SHAH ALAM - Masyarakat awam perlu berhati-hati dan mengenal pasti beberapa tanda penipuan kerja sebelum menghantar resume atau maklumat peribadi.
Pakar Kriminologi dari Universiti Utara Malaysia, Dr Zalmizy Hussin berkata, ini kerana, penipuan di internet kini semakin berleluasa dan para scammer suka mengambil kesempatan di atas keadaan orang awam yang terdesak terutama ketika pandemik Covid-19.
Jelasnya, antara yang boleh dilakukan adalah menyelidik latar belakang sesebuah syarikat atau mencari maklumat dan senarai penipuan kerja di internet terlebih dahulu.
Dalam masa sama, antara penipuan yang boleh dikesan adalah pakej faedah lumayan dan amaun gaji tinggi yang tidak setanding dengan kerja ditawarkan.
"Sebenarnya kerja mudah gaji mahal adalah susah untuk diperoleh kerana sememangnya tiada istilah pekerjaan yang sempurna.
"Selain itu, skop kerja dan kelayakan yang tidak jelas. Iklan jawatan kosong yang sebenar akan menyertakan tahap kelayakan dan skop kerja yang jelas bagi memudahkan urusan syarikat untuk mencari calon yang paling sesuai.
"Malah, jika bertanyakan soal skop kerja, scammer tidak akan melayan soalan kita atau akan kononnya menawarkan latihan khusus untuk jawatan kosong tersebut,” katanya pada Rabu.
Selain itu, menurutnya, sebelum seseorang individu bersetuju terhadap sesuatu panggilan temuduga, mereka perlu menyelidik dahulu latar belakang syarikat tersebut di dalam talian.
Jelas Zalmizy, jika tidak menemui sebarang maklumat, ia kemungkinan adalah satu penipuan.
"Namun begitu, ada juga beberapa kes scammer bijak dalam membuat satu laman sesawang syarikat yang profesional bagi memperdaya pencari kerja,” jelasnya.
Oleh itu, beliau berkata, seseorang itu perlu mencari dalam talian nama dan alamat e-mel syarikat atau salin dan tampal sedikit kandungan e-mel yang diterima ke laman carian untuk mengetahui dengan lebih lanjut.
"Jangan sekali-kali membayar sesuatu amaun jika disuruh kerana secara logiknya syarikat yang sah tidak akan meminta pekerja atau bakal pekerja memindahkan wang ke akaun individu lain.
"Walau terdesak macam mana sekali pun kita mencari kerja, selidik dengan mendalam dahulu bakal majikan kita untuk elak dari ditipu. Scammer sekarang seolah-olah sangat terlatih dan bijak dalam memperdayakan orang ramai,” ujarnya.