TELEVISYEN ialah cabang media yang berpengaruh untuk mengekalkan dan membentuk budaya dalam masyarakat. Kehadiran televisyen tidak memberi kesan tanpa pengisian berinformasi melalui rancangan dipaparkan. Rancangan disiarkan di televisyen... Klik di sini untuk terus membaca

TELEVISYEN ialah cabang media yang berpengaruh untuk mengekalkan dan membentuk budaya dalam masyarakat. Kehadiran televisyen tidak memberi kesan tanpa pengisian berinformasi melalui rancangan dipaparkan.

Rancangan disiarkan di televisyen ialah pembentuk budaya. Oleh itu, kewujudan budaya dalam masyarakat khususnya remaja kebanyakannya dipengaruhi televisyen yang secara tidak langsung mencorak kehidupan seharian. Rancangan di televisyen adalah bentuk persekitaran yang merangsang penonton membentuk budaya dalam diri.

Paparan dari aspek psikologi budaya seperti nilai, kepercayaan dan konsep kendiri dalam rancangan televisyen boleh mengubah pandangan penonton terhadap budaya yang dipegang. Perubahan pandangan inilah yang membawa kepada perubahan pola hidup mereka.

Sehubungan itu, rancangan televisyen wajar memaparkan elemen budaya tempatan. Ia perlu mempertahankan nilai masyarakat berbilang kaum, agama Islam sebagai agama rasmi negara, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan kebudayaan Melayu sebagai teras budaya negara.

Tidak keterlaluan sekiranya dikatakan pengisian rancangan televisyen di Malaysia ketika ini terlalu fokus kepada skop hiburan dan komersial melebihi keperluan maklumat warisan budaya serumpun. Masih ramai masyarakat, malah karyawan tempatan beranggapan rancangan di televisyen mesti memenuhi selera penonton. Ini tanggapan daripada perspektif Barat bahawa televisyen adalah hak mutlak rakyat bagi menyantuni selera tanpa sempadan.

Perspektif sebegini menjadi pencabar utama kepada teras kebudayaan bangsa, sekali gus hilang nilai budaya Timur dan moral dengan pengisian rancangan memaparkan gejala sosial seperti merempit, bohsia dan seks bebas yang kian berleluasa. Selain itu, stesen televisyen juga cenderung dengan paparan tahyul dan keruntuhan moral yang makin memomokkan fikiran masyarakat sehingga terpengaruh dengan elemen yang memesongkan akidah.

Perlukah stesen televisyen cenderung mengaut keuntungan dengan sajian program hiburan semata-mata dan membelakangkan nilai maklumat yang sepatutnya menjadi tonggak utama sebaran media?

TIDAK BERMORAL

Baru-baru ini tular sedutan drama memaparkan aksi keterlaluan yang bakal ditayangkan pada Ramadan ini sehingga mendapat bantahan ramai. Sebarang bentuk program seumpama ini jelas mempamerkan perbuatan dilarang Islam dengan aksi dan adegan tidak bermoral, melampaui batas serta bertentangan dengan norma masyarakat dan hukum syarak.

Sungguhpun pihak produksi telah menyatakan ia adalah bagi tujuan promosi dan tidak akan ditayangkan di stesen televisyen, malangnya adegan tersebut telah pun ditayangkan kepada masyarakat secara tidak langsung.

Lakonan drama mampu memberi pendidikan dan pengajaran yang baik kepada masyarakat. Namun apakan daya kerana nila setitik, rosak susu sebelanga.

Selain itu, pengisian bahasa rojak juga kian berleluasa dalam sajian rancangan yang kononnya selaras dengan cara hidup moden masyarakat sekarang. Kemewahan menggunakan bahasa rojak moden ini sebagai trend mempengaruhi individu dalam komunikasi seharian.

Fenomena ini menunjukkan stesen televisyen di negara kita kurang memberi tumpuan kepada usaha kesinambungan budaya.

Stesen televisyen tidak harus bersikap terlalu liberal, demokratik atau terlalu fleksibel dalam menyiarkan rancangan semata-mata mahu memenuhi kehendak masyarakat.

Diharapkan stesen televisyen tempatan dapat mewarnai siaran dengan paparan seni warisan dan tradisi masyarakat Malaysia mengenai tatasusila, peradaban dan cara berkomunikasi dalam usaha mempromosikan budaya kepada semua penonton.

Seluruh penggiat seni tanah air juga perlu memainkan peranan bersama untuk membentuk moral yang baik dalam kalangan rakyat. Karya seni adalah medium yang sangat berkesan dalam memperbaiki masyarakat.

* Shafezah Abdul Wahab ialah Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi & Pengajian Media, UiTM Cawangan Melaka

Klik di sini untuk terus membaca