang membolehkan musuh mengetahui maklumat itu adalah sekiranya sistem komunikasi dalam kalangan pegawai dan anggota dapat dibolosi serta dimanipulasi musuh.

Di sinilah NKW memainkan peranan kritikal. Banyak pihak percaya ramai anggota dan pegawai tentera Rusia menggunakan sistem telefon peribadi yang mempunyai liputan luas serta mudah capaian isyaratnya. Penggunaan sistem komunikasi analog atau sistem digital khas ketenteraan yang mempunyai sistem enkripsi mudah diceroboh atau dipintas telah memudahkan pihak Ukraine menjejak pergerakan pegawai-pegawai tinggi Rusia di medan tempur.

Perkara yang berlaku itu adalah satu iktibar buat ATM mengenai keberkesanan, kemampuan dan keselamatan sistem pengawasan elektronik serta komunikasi sekiranya negara terlibat dalam konflik bersenjata dengan entiti menggunakan kaedah perang NKW.

Sistem komunikasi elektronik bersepadu seperti GIRN yang diguna pakai lebih 14 agensi di seluruh negara termasuk ATM perlu dipertingkat agar ciri-ciri keselamatannya terbukti berkesan daripada mudah diceroboh pihak lain.

Pihak berwajib perlu membuat penilaian berkala bagi memastikan sistem GIRN setidak-tidaknya mempunyai keupayaan hibrid yang dibangunkan pihak tempatan sekiranya pembuat asal atau Original Equipment Manufacturer dari luar negara tidak lagi menyokong sistem atau tidak bersikap neutral dalam sesuatu konflik melibatkan negara ini.

Konsesi 20 tahun diberi kerajaan kepada firma tempatan bagi mengendalikan sistem GIRN sepatutnya memberi cukup masa dan dana bagi firma itu membangunkan sistem tempatan yang setara atau lebih baik, selamat dan kalis ceroboh. Persoalan yang perlukan jawapan - adakah GIRN akan lumpuh sebaik tembakan pertama dilepaskan di medan tempur?

* Muhammad Fuad Mat Noor ialah penganalisis pertahanan dan pernah menerima anugerah Wartawan Terbaik oleh Kementerian Pertahanan Malaysia pada tahun 2003, 2004, 2006 dan 2007

Klik di sini untuk terus membaca