SHAH ALAM - Bebanan kerja sampingan terlalu banyak sehingga mengganggu tugas hakiki sebagai pendidik merupakan antara faktor ramai guru kini memilih untuk bersara awal. Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Bebanan kerja sampingan terlalu banyak sehingga mengganggu tugas hakiki sebagai pendidik merupakan antara faktor ramai guru kini memilih untuk bersara awal.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP), Aminuddin Awang berkata, keperluan untuk memenuhi tugas sampingan yang pelbagai termasuk kerja perkeranian menyebabkan ramai guru sudah hilang keseronokan untuk mengajar di sekolah.

Katanya, warga pendidik juga didapati terpaksa berhadapan kesukaran memenuhi keperluan dasar baharu yang sering berubah setiap kali berlaku pertukaran dalam kepimpinan pendidikan negara.

"Secara mudahnya, peranan seorang guru adalah mendidik anak bangsa, tetapi yang berlaku pada hari ini ialah guru lebih dibebankan dengan kerja pentadbiran dan pengurusan data.

"Situasi itu menyebabkan ada dalam kalangan guru yang tidak dapat memberikan fokus kepada tanggungjawab mengajar di dalam kelas sekali gus keseronokan mereka untuk bekerja telah hilang,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Isnin lalu, Menteri Pendidikan, Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin mendedahkan kadar guru bersara awal adalah hampir menyamai jumlah guru yang bersara wajib.

Susulan itu, Mohd Radzi berkata, Kementerian Pendidikan sedang memperincikan maklumat termasuk punca mereka bersara awal bagi membolehkan perkara tersebut ditangani secara menyeluruh.

Mengulas lanjut, Aminuddin menjelaskan faktor lain yang menyumbang kepada trend berkenaan adalah disebabkan penumpuan utama terhadap aspek pengurusan cemerlang sekolah berbanding pencapaian dan hala tuju murid yang telah memberi tekanan tidak sepatutnya kepada guru.

"Keadaan itu membuatkan profesion berkenaan menjadi semakin hambar kerana perlu memenuhi kehendak orang atasan terlebih dulu berbanding keperluan murid yang dahagakan ilmu,” jelas beliau.

Justeru, Aminuddin berharap Kementerian Pendidikan dapat mencari jalan untuk mengurangkan tugas-tugas pentadbiran yang dipikul guru.

Beliau turut mencadangkan jawatan pembantu guru diwujudkan bagi melakukan kerja-kerja perkeranian manakala penetapan sasaran atau petunjuk prestasi utama (KPI) perlu menggunakan konsep bottom-up iaitu bermula daripada sekolah.

"Masalah setiap sekolah di negara kita tidak sama, ada sekolah di pesisiran pantai, pedalaman, kawasan miskin bandar dan elit bandar.

"Jika sasaran yang sama ditetapkan kepada semua sekolah, sudah pastilah tekanan akan dihadapi oleh guru di sekolah-sekolah yang majoriti murid daripada golongan miskin,” katanya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai purata umur guru yang mengambil pilihan bersara awal, Aminuddin berkata, berdasarkan maklumat tuntutan tabung kebajikan persaraan di NUTP, majoriti yang mengambil keputusan tersebut berada dalam lingkungan antara 56 hingga 58 tahun.

Katanya lagi, trend bersara awal membabitkan guru dalam lingkungan umur tersebut juga berkemungkinan disumbang oleh faktor pelaksanaan peraturan baharu pembayaran pencen di bawah Akta Pencen 1991.

"Jarang guru ambil persaraan awal kurang 55 tahun kerana mana-mana penjawat awam yang dilantik pada 12 April 1991 dan selepasnya akan hanya dibayar pencen apabila mencapai umur 55 tahun,” ujarnya.

Februari lalu, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dilapor berkata, semua guru di negeri itu diminta tidak mengambil keputusan bersara awal disebabkan tekanan akibat Covid-19.

Sebelum itu pada November tahun lalu, Ahli Parlimen Simpang Renggam yang juga bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, turut mengutarakan isu sama menerusi sidang Parlimen.

Maszlee ketika itu dilapor berkata, alasan sering kali dikemukakan guru yang ingin bersara awal adalah burnout atau kelesuan disebabkan bebanan kerja yang disifatkan terlampau banyak.

COVID-19 TURUT JADI PUNCA

Dalam pada itu, segelintir guru khususnya yang sudah berusia dipercayai mengambil keputusan untuk bersara awal kerana berhadapan kesukaran menjalankan tugasan sepanjang tempoh pandemik Covid-19.

Presiden Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB), Jasni Md Kechik berkata, perkara itu berlaku kerana ramai guru yang sudah berusia berasa terbeban dengan prosedur operasi standard (SOP) bertugas yang ditetapkan.

Katanya, situasi tersebut juga sedikit sebanyak menyumbang kepada peningkatan trend guru bersara awal di Malaysia ketika ini.

"Orang lama (guru) ini mungkin rasa terbeban dengan banyak SOP dalam pelaksanaan pengajaran semasa pandemik Covid-19. Jadi mereka ini fikir mungkin lebih baik mereka pencen,” katanya kepada Sinar Harian.

Bagaimanapun, Jasni berkata, sebahagian besar guru yang bersara awal bukanlah disebabkan bebanan tugas sebaliknya kerana mahu meluangkan masa bersama keluarga dan menguruskan kehidupan selepas bersara.

Tambah beliau, ini kerana kebanyakan guru yang mengambil keputusan tersebut didapati sudah melepasi tempoh minimum perkhidmatan masing-masing.

"Jadi mereka ini lebih kepada mahu melayani kehidupan semasa dan masa depan bersama keluarga sementara kesihatan masih baik.

"Selain itu, saya nampak guru yang pencen awal ini kadang-kadang ada masalah kesihatan. Daripada kajian kita di pejabat pendidikan pun menunjukkan ada antara mereka mengalami masalah kesihatan, jadi kena bersara awal,” ujarnya.

Klik di sini untuk terus membaca