SHAH ALAM - Penularan wabak Covid-19 yang melanda negara memberi kesan besar kepada guru-guru di negara ini terutamanya berkaitan dengan pertambahan tugasan. Seorang pesara guru di sebuah sekolah menengah di Ipoh, Perak, Anis Abd Shukor,... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Penularan wabak Covid-19 yang melanda negara memberi kesan besar kepada guru-guru di negara ini terutamanya berkaitan dengan pertambahan tugasan.

Seorang pesara guru di sebuah sekolah menengah di Ipoh, Perak, Anis Abd Shukor, 51, berkata, sistem pembelajaran kini lebih banyak tertumpu kepada kaedah secara dalam talian susulan pelaksanaan sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

"Sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), guru mengajar dalam kelas, sekarang dalam talian, jadi banyak kekangan dari segi nak menyampaikan ilmu kepada anak-anak murid.

"Ramai pelajar kurang menunjukkan minat apabila belajar secara dalam talian, maknanya isi pengajaran tersebut tidak sampai.

"Jadi, kalau kita ajar pun, tidak semua akan dapat, kalau bagi kerja rumah pun tidak sampai separuh yang buat,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Dalam pada itu, Anis turut merasakan sistem pendidikan yang agak berbeza berbanding sebelum ini ditambah dengan beban kerja menjadi faktor dirinya mengambil keputusan untuk bersara lebih awal.

"Saya rasa sistem pendidikan sekarang ini tidak menepati apa yang saya nak, beban kerja pun dah lain, sudah tidak sama dengan tugas hakiki seorang guru,” katanya.

IMPAK NEGATIF

Dalam pada itu, Yang Dipertua Gabungan Majlis Guru Besar Malaysia (GMGBM), Abdul Rahman Ibas berkata, trend guru bersara awal dijangka tidak memberi impak negatif terhadap sektor pendidikan negara.

Meskipun mengakui pendidikan negara akan kehilangan pengalaman yang dimiliki oleh guru terbabit, namun Abdul Rahman berkata, beliau yakin ruang yang ditinggalkan itu mampu diisi oleh guru baharu yang terdiri daripada lepasan institusi pengajian tinggi.

Menurut beliau, Kementerian Pendidikan juga memiliki mekanisme yang diperlukan untuk melatih guru baharu termasuk dalam hal pentadbiran sekolah.

"Di luar sana ramai anak muda telah lulus pengajian dalam bidang pendidikan sama ada daripada institusi pendidikan guru, universiti awam tempatan atau swasta.

"Jadi sebenarnya kita tidak ketandusan guru. Cuma guru baharu ini mungkin kurang pengalaman sebab baru masuk.

"Tetapi itu tidak menjadi masalah kerana pengalaman ini boleh kita cari tapi yang paling penting ialah komitmen daripada guru itu sendiri,” katanya.

Dalam pada itu, Abdul Rahman berkata, tiga faktor utama didapati menjadi punca ramai guru mengambil keputusan bersara awal adalah ketiadaan komitmen kewangan keluarga, mengikut pasangan bersara dan tidak berupaya untuk menghadapi cabaran pendidikan semasa.

"Sebagai contoh, bila mereka ini dah berusia, mungkin keupayaan dari segi fizikal dan mental untuk menghadapi cabaran pendidikan hari ini sedikit terjejas.

Jadi ini menyebabkan mereka mengambil keputusan memilih untuk bersara awal,” kata beliau.

Klik di sini untuk terus membaca