SHAH ALAM - Kegagalan Kementerian Dalam Negeri (KDN) mendapatkan kelulusan Dewan Rakyat bagi meminda tempoh pelanjutan kuat kuasa Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) hari ini, bukan pertanda... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Kegagalan Kementerian Dalam Negeri (KDN) mendapatkan kelulusan Dewan Rakyat bagi meminda tempoh pelanjutan kuat kuasa Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) hari ini, bukan pertanda Pakatan Harapan (PH) akan membatalkan Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik (CSA) dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, dalam masa terdekat.

Ahli Parlimen Lembah Pantai merangkap Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil berkata, tindakan ahli Parlimen PH tidak menyokong pindaan Sosma berkenaan tiada kaitan dengan amaran PH untuk membatalkan MoU berkenaan jika kerajaan membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti secepat mungkin.

"Undian hari ini hanya dibuat berdasarkan masalah dikemukakan kepada majlis dan waktu berkenaan usul dibawa Menteri Dalam Negeri (untuk meminda melanjutkan tempoh kuat kuasa Subseksyen 4(5) Akta Sosma) sama ada diterima atau tidak hanya terbatas dan terhad kepada isu berkenaan sahaja.

"Ia tiada kaitan dengan usul atau RUU lain termasuk RUU Anti Lompat Parti," katanya kepada Sinar Premium bagi mendapatkan penjelasan sama ada kegagalan kerajaan meluluskan pindaan Akta Sosma berkenaan mempunyai kaitan dengan ancaman PH mahu menarik balik sokongan kepada Perdana Menteri jika kerajaan gagal membentang RUU Anti Lompat Parti, esok.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata, PH tidak akan membatalkan MoU ditandatangani sebelum ini kerana Perdana Menteri sudah memaklumkan bahawa kerajaan akan mengadakan sidang khas Dewan Rakyat pada April ini bagi membentangkan dan membahaskan RUU Anti Lompat Parti.

Berikutan itu, Fahmi berkata, perkara itu turut dimaklumkan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke; Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail ketika bertemu Perdana Menteri di Parlimen hari ini.

Beliau berkata, PH sedia untuk menyokong RUU dan mengekalkan MoU berkenaan selagi mana kerajaan mengekalkan janji untuk membawa RUU itu ke Dewan Rakyat.

"Justeru itu, tidak timbul lagi isu PH mahu menarik sokongan dan MoU kerana wakil Majlis Presiden sudah mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri dan itu adalah keputusan diterima parti," katanya.

Terdahulu, Pengerusi Kebangsaan DAP, Lim Guan Eng, dalam ucapannya ketika menghadiri Kongres DAP Kebangsaan pada Ahad lalu, memberi amaran bahawa PH akan membatalkan MoU yang ditandatangani bersama kerajaan sekiranya RUU Anti Lompat Parti tidak dibentangkan seperti yang dijanjikan.

Berikutan itu, Guan Eng berkata, PH mendesak kerajaan menggubal RUU itu bulan ini bagi menghentikan tindakan wakil rakyat lompat parti yang menurutnya telah mencemarkan keseluruhan proses demokrasi negara.

KERAJAAN PANIK

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, ini adalah kekalahan pertama kerajaan pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri di Parlimen.

Walau bagaimanapun, katanya, kekalahan itu tidak memaksa Menteri Dalam Negeri atau Perdana Menteri meletakkan jawatan atau kerajaan akan meminta Parlimen dibubarkan.

"Kerajaan amat panik dengan kekalahan tidak disangka-sangka di Dewan Rakyat petang ini.

"Pada pagi ini, Timbalan Menteri yang menjaga hal ehwal Parlimen dan Undang-Undang, YB Masjid Tanah mengemukakan usul di bawah Aturan Mesyuarat 12(1) bahawa sidang Dewan Rakyat hari ini tidak akan ditangguhkan sehingga selesai dibentangkan dan diputuskan Usul Menteri Dalam Negeri dan Rang Undang-Undang (RUU) Pindaan Perlembagaan Persekutuan.

"Tetapi sebaik sahaja kerajaan mengalami kekalahan dalam usul yang dibawa oleh Menteri Dalam Negeri itu, maka dengan secepat kilat Timbalan Menteri YB Masjid Tanah segera bangun mengemukakan usul terbaru iaitu menangguhkan mesyuarat Dewan Rakyat dengan serta-merta," katanya.

Klik di sini untuk terus membaca