DUBAI - Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan kumpulan bantuan antarabangsa memberi amaran tentang akibat yang dahsyat bakal dihadapi Yemen selepas rayuan sumbangan gagal meraih dana yang diperlukan untuk mengelakkan bencana... Klik di sini untuk terus membaca

DUBAI - Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan kumpulan bantuan antarabangsa memberi amaran tentang akibat yang dahsyat bakal dihadapi Yemen selepas rayuan sumbangan gagal meraih dana yang diperlukan untuk mengelakkan bencana kemanusiaan di negara bergolak itu.

Krisis kemanusiaan terburuk tersebut kini seolah-olah dilupakan kerana dunia sedang memberi tumpuan kepada krisis Ukraine yang dikhuatiri akan memburukkan lagi situasi di Sanaa.

Menurut kumpulan bantuan, keadaan dijangka menjadi semakin meruncing selepas kempen pencerobohan Rusia kerana Yemen bergantung penuh terhadap import dari Kiev yang menghasilkan hampir satu pertiga daripada bekalan gandum kepada negara itu.

PBB menyuarakan kekecewaan selepas persidangan pada minggu lalu gagal memperoleh lebih satu pertiga daripada jumlah sasaran dana untuk membantu 17.3 juta penduduk yang memerlukan di Sanaa.

Pertubuhan tersebut berulang kali memberi amaran agensi bantuan kini berdepan kekurangan dana hingga memaksa mereka mengurangkan program ‘menyelamatkan nyawa’.

"Isu kekurangan dana akan mengakibatkan keperluan orang ramai tidak dapat dipenuhi. Ramalan bagi mengatasi krisis tersebut pada tahun depan kelihatan suram buat Yemen. Ia adalah situasi paling gelap yang dihadapi negara itu,” kata wakil penduduk Program Pembangunan PBB ke Yemen, Auke Lootsma.

Pertelingkahan antara kerajaan diiktiraf negara antarabangsa yang disokong pakatan Arab diketuai Riyadh dan kumpulan pemberontak Huthi telah menjerumuskan negara itu ke ambang kebuluran.

Program Makanan Sedunia (WFP) mendakwa tahap risiko kelaparan akan menjadi bencana apabila krisis Ukraine menyebabkan kenaikan harga makanan.

Jurucakap WFP untuk rantau Asia Barat dan Afrika Utara, Abeer Etefa berkata, catuan makanan di Sanaa untuk lapan juta penduduk telah dikurangkan tahun ini, manakala kira-kira lima juta yang lain yang kekal dengan catuan penuh berisiko kebuluran walaupun sebelum krisis Ukraine tercetus.

Yemen bergantung penuh terhadap import dari Ukraine yang menghasilkan hampir satu pertiga daripada bekalan gandum kepada negara itu.

"Dana yang dijanjikan berjumlah AS$1.3 bilion (RM5.4 bilion) berbanding rayuan asal berjumlah lebih AS$4 bilion (RM16.8 bilion) sememangnya amat mengecewakan. Kami mengharapkan lebih banyak bantuan terutamanya dari negara di rantau ini.

"Kita boleh menyelamatkan jutaan nyawa jika bertindak sekarang,” tegasnya.

Sementara itu, Pengarah Majlis Pelarian Norway, Erin Hutchinson menyelar sikap beberapa negara jiran Yemen yang turut terlibat dalam konflik itu, namun tidak menyalurkan sebarang dana untuk 2022.

"Lebih banyak bantuan diperlukan tahun ini berbanding 2021. Ramai lagi akan terkorban dalam bencana kemanusiaan tersebut,” katanya.

Ketika persidangan itu, wakil dari Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) menekankan tentang keperluan untuk menghentikan gerakan pemberontakan Huthi yang didakwa menghalang dan menyeleweng bantuan.

Riyadh turut menjelaskan ia telah menyumbang lebih AS$19 bilion (RM80 bilion) untuk bantuan dan program pembangunan di Sanaa sejak beberapa tahun lalu.

Penyelidik di University of Oxford, Elisabeth Kendall berpendapat, negara gabungan Arab lebih selesa mengawal sendiri aliran dana disalurkan ke Yemen berbanding menyerahkannya kepada PBB kerana enggan ia jatuh ke tangan pihak yang salah. - AFP


Info:

- Kira-kira 80 peratus daripada kira-kira 30 juta populasi di Yemen bergantung kepada bantuan untuk meneruskan hidup selepas negara itu terjerumus dalam konflik yang berlarutan selama tujuh tahun.

- Sehingga 19 juta penduduk di Sanaa dijangka memerlukan bantuan makanan pada suku kedua 2022.

- Rayuan dana asal PBB berjumlah AS$4.27 bilion (RM18 bilion), namun hanya sepertiga diraih selain beberapa negara penyumbang utama pada tahun lalu 'hilang'.


Klik di sini untuk terus membaca