SHAH ALAM - Pendatang asing tanpa izin (PATI) dari Indonesia sanggup tinggal dan bekerja di atas bot nelayan sehingga tujuh hari di sempadan perairan negara sebelum mendarat.
Pegawai Pemerintah Batalion 4 (Bn4) Pasukan Gerakan Am (PGA), Superintendan Rizal Mohamed berkata, modus operandi terbaharu sindiket penyeludupan berkenaan adalah dengan menempatkan PATI tersebut ke dalam bot nelayan tempatan.
Menurutnya, PATI berkenaan akan diarahkan untuk bekerja di atas bot nelayan terbabit untuk mengaburi mata pihak berkuasa.
"Sindiket kini melakukan perubahan modus operandi di mana PATI yang memasuki Malaysia akan diagihkan ke dalam bot nelayan tempatan seramai tiga hingga lima orang atau lebih mengikut saiz bot.
"PATI berkenaan akan berada sekitar tiga atau empat hari, malah ada yang mencecah sehingga tujuh hari di dalam bot nelayan sebelum dibawa ke pangkalan," katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi pada Selasa
Jelas beliau, selepas mendarat pihak sindiket akan mengatur pengangkutan di darat menggunakan perkhidmatan e-hailing dan lori bonded tidak seperti sebelumnya di mana mereka menggunakan kereta persendirian serta kereta sewa.
Sementara itu, beliau memberitahu, seramai 156 PATI warga Indonesia dan tiga orang tekong berjaya ditahan sejak Januari hingga 22 Mac termasuk dua lelaki tekong tempatan, seorang tekong warga Indonesia berusia dalam lingkungan 22 hingga 64 tahun.
"Tangkapan PATI membabitkan seramai 112 lelaki, 43 wanita dan seorang kanak-kanak perempuan kesemuanya berusia dalam lingkungan 13 hingga 51 tahun.
"Kesemua mereka ditahan mengikut Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM) dan Seksyen 6 (1)(C) Akta Imigresen 1959/63," jelasnya.
Rizal menegaskan pihaknya akan mengambil tindakan tegas kepada tali barut yang bersekongkol dengan kegiatan penyeludupan migran tersebut.
"Mungkin ada juga tali barut daripada kalangan penguat kuasa dan mereka yang menjadi tali barut kepada ahli sindiket ini kita akan ambil tindakan sama seperti tindakan terhadap orang yang menyeludup," ujarnya.
Klik di sini untuk terus membaca