MESYUARAT pertama penggal kelima (2022) Parlimen akan berakhir minggu ini sebelum meluluskan Rang Undang-undang (RUU) untuk dua pindaan Perlembagaan Persekutuan seperti yang dijanjikan dalam memorandum persefahaman (MoU) antara kerajaan... Klik di sini untuk terus membaca

MESYUARAT pertama penggal kelima (2022) Parlimen akan berakhir minggu ini sebelum meluluskan Rang Undang-undang (RUU) untuk dua pindaan Perlembagaan Persekutuan seperti yang dijanjikan dalam memorandum persefahaman (MoU) antara kerajaan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Pakatan Harapan (PH).

Ini seolah-olah ada pihak yang ingin menggagalkan MoU dan seterusnya memendekkan perkhidmatan Ismail Sabri sebagai PM.

Dua perkara yang memerlukan pindaan Perlembagaan ialah pertama, pengosongan kerusi ahli Parlimen yang melompat parti; kedua, pengehadan tempoh perkhidmatan PM kepada dua penggal.

Yang dijadikan alasan untuk melengahkan pindaan ialah kerumitan untuk mekanisme mencegah lompat parti. Ada pihak yang mendakwa pindaan Perlembagaan ini tidak sempurna atau terlalu rumit, maka perlukan lebih banyak masa untuk faham dan kaji.

Hakikatnya, perdebatan tentang Undang-Undang Anti Lompat parti telah berlangsung sebaik selepas Langkah Sheraton. Dalam masa tiga tahun, dua mekanisme telah muncul sebagai pilihan.

Pilihan pertama ialah Undang- Undang Anti Lompat tradisional yang pernah diperkenalkan dan dilaksanakan di peringkat negeri di Sabah, Sarawak, Kelantan dan Pulau Pinang (masih).

PENGKHIANAT

Undang-Undang Anti Lompat tradisional adalah mekanisme yang paling ringkas dan mudah difahami. Jika seseorang wakil rakyat keluar parti, maka kerusinya dikosongkan untuk diadakan Pilihan Raya Kecil (PRK). Wakil rakyat asal boleh bertanding semula. Dalam kata lain, kalau nak lompat, lompatlah, tetapi pengundi akan menentukan sama ada kerusi di Dewan kekal bersama si pelompat.

Undang-Undang Anti Lompat tradisional telah diputuskan sebagai tidak berperlembagaan (unconstitutional) kerana menjejas kebebasan berpersatuan. Pindaan Perlembagaan tidak lain tidak bukan untuk menjadikan ia berperlembagaan (constitutional).

Ia juga mempunyai dua kekurangan. Pertama, wakil rakyat yang dipecat juga akan dikosongkan kerusi, maka ini boleh disalah guna oleh pemimpin untuk menghapus pesaing. Kekurangan ini tidak dapat dielakkan − kalau tidak, pengkhianat parti bolehlah menjadi musuh dalam selimut sehingga dipecat tanpa hilang kerusi.

Kedua, jika seluruh parti keluar gabungan, seperti Bersatu keluar PH, maka, semua wakil rakyatnya dapat mengekalkan kerusi mereka. Dalam kata lain, Undang-Undang Anti Lompat tradisional tidak dapat mengelakkan sepenuhnya Langkah Sheraton.

Pilihan kedua ialah Undang-undang Anti Lompat secara pemecatan wakil rakyat yang diutarakan oleh Bersih dan Ahli Parlimen Pengerang (UMNO), Datuk Seri Azalina Othman.

Di bawah sistem ini, kerusi tidak dikosongkan secara automatik kerana wakil rakyat keluar atau dipecat parti atau parti mereka keluar atau dipecat daripada gabungan. Tetapi dengan tandatangan sebanyak 40 peratus pengundi berdaftar, wakil rakyat yang membelakangkan rakyat boleh dikosongkan kerusi untuk diadakan PRK.

Malangnya, RUU ahli persendirian untuk Undang-Undang Anti Lompat secara pemecatan wakil rakyat ini tidak diberi peluang untuk perbahasan dan penerimaan.

Tak usahlah untuk mereka yang takutkan Undang-Undang Anti Lompat mencari pelbagai alasan bagi melengahkan malah menggagalkannya.

Sokonglah RUU untuk Undang- Undang Anti Lompat tradisional yang telah digerakkan dengan beberapa libat urus oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar. Kalau nak yang lebih canggih, sokong sajalah Undang-Undang Anti Lompat secara pemecatan wakil rakyat oleh Azalina.

Sejak Mei 2018, seramai 40 orang ahli Parlimen (18 peratus) telah keluar parti secara sukarela atau dipecat daripada parti. Nak tunggu berapa lagi?

Undang-Undang Anti Lompat tradisional adalah mekanisme yang paling ringkas dan mudah difahami. Jika seseorang wakil rakyat keluar parti, maka kerusinya dikosongkan untuk diadakan Pilihan Raya Kecil (PRK).

Simpan pinang dalam kotak,

Sapu daun dengan lidi.

Kalau wakil rakyat jadi katak,

Tak hairan rakyat malas undi.

*Profesor Wong Chin Huat (chinhuatw@gmail.com) seorang ahli sains politik yang khusus dalam sistem pilihanraya, politik parti dan demokrasi berparlimen.

Klik di sini untuk terus membaca