SHAH ALAM - Kementerian Pendidikan disaran membuka lebih banyak peluang kenaikan pangkat kepada guru-guru untuk menarik minat mereka supaya berkhidmat dalam tempoh yang lebih lama.
Tokoh Pendidikan Negara, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom berkata, sekiranya peluang tersebut terbuka luas, lebih ramai guru dapat tersenarai dalam kategori Anugerah Guru Cemerlang.
"Sekarang memang ada kenaikan gred melalui Guru Cemerlang, boleh naik pangkat tanpa bertukar sekolah.
"Justeru, jika peluang ini dapat diberikan dengan lebih banyak, maka lebih ramai guru yang akan naik pangkat atau gred tanpa perlu ditukarkan ke tempat lain.
"Ini juga boleh menjadi salah satu sebab atau motivasi untuk mereka memanjangkan tempoh perkhidmatan di sekolah masing-masing,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Isnin lalu, Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin memaklumkan, kadar guru bersara awal adalah hampir menyamai jumlah guru yang bersara wajib.
Mengulas lanjut, Alimuddin berkata, umur bersara wajib yang dinaikkan dari 55 kepada 60 tahun mengakibatkan lebih ramai guru memilih untuk bersara awal.
"Ini kerana tahap kesihatan seseorang apabila menghampiri umur 60 tahun mungkin sudah ramai yang mula jatuh sakit berbanding dulu 55 tahun (umur bersara wajib) boleh dianggap masih muda lagi.
"Sekarang muda-muda pun ramai yang menghidap penyakit kronik.
"Jadi bagi sesetengah guru mereka merasakan jika bekerja juga, akan timbul masalah bagi dirinya.
"Dia juga tidak dapat memberikan yang terbaik kepada pelajar. Justeru mereka ambil keputusan bersara awal,” jelas beliau.
Selain itu, tambah Alimuddin, salah satu faktor ramai pendidik mengambil keputusan bersara awal adalah disebabkan jarak di antara sekolah dan rumah mereka yang jauh.
"Apabila umur semakin meningkat, ini akan menjadi masalah kepada mereka. Jadi, sesetengah guru akan berpendapat adalah lebih baik jika mereka minta bersara awal.
"Sekiranya guru ditempatkan di sekolah yang berhampiran dengan tempat tinggal, ini membuatkan mereka lebih seronok untuk bertugas tanpa perlu memikirkan keadaan jalan yang jauh dan kesesakan lalu lintas,” ujarnya.
Klik di sini untuk terus membaca