PIIHAN RAYA merupakan satu komponen penting dalam sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi. Tujuan diadakan ialah untuk memberi peluang kepada rakyat memilih individu sesuai bagi mewakili kepentingan mereka di Parlimen. Persoalan... Klik di sini untuk terus membaca

PIIHAN RAYA merupakan satu komponen penting dalam sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi. Tujuan diadakan ialah untuk memberi peluang kepada rakyat memilih individu sesuai bagi mewakili kepentingan mereka di Parlimen.

Persoalan kita hari ini, adakah individu ini benar-benar mewakili kepentingan pemilih atau lebih mementingkan diri masing-masing dan parti mereka wakili? Persoalan ini boleh diperdebatkan dan pelbagai hujah dapat diberikan untuk menyokong tindakan individu berkenaan.

Bagaimanapun, perdebatan seperti ini jarang-jarang berlaku dalam masyarakat kita. Mungkin berlaku dalam kalangan pengikut media sosial tetapi tidak secara terbuka kepada masyarakat. Mungkin kerana tidak ramai rakyat yang mempunyai tahap literasi tinggi mengenai sistem demokrasi, terutama mereka yang berada di kawasan pedalaman. Tidak ramai rakyat yang tahu tentang perjalanan Parlimen dan pilihan raya dalam negara ini untuk mereka menimbulkan persoalan ini.

Mungkin sebab itu juga, jarang-jarang kita dengar parti politik mengadakan program berbentuk pendidikan mengenai demokrasi. Adakah salah kita beranggapan lebih ramai rakyat keliru dan tidak faham tentang sistem yang ada ini, mengakibatkan lebih beruntungnya ahli-ahli politik dan wakil-wakil rakyat yang mempunyai motif lain selain berkhidmat kepada rakyat.

Ini bukan satu kenyataan yang membuat generalisasi kepada semua wakil rakyat kerana saya juga sedia maklum terdapat ramai juga ahli Parlimen yang amanah dan berintegriti tinggi serta memberi khidmat bakti yang baik kepada rakyat. Tetapi, rakyat juga mempunyai persepsi terdapat segelintir mereka lebih mementingkan diri dan hanya menampakkan diri lima tahun sekali ketika menagih undi.

RISAU CELIK DEMOKRASI

Oleh kerana sistem pemilihan calon ditentukan presiden parti masing-masing, orang sebegini akan terus dicalonkan dan mungkin menang dalam pilihan raya kerana rata-rata rakyat memilih parti.

Adakah kerana segelintir ini risau kalau lebih ramai rakyat celik demokrasi, tugas mereka lebih sukar. Lebih ramai rakyat mendesak agar mereka melaksanakan tanggungjawab berdasarkan keperluan dan kehendak rakyat yang memilih, bukan sebaliknya.

Andaian ini dibuat kerana apabila kita meneliti laporan tahunan parti-parti politik dalam negara, jarang kita dapat membaca mengenai aktiviti di mana parti-parti politik menganjurkan sebarang program berbentuk mendidik rakyat supaya celik perlembagaan, demokrasi, pilihan raya dan bagaimana perjalanan Parlimen. Yang dapat dilihat, program berbentuk pendidikan tentang politik dan demokrasi dianjurkan oleh pertubuhan-pertubuhan masyarakat seperti Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih).

Mungkin masanya untuk rakyat mendesak agar dalam sistem pendidikan negara diberi tumpuan. Anak-anak kita dari bangku sekolah lagi perlu didedahkan mengenai perlembagaan negara dan sistem demokrasi.

Persoalan awal saya, sama ada wakil rakyat ini bertindak mengikut keperluan dan kehendak rakyat yang mengundi mereka dalam pilihan raya boleh juga dinilai dengan melihat bagaimana mereka mengundi sesuatu perkara ditimbulkan dalam Parlimen. Saya sedia maklum, jawapan yang akan diberikan sekiranya kita mempersoalkan tentang perkara ini ialah mereka perlu mengundi mengikut blok tempat duduk dalam Parlimen dan mematuhi kehendak whip parti masing-masing. Ini juga pada saya perlu dipersoalkan oleh rakyat. Patutkah wakil-wakil rakyat ini mengundi berdasarkan kehendak parti, sedangkan rakyat yang memilih mereka untuk bertindak waras.

Bagaimana pula dengan tindakan mereka melompat parti, sedangkan kita sedar dalam konteks pilihan raya di Malaysia, rata-rata pengundi memilih berdasarkan sokongan kepada parti tertentu. Sebab biasanya, rakyat tidak mengenali individu yang dicalonkan parti masing-masing.

Pelbagai persoalan yang saya kemukakan dalam kolum ini hanya sebagai permulaan agar pembaca lebih berminat memahami perjalanan pilihan raya dan Parlimen serta demokrasi dalam negara, juga mencari bahan-bahan yang sesuai untuk kefahaman yang lebih mendalam.

Lebih ramai rakyat Malaysia yang celik demokrasi, sudah pasti akan mengubah landskap politik dalam negara ini. Moga Malaysia terus diberkati.

* Datuk Dr Anis Yusal Yusoff adalah Felo Utama di KITA, UKM. Beliau pernah menjadi Presiden Institut Integriti Malaysia, dan Timbalan Ketua Pengarah GIACC, JPM

Klik di sini untuk terus membaca