MENYINGKAP sejarah penubuhan UMNO pada 11 Mei 1946, parti itu tidak pernah lari daripada krisis dalaman dan perpecahan ahli sehinggakan pengasasnya, Datuk Onn Jaafar serta tiga bekas Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Tun... Klik di sini untuk terus membaca

MENYINGKAP sejarah penubuhan UMNO pada 11 Mei 1946, parti itu tidak pernah lari daripada krisis dalaman dan perpecahan ahli sehinggakan pengasasnya, Datuk Onn Jaafar serta tiga bekas Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Tun Hussein Onn dan Tun Dr Mahathir Mohamad bertindak keluar parti.

Bahasa mudahnya, UMNO sebagai sebuah parti tertua di Malaysia, tidak pernah lari daripada gelora pergolakan dalaman, namun tidak pernah goyah dalam meraih sokongan rakyat.

Merujuk peristiwa kekalahan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), ramai sebenarnya tidak menyangka UMNO mampu bangkit dalam masa tidak sampai tiga tahun.

Menariknya, pada saat UMNO berdepan krisis kepimpinan dengan Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan seorang lagi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak terpalit dengan begitu banyak kes mahkamah, UMNO masih mampu mengambil alih jawatan Perdana Menteri malah menawan semula beberapa negeri dari tangan lawan.

Paling ketara, segala ramalan kononnya UMNO-BN bakal dihukum kerana mengambil alih Putrajaya menerusi 'pintu belakang', ternyata meleset.

Pada dua Pilihan Raya Negeri (PRN) di Melaka dan Johor, UMNO-BN bukan sekadar menang malah menang besar dengan majoriti dua pertiga.

Ismail Sabri (kiri) bersama Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (tengah), Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan (dua dari kiri) serta dua lagi Naib Presiden, Datuk Seri Mahdzir Khalid (dua dari kanan) dan Datuk Seri Mohamed Khalid Nordin (kanan) pada PAU 2021 di WTCKL pada Sabtu.


Ketika di puncak krisis dalaman UMNO yang menyaksikan parti itu terbahagi kepada Team A dan Team B pada 1987 sekaligus membawa kepada pengharamannya, UMNO masih tetap bangkit dari abu dan mampu mempertahankan kekuasaan dan pengaruhnya.

Krisis dalaman ini sekali lagi diuji dengan pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1997 yang mana kali ini membawa kepada gelombang reformasi namun kerajaan yang dipimpin oleh UMNO-BN tetap tidak goyah dibadai ribut dan ombak besar.

Justeru, jika meneliti episod pertembungan dalaman UMNO, parti itu ternyata amat matang dalam menguruskan krisis dalaman, biarpun gelora di dalam bahtera UMNO itu sendiri sebenarnya boleh 'dihidu' pihak musuh dan rakyat.

"Itu hebatnya UMNO, ia sebuah parti lama, besar dan penuh strategi. Pada saat pemimpin berebut-rebut bersaing untuk jawatan parti dan kerajaan, UMNO menguruskan krisis sesama mereka dengan amat berhati-hati.

"Sebagai sebuah parti yang ada akar umbi yang besar, UMNO sememangnya sangat teratur dari segi pentadbiran dan gerakan jenteranya, sama ada di peringkat cawangan, bahagian, negeri mahupun Pusat," kata Pensyarah Kanan Fakulti Teknologi dan Informatik Razak, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Mazlan Ali.

Setelah Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengambil alih jawatan Perdana Menteri pada Ogos tahun lalu, ramai berpandangan, Perhimpunan Agung (PAU) 2021 yang baru berlalu adalah medan pertembungan di antara 'kem Putrajaya' yang diketuai oleh Ismail Sabri dan 'kem PWTC' pimpinan Ahmad Zahid dan timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan atau Tok Mat.

"Dari awal kita dapat lihat pemimpin kem PWTC mula 'mengasak' kem kerajaan, dimulakan dengan Tok Mat menuntut PRU15 diadakan dengan segera dan diikuti dengan tiga ketua sayap parti. Perkara itu disusuli pula dengan ucapan dasar Presiden.

"Namun, pandangan itu disanggah bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin, diikuti komen pemimpin 'otai' parti itu seperti Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz dan Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman yang mengkritik Presiden dan Tok Mat.

"Berdasarkan situasi itu, kita dapat lihat pemimpin-pemimpin yang berada di belakang Perdana Menteri, tidak boleh dipandang rendah, sekali gus menyebabkan momentum PAU berubah menjadi lebih seimbang," ujar Mazlan.

Satu lagi titik perubahan momentum pada PAU 2021 yang menarik untuk dikupas adalah bagaimana Ismail Sabri memanfaatkan peluang berucap dalam persidangan itu dengan membentangkan kisah-kisah kejayaan yang sedang dan akan dicapai oleh kerajaan pimpinannya.

Perdana Menteri yang juga Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (dua dari kiri) bersama Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (kiri) pada PAU 2021 di WTC KL pada Jumaat. - Foto Bernama

Hal itu dibuktikan melalui 90 peratus kandungan ucapan Ahli Parlimen Bera itu berkisar kepada kejayaan kerajaan meluluskan pengeluaran khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), pengurusan Covid-19 yang diiktiraf antara terbaik di dunia, keputusan untuk melaksanakan gaji minimum RM1,500, isu penyelesaian siasatan ke atas aset Tabung Haji dan kestabilan kerajaan hasil perjanjian persefahaman (MoU) gencatan politik dengan pembangkang.

"Ucapan Perdana Menteri pada PAU 2021 bukan sahaja membuka minda perwakilan terhadap keperluan UMNO mendepani PRU15 dengan penuh pertimbangan berbekalkan sokongan tertinggi rakyat.

"Beliau juga memberi isyarat kepada mereka bahawa kerajaan pimpinannya masih memerlukan masa untuk menjayakan segala perancangan yang telah dibuat. Jika tidak, UMNO akan terima padah pada PRU15," kata Mazlan.

Di sebalik kejayaan Ismail Sabri dan kem Putrajaya mengimbangi tekanan tuntutan pelaksanaan PRU15 segera oleh akar umbi UMNO, beliau masih berdepan cabaran besar untuk menjayakan setiap agenda kerajaan yang dijanjikan.

Cabaran besar itu termasuklah keperluan untuk memastikan Akta Anti Lompat Parti 2021 diluluskan segera sebelum tempoh MoU bersama pembangkang berakhir pada Julai ini.

Klik di sini untuk terus membaca