JABATAN Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah mengeluarkan bantahan terhadap drama Perempuan Itu kepada Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM), Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM). Ia... Klik di sini untuk terus membaca

JABATAN Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah mengeluarkan bantahan terhadap drama Perempuan Itu kepada Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM), Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM). Ia berikutan dengan penularan sebuah video petikan adegan panas drama itu yang telah dimuat naik oleh salah seorang pelakonnya.

Walaupun respons tidak rasmi dari mereka yang terlibat mengatakan bahawa adegan itu tidak akan ditayangkan, untuk apa syot itu dibuat oleh mereka yang maklum mengenai peraturan penyiaran di stesen TV tempatan? Untuk suka-suka?

Menurut Jakim, penyiaran drama seumpama itu jelas mempamerkan perbuatan dilarang Islam dengan aksi dan adegan tidak bermoral, melampaui batas serta bertentangan dengan norma masyarakat dan hukum syarak.

Jarang sebuah jabatan kerajaan membantah apa yang dibuat oleh jabatan kerajaan yang lain, apatah lagi bila sebuah jabatan membuat bantahan kepada sebuah kementerian. Namun, dalam mempraktikkan amalan beragama, sesiapa sahaja dibolehkan untuk menegur sesiapa sahaja.

Pekerja boleh menegur ketua, pengikut menegur pemimpin dan rakyat menegur raja. Yang dijunjung ialah kebenaran dan kebaikan. Sesiapa yang melakukan keburukan, mereka wajar ditegur, malah ditentang apabila berdegil.

Inilah pendekatan amal makruf nahi mungkar yang menjadi sunnah Rasulullah SAW. Malah, Surah al-Maidah ayat 2 mematerikan perintah ALLAH yang menyeru kita umat Islam saling tolong-menolong berbuat kebajikan dan melarang pula kita saling membantu melakukan dosa.

Jadi, tidak timbul kata-kata bahawa sesiapa yang mengkritik perbuatan mungkar di dalam video itu sebagai moral guardians iaitu istilah barat yang bermaksud mereka yang pandai-pandai menjadi penjaga moral yang inginkan yang terbaik buat orang lain.

TELUS DAN JUJUR

Tindakan menegur apa yang tidak betul oleh sesiapa sahaja adalah peribadi dan perilaku yang menjadi kewajipan orang Islam. Mereka yang tidak terdedah dengan perintah ini akan berasa seolah-olah ada orang menjaga tepi kain mereka dan tiada hak menegur. Lalu semakin ramai mereka yang berbuat sesuka hati di media tanpa malu malah berbangga pula dengan perangai buruk mereka. Kononnya ‘itu kan lakonan...’

Sebenarnya ramai dalam kalangan kita belum mengerti bahawa Islam itu ialah ad-din iaitu cara hidup. Rasulullah SAW mengajar kita untuk mengamalkan hidup beragama sebaik sahaja bangun tidur hingga ke tempat tidur kembali. Tidak ada pemisahan dalam menjalani kehidupan iaitu tunduk dan patuh apabila bersolat, tetapi boleh buat apa sahaja sesuka hati selepas itu.

Oleh kerana itu, keutamaan yang perlu dihayati ialah diri kita sebagai orang Islam, umat Rasulullah SAW dan hamba ALLAH. Apa sahaja yang lain perlu kita diketepikan apabila ia menyentuh, melanggar mahupun bertentangan dengan agama. Ini perintah-NYA.

Jika menjadi peguam Islam, dia wajib mempertahankan kebenaran, tetapi mengundur diri dari mempertahankan klien seandainya yakin klien itu di pihak yang salah. Jika menjadi doktor Islam, dia perlu memberi ubat untuk memulihkan pesakit, bukan berniat agar pesakit semakin bergantung kepada ubat untuk memenuhkan poketnya.

Jika menjadi akauntan Islam, dia melaporkan prestasi syarikat dengan telus dan jujur, bukannya mencantikkan akaun agar pelabur terus yakin pada syarikat yang rugi. Dan jika dia menjadi pelakon Islam, lakonkan watak untuk menginsafkan, bukan menggalakkan penonton menjadi seperti watak hitamnya. Apakah dia mahu berselindung atas nama lakonan tetapi penonton terperangkap bila betul-betul jadi jahat?

Kita sebenarnya kian jauh dari hidup beragama. Mujurlah dalam sehari kita boleh berhenti, bermuhasabah dan memohon ampun kepada ALLAH secara khusus apabila tiba waktu solat. Bagaimana agaknya bagi mereka yang belum memahami pentingnya solat untuk hidup sebagai orang beragama?

Ini tanggungjawab kita yang berasa diri tidak layak untuk menegur kemungkaran. Bila kita tidak menegur, kita menyumbang kepada keadaan agama yang lemah. Akhirnya kita tenggelam timbul hidup dikelilingi kemungkaran. Bila-bila masa, kita yang berpaut pada agama akan turut lemas di lautan maksiat. Beristighfarlah...

* Norden Mohamed ialah mantan Ketua Pengarang Sinar Harian

Klik di sini untuk terus membaca