SHAH ALAM - Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir menyifatkan masalah rasuah dan kemunafikan dalam kalangan pemimpin Melayu Islam ketika ini berada pada tahap yang serius.
Menurut Zambry, beliau bersetuju dengan pandangan penulis buku 'Corruption and Hypocrisy in Malay Muslim Politics', Prof Emeritus Tan Sri Dr Mohd Kamal Hassan yang melihat dua faktor tersebut sudah menular dalam kalangan pemimpin Melayu Islam.
"Mengenali Prof Kamal sebagai guru yang mengajar saya, apabila beliau menulis sebuah karya seperti ini, ia benar-benar menzahirkan keprihatinan beliau. Beliau ini seorang yang sangat tawaduk, bercakap lembut, bahasanya beralas. Apabila beliau terlalu memikirkan keadaan umat yang kita hadapi hari ini menunjukkan beliau prihatin.
"Saya setuju dan di sini, di pentas ini juga saya dijemput bersama Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Dr Maszlee Malik dan pemimpin lain daripada parti yang berbeza bercakap tentang isu yang dihadapi. Kita semua bersetuju tentang apa yang berlaku.
"Tetapi, kita kena ingat isu yang dibawa oleh Prof Kamal mengenai dua pekara penting iaitu satu berkaitan dengan rasuah dan satu lagi tentang kemunafikan. Kebanyakkan orang melihat dari satu segi sahaja iaitu rasuah.
"Isu kemunafikan seseorang itu nampak seperti baik, menggunakan istilah tertentu bagi mewajarkan perbuatan mereka, atau yang menggunakan ayat al-Quran dan sebagainya sedangkan kita tahu bagaimana sebenarnya perilaku mereka. Saya melihat keadaan yang berlaku ini sangat serius," katanya dalam Program Bersama Johan Jaaffar bertajuk transformasi moral pemimpin Melayu yang disiar secara langsung di Facebook Sinar Harian pada Rabu.
Mengulas lanjut, beliau optimis kedua-dua masalah dalam kalangan pemimpin Melayu Islam itu dapat diatasi selain Mohd Kamal sendiri memberikan jalan penyelesaian dalam buku tersebut.
"Soalnya apa yang dikemukakan oleh Prof Kamal untuk mengembalikan semula (nilai moral dalam kalangan pemimpin Melayu Islam). Beliau (Prof Kamal) tidak putus harap dan dari segi bacaan buku itu, beliau menyediakan penyelesaiaannya," katanya.
Dalam pada itu, beliau melihat masalah moral dalam kalangan pemimpin ini turut berlaku di luar negara dengan mengambil situasi yang terjadi di Amerika Syarikat.
"Kita jangan lupa, masalah yang kita hadapai bukan hanya melibatkan negara kita. Bukanlah saya nak pertahankan tetapi ia perkara yang turut berlaku di banyak negara.
"Saya ambil contoh dalam konteks Amerika Syarikat, ada sebuah buku yang ditulis oleh Michael Porter yang digelar sebagai bapa pengurusan yang hebat. Beliau menulis tentang politik industri di Amerika. Bagaimana mereka meletakkan pelbagai isu serius yang menyebabkan Amerika menjadi sebuah negara yang sakit dalam pandangan mereka.
"Ini juga disebabkan oleh sistem politk yang sudah hilang punca sehingga tidak ada proses semak dan imbang, kemudian ada ahli politik yang tidak mementingkan rakyat dan sebagainya.
"Sebab itu, kita lihat bagaimana orang seperti Donald Trump boleh dipilih oleh rakyat Amerika. Situasi ini pun berlaku dalam konteks kita tetapi mesti ada kesungguhan untuk membetulkan perkara ini," katanya.
Klik di sini untuk terus membaca