SHAH ALAM - Muafakat Nasional (MN) masih boleh diselamatkan walaupun ada beberapa perwakilan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) yang mendesak parti terbesar Melayu itu menamatkan kerjasama dengan Pas.
Felo Penyelidik Pusat Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL), Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berkata, menjadi satu kerugian sekiranya MN tidak dipertahankan kerana gabungan tersebut mampu untuk menyatukan pengundi-pengundi Melayu.
Namun, beliau berkata, Pas ketika ini memainkan peranan penting bagi menyelamatkan MN dengan meninggalkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan kembali bekerjasama dengan UMNO.
"Untuk jangka masa panjang, saya melihat Pas dan UMNO memerlukan satu sama lain untuk mendapatkan kemenangan di kawasan sasaran mereka.
"Kalau gabungan penyokong UMNO dan Pas ini bergerak sejajar, maka ia boleh menjadi satu fokus yang besar pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
"Pas perlu realistik apatah lagi PH dijangka akan membuat kerjasama dengan parti pembangkang yang lain. Adakah Pas akan sanggup bersama DAP atau Parti Amanah Negara (Amanah) dalam kerjasama itu nanti?
"Jadi, sekiranya Pas tidak berjiwa besar dan tidak mengambil langkah awal, maka kekecewaan dari segi keputusan akan berlaku pada PRU nanti.
"Mereka (Pas) tidak perlu memikirkan tentang kuasa dan jawatan yang ada pada masa sekarang dan meninggalkan Bersatu untuk menyelamatkan MN,” katanya kepada Sinar Harian.
Pada PAU yang berakhir pada Sabtu lalu, ramai perwakilan yang mendesak UMNO untuk memutuskan hubungan dengan Pas.
Bagaimanapun, kepimpinan UMNO berpendirian sebaliknya dan menegaskan pintu rundingan masih terbuka untuk menyelamatkan MN.
Dalam pada itu, Awang Azman mengakui kedua-dua parti berkenaan ketika ini terluka antara satu sama lain, namun masih ada ruang untuk MN bertahan sekiranya Pas dan UMNO boleh kembali duduk berbincang sekali gus mencapai kata sepakat.
Klik di sini untuk terus membaca