SHAH ALAM - Pakar ekonomi tidak bersetuju jika ada pihak yang berpandangan bahawa keputusan kerajaan membenarkan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) baru-baru ini akan menyebabkan rakyat jatuh miskin ataupun sengkek pada masa... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Pakar ekonomi tidak bersetuju jika ada pihak yang berpandangan bahawa keputusan kerajaan membenarkan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) baru-baru ini akan menyebabkan rakyat jatuh miskin ataupun sengkek pada masa akan datang.

Pakar Ekonomi dari University College i CATS, Kuching, Profesor Datuk Dr Shazali Abu Mansor berkata, ia berikutan pandangan berkenaan tidak optimistik dan merupakan satu spekulatif yang tidak semestinya berlaku.

Menurutnya, pengeluaran KWSP itu sekurang-kurangnya dapat memberikan kelegaan kepada golongan yang terkesan akibat pandemik Covid-19 dan bencana banjir baru-baru ini.

"Saya tidak setuju jika ada pihak yang mengatakan sengkek akan datang. Mungkin mereka akan lebih baik kerana menggunakan duit itu ke jalan yang betul.

"Mungkin mereka gunakan duit itu untuk pendidikan anak-anak, keperluan rumah atau mungkin mereka yang sebelum ini telah dibuang kerja. Sebab itulah masing-masing mengharapkan duit KWSP ini dapat dikeluarkan.

"Jika tidak dibenarkan pengeluaran tersebut, banyak lagi masalah sosial ekonomi yang akan berlaku kepada mereka,” katanya pada program Wacana Sinar Edisi ke-331 bertajuk ‘KWSP: Gembira Hari Ini, Sengkek Kemudian’ yang bersiaran di semua platform Sinar Harian, pada Selasa.

(Kiri atas) Ismail, Dr Shazali, Dr Madeline (kiri bawah) dan Amirhamzah pada program Wacana Sinar Edisi ke-331 bertajuk ‘KWSP: Gembira Hari Ini, Sengkek Kemudian’ yang bersiaran di semua platform Sinar Harian, pada Selasa.

Program yang dimoderatorkan Ismail Adnan itu turut menampilkan Penganalisis Ekonomi, Datuk Dr Madeline Berma dan Yang Dipertua Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Negeri Sembilan, Amirhamzah Karim sebagai panel jemputan.

Mengulas lanjut, Dr Shazali berkata, bagi pihak yang tidak mahu rakyat mengeluarkan simpanan tersebut, mereka tidak melalui kesusahan yang dialami rakyat.

"Jika mereka melalui kesusahan ini, saya rasa mereka akan simpati. Yang terkesan kebanyakan rakyat yang terdiri daripada golongan B40,” ujarnya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, rakyat sememangnya mempunyai pemikiran rasional untuk memanfaatkan duit tersebut dengan sebaik mungkin.

"Kita jangan anggap rakyat ini tak rasional kerana kita tahu itu duit kerja mereka, duit susah mereka. Mesti mereka gunakan untuk kebaikan.

"Kalau duit itu bukan dari titik peluh mereka, mungkin mereka akan guna untuk perkara yang tidak perlu.

"Tetapi, selagi mereka gunakan untuk berbelanja, walaupun kita lihat itu bukan keperluan, sekurang-kurangnya ia dapat membantu perkembangan ekonomi negara kita,” jelas beliau.

Klik di sini untuk terus membaca