PRESIDEN Amerika Syarikat (AS), Joe Biden telah berjanji untuk membantu Ukraine bagi mendapatkan sistem pertahanan peluru berpandu yang lebih baik berbanding dengan senjata peluru berpandu Stinger. Peluru berpandu Stringer buatan AS itu... Klik di sini untuk terus membaca

PRESIDEN Amerika Syarikat (AS), Joe Biden telah berjanji untuk membantu Ukraine bagi mendapatkan sistem pertahanan peluru berpandu yang lebih baik berbanding dengan senjata peluru berpandu Stinger.

Peluru berpandu Stringer buatan AS itu digunakan dengan meletakkan pelancarnya di atas bahu tetapi jarak sasarannya masih lagi terhad dan ia tidak bergerak terlalu jauh.

Namun, Ukraine kini mencari senjata antipeluru berpandu yang kuat yang sangat dan mudah untuk dikendalikan oleh askar-askarnya.

Presiden AS itu mahu memberikan sokongan kepada Ukraine dari segi bantuan peralatan ketenteraan tanpa terlibat secara langsung dengan konflik Rusia.

Persenjataan yang ideal dianggap boleh membantu Ukraine adalah peralatan senjata antipesawat mudah alih jenis Patriot yang keberkesanannya telah ditunjukkan dalam beberapa tahun kebelakangan ini di Iraq dan Teluk Parsi.

Bagaimanapun, masih belum jelas adakah sistem pertahanan udara Patriot itu dapat memberikan pertahanan yang efektif terhadap peluru berpandu baharu milik Rusia dalam Perang Ukraine.

Kementerian Pertahanan Rusia menyatakan pada Sabtu lalu bahawa ia telah menggunakan buat pertama kalinya, peluru berpandu hipersonik 'Kinzhal' untuk memusnahkan depot senjata bawah tanah di barat Ukraine pada Jumaat lalu.

Sistem pertahanan udara Patriot buatan AS boleh dibawa dengan menggunakan trak, mempunyai radar yang mampu mengesan dan memintas pesawat, dron atau peluru berpandu dalam radius lebih dari 100 kilometer.

Ia boleh dikendalikan oleh tiga anggota tentera dan dilengkapi pula dengan sejumlah peluru berpandu.

Namun, peluru berpandu hipersonik boleh terbang lebih jauh dan lebih pantas daripada peluru berpandu tradisional.

Tambahan pula, tentera Ukraine pada masa kini tidak dilatih untuk menangani sistem Patriot AS yang canggih.

Sebaliknya, tentera Ukraine tahu bagaimana untuk mengendalikan sistem antipesawat S-300 buatan Kesatuan Soviet tetapi jangkauan sasarannya adalah terhad tetapi mampu untuk melindungi bandar Kharkiv atau Kiev yang dekat dengan sempadan Rusia.

Peluru berpandu hipersonik yang dipasang pada jet tempur MiG-31 telah digunakan oleh tentera Rusia di Ukraine. - Foto AFP

Sistem antipesawat S-300 ialah sistem antiudara dan antipeluru berpandu yang popular di kalangan bekas negara Pakatan Warsaw di Eropah Timur kerana kosnya yang rendah dan keberkesanannya yang tinggi.

Senjata itu dihantar ke Ukraine dari Slovakia dan Bulgaria yang mana Setiausaha Pertahanan AS, Lloyd Austin telah berkunjung ke negara-negara tersebut sebelum ini.

Bagaimanapun, negara-negara tersebut masih bergantung kepada sistem pertahanan antipesawat itu untuk keselamatan dan menuntut pengganti dengan kata lain sistem pertahanan udara Patriot sebelum membekalkannya kepada Ukraine.

Baru-baru ini, Belanda menyatakan bahawa ia akan menghantar sistem pertahanan udara Patriot ke pangkalan tenteranya di Slovakia tengah manakala Jerman mengesahkan ia akan menghantar peralatan senjata sistem pertahanan Patriot ke negara Slovakia.

Ia akan dapat memudahkan pemindahan sistem pertahanan antipesawat S-300 milik Slovakia ke Ukraine.

Sungguhpun begitu, sistem pertahanan antipesawat Patriot milik Jerman dan Belanda itu tidak akan tiba di Slovakia dengan segera.

Belanda menjangkakan penghantaran akan dilakukan paling awal ialah pada 15 April depan.

Walaupun beberapa negara mungkin membekalkan Kiev dengan sistem pertahanan antipesawat bagi menggantikan S-300, Ukraine memerlukan banyak sistem peralatan senjata yang lengkap termasuk radar dan stesen pemantauan.

"(Mempunyai) satu sistem peralatan S-300 adalah lebih baik daripada tiada," kata Brent Eastwood iaitu editor sebuah majalah pertahanan di internet.

"Namun, ia masih belum cukup," katanya seperti dilaporkan AFP.

Ukraine mempunyai kira-kira 100 sistem pertahanan antipesawat S-300 sebelum Presiden Rusia, Vladimir Putin melancarkan pencerobohannya pada bulan lalu dan tentera Rusia mengaku telah memusnahkan kira-kira 40 peralatan senjata tersebut, katanya yang merupakan bekas anggota tentera AS.

Ukarine merupakan sebuah negara yang luas dan ia memerlukan banyak sistem pertahanan S-300.

"Sekiranya saya adalah perancang perang untuk Ukraine, saya mahukan empat sistem pertahanan S-300 untuk setiap kuadran Kiev. Ia akan membuatkan saya tidur lebih lena pada waktu malam," katanya.

Sebuah negara Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) iaitu Greece mempunyai sistem pertahanan antipesawat S-300 tetapi ia juga perlu ditawarkan dengan pengganti jika mahu dihantar ke Ukraine.

Namun, walaupun AS memutuskan untuk meminjamkan sistem pertahanan udara Patriotnya ke negara-negara ini, ia akan memerlukan masa beberapa minggu untuk sampai ke destinasinya.

Washington berusaha meyakinkan sekutu-sekutu di wilayah lain untuk meminjamkan sistem pertahanan udara masing-masing kepada Ukraine tetapi ia tidak mudah dilakukan.

Ketua Staf Tentera AS, Jeneral Mark Milley mungkin meminta bantuan Jepun.

Beliau telah menelefon rakan sejawatannya dari Jepun baru-baru ini membincangkan persekitaran keselamatan semasa di Pasifik dan pencerobohan Rusia yang berterusan ke Ukraine.

Negara-negara Teluk juga mempunyai banyak sistem pertahanan antipesawat untuk melindungi negara masing-masing dari peluru berpandu Iran.

Namun, negara-negara tersebut nampaknya tidak tergesa-gesa untuk membantu Ukraine.

Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu yang merupakan antara pengeksport minyak mentah terbesar di dunia dan kedua-duanya mempunyai hubungan yang kuat dengan Barat dan Moscow tetapi setakat ini mengelak untuk mengambil sikap menentang Rusia. - Agensi

Klik di sini untuk terus membaca