"SEMUANYA 63 kali bos, bermula di tempat parkir, kemudian di depan restoran, lepas tu dalam ruang restoran dan di meja makan. Dari waktu makanan dihidangkan sehingga selesai makan sahaja lebih daripada 30 kali.” Mujurlah zaman sekarang... Klik di sini untuk terus membaca

"SEMUANYA 63 kali bos, bermula di tempat parkir, kemudian di depan restoran, lepas tu dalam ruang restoran dan di meja makan. Dari waktu makanan dihidangkan sehingga selesai makan sahaja lebih daripada 30 kali.”

Mujurlah zaman sekarang kamera tidak menggunakan filem gulung macam era sebelum 1990-an, jika tidak tentu parah juga. Bayangkan jika setiap gulung filem boleh digunakan untuk merakam 24 keping gambar, dengan 63 kali klik bermakna sudah dua setengah gulung filem digunakan.

Dan saya percaya, jika filem gulung masih digunakan, laman-laman sosial tentunya tidak semeriah sekarang. Hendak muat naik gambar sebulan sekalipun tak ramai yang mampu. Lainlah bagi mereka yang benar-benar daripada kelompok kayangan.

Kembali ke kisah asal. Saya sebenarnya meminta seorang pembantu mengira secara diam-diam berapa kalikah insan yang seorang ini merakamkan foto pada satu majlis jamuan. Saya tahu insan ini kaki muat naik gambar di laman sosial.

Kerajinannya mengagumkan saya sehingga pernah saya terfikir dia tidak ada kerja lainkah selain daripada rakam gambar dan muat naik.

Jadi, apabila secara kebetulan dia menjadi jemputan satu majlis makan malam, yang saya juga turut diundang, maka sisi ‘menyibuk’ saya pun mulalah menyibuk.

Itu asal mulanya kenapa pembantu saya sibuk mengira berapa kali dia merakamkan gambar. Sama ada kiraan pembantu saya itu betul atau tidak, saya tak pasti. Tak kisahlah. Saya sedar kes pembantu ‘kencing’ bos berlaku di mana-mana.

Sekarang ini mempamerkan sesuatu untuk menarik perhatian khalayak telah menjadi salah satu daripada cara hidup. Dalam bahasa orang sekarang, ia disebut flex atau flexing. Dalam kamus, flex itu maknanya ‘lentur’ tetapi seperti yang kita ketahui, bukan semua perkataan dalam bahasa Inggeris boleh diterjemahkan secara langsung (direct).

Flex asalnya kerap digunakan oleh ahli bina badan atau mereka yang badannya berotot-otot untuk menunjukkan otot-otot yang mereka miliki. Mereka akan melakukan flex bagi membolehkan otot-otot mereka itu membonjol dan nampak ketara.

Konsep flex inilah kemudiannya dikembangkan sehingga dikaitkan dengan budaya menyiarkan imej-imej tertentu di Facebook, Instagram dan sebagainya.

Yang disiarkan itu pula lazimnya adalah imej-imej yang bersifat glamor atau menjurus ke arah itu. Kalau siarkan imej ditarik telinga oleh isteri keluar dari kedai kopi, orang tak sebut flex. Ia mungkin lebih sesuai disebut ‘pelik’.

Subjek yang diflexkan selalunya pelbagai. Ia mungkin berkaitan rupa, kekayaan, fesyen, selera, bakat dan sebagainya. Seperti dikatakan tadi, subjek itu harus mempunyai nilai-nilai ‘glamor’nya atau ada kelainan berbanding kebiasaan.

Kalau setakat siar gambar atau video kita makan ikan kembung, tiada siapa akan peduli.

Tetapi kalau ikan kembung itu berharga RM1,196 seekor macam siakap kayangan di Langkawi, atau kalau cara kita makan ikan kembung itu lain daripada orang lain, misalnya orang makan isi, kita makan tulang, barulah semua orang akan buka mata dan kemudian akan mula mengata. ‘Glamor’lah jadinya.

PEGANGAN

Menunjuk itu sesuatu yang baik tetapi menunjuk-nunjuk pula sebaliknya. Itulah pegangan kita selama ini. Sejak kecil kita diasuh dan terasuh untuk menjauhi sifat menunjuk-nunjuk kerana ia mempunyai pertautan dengan riak, suatu sifat yang dicela oleh adat dan agama.

Tetapi kemahuan untuk dianggap istimewa adalah naluri semula jadi manusia. Kerana itulah sejak manusia belum bercawat lagi, tabiat menunjuk-nunjuk telah bertunas.

Berakar umbi dari situlah kemudiannya muncul perangai berlawan-lawan dengan jiran tetangga atau dengan sesiapa sahaja. Jiran beli karpet Pakistan, dia beli karpet Parsi. Jiran berhutang RM500, dia berhutang RM5,000.

Dengan niat hendak menunjuk-nunjuk, ada orang sanggup bergaduh dengan pemandu lori yang menghantar perabot baharunya. Dia telah tetapkan waktu supaya lori datang pada sebelah petang ketika jiran-jirannya duduk berkumpul di halaman tetapi lori datang sebelah malam ketika semua orang sudah tidur. Terlepaslah peluang untuk dia mendengar jiran-jirannya bertanya sepatah dua tentang perabot baharu itu.

Sekarang ini, dengan adanya media sosial, urusan menunjuk-nunjuk itu menjadi lebih mudah. Ia boleh dilakukan pada bila-bila masa. Penggunaan istilah flex turut membantu menyuburkan budaya ini kerana ia mengurangkan rasa bersalah. Samalah macam perkataan berkhalwat dan berdua-duaan. Kalau kata ‘aku berdua-duaan dengan dia’ tidak terasa sangat rasa bersalahnya berbanding dengan ‘aku berkhalwat dengan dia’.

Sebahagian orang berpendapat flexing tidak menjadi satu kesalahan jika dilakukan bagi tujuan pemasaran (marketing). Ia sama sahaja seperti mengiklankan produk. Tak ada salahnya kita menunjuk-nunjukkan produk kita sambil masuk bakul angkat sendiri. Itu namanya berniaga.

Tetapi bagaimana dengan yang tidak berniaga apa-apa? Takkanlah menyiarkan foto atau video makan makanan yang harga setiap hidangan cukup untuk membeli barang keperluan dapur orang miskin selama sebulan itu pemasaran juga?

"Itu pun marketinglah Datuk. Dengan cara itu orang akan kenal saya dan saya mendapat pengikut. Apabila dah ramai, mudahlah saya nak berniaga. Lagipun bila orang kenal kita, mudah kita nak berurusan,” itu jawapan yang saya dapat daripada seseorang.

Ada juga orang berkata yang gemar flexing ini tabung yang tak berapa penuh, sebab tabung yang penuh selalunya tidak berbunyi. Saya tidak pasti.

Tetapi saya tertarik dengan kisah Carl Thomas Dean, suami superstar legenda Dolly Parton. Sejak mereka berkahwin pada 1966 sehingga sekarang, Carl bukan sahaja menjauhi populariti isterinya, malah menjauhi kamera.

Di internet, gambarnya hanya ada tiga empat keping, itu pun gambar-gambar lama. Pun begitu, kehidupannya dengan Dolly kekal bahagia sehinggalah sekarang.

Banyak lagi sebenarnya ‘tabung yang penuh’ memilih untuk tidak menunjuk-nunjuk sama ada di media sosial ataupun di dunia luar. George Clooney, Jennifer Lawrence dan Mila Kunis misalnya, adalah antara selebriti yang tidak memiliki akaun media sosial.

Warren Buffet, Ingvad Kamprad, Carlos Slim, Chuck Feeney dan Tim Cook pula diketahui umum memilih untuk hidup macam orang biasa-biasa walaupun mereka adalah antara orang yang terkaya di dunia.

Bagi saya, flexing bergantung kepada niat dan cara. Maka, terserahlah kepada diri masing-masing untuk menjustifikasikannya. Yang saya ingin ingatkan cuma berpada-padalah dalam melakukannya.

Buatlah berdasarkan kemampuan dan upaya kita. Jangan sampai berhutang atau meminjam kerana hendak menunjukkan hebat.

Jangan pula lakukan ia dengan niat hendak menyakiti hati orang lain. Jangan juga sampai membahayakan diri sehingga berisiko jatuh bangunan, dilanggar kereta api atau digilis lori semata-mata kerana mengejar populariti. Dan yang paling utama, jangan berlumba-lumba hendak menunjukkan kebodohan hanya kerana mahukan perhatian. Biarlah kita dikenali kerana rajin membersihkan longkang, bukannya kerana bermulut longkang! #dush!

* Datuk Dr Budiman Mohd Zohdi ialah Setiausaha Politik. Mulai 2022 menulis mengenai pengurusan perubahan.

Klik di sini untuk terus membaca