KUALA LUMPUR - Sindiket penipuan sentiasa ‘berinovasi’ untuk memanipulasi emosi dan kepayahan masyarakat.
Hal ini terbukti apabila wujud penipuan tawaran kerja yang mula dikesan sejak awal tahun lalu dengan menyasarkan masyarakat yang mahu mencari wang sampingan akibat terkesan ketika Covid-19.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, kes penipuan mencatatkan jumlah yang tinggi kerana sindiket sentiasa mencari kaedah bagaimana hendak memperdaya mangsa.
Menurutnya, bagi kes tipu tawaran kerja, individu yang kerap menjadi mangsa adalah dalam kalangan mereka yang tidak bekerja, suri rumah dan penuntut universiti yang mahukan pendapatan sampingan.
"Melihat kepada perkara ini, scammer ini mengambil kesempatan ini untuk menipu. Itu yang berlaku di mana suspek ini menawarkan pekerjaan yang mudah.
"Apa yang kita dapati sindiket ini menawarkan kerja dari rumah dengan menggunakan platform e-dagang kononnya boleh mendapat duit sampingan dalam tempoh yang singkat.
"Berdasarkan laporan polis yang diterima, sindiket akan mengiklankan tawaran terbabit di media sosial seperti Facebook, Wechat, Instagram dan lain-lain. Mangsa yang berminat kemudian akan diberikan pautan ke laman e-dagang terbabit sebelum diarah untuk membeli barangan tertentu,” katanya kepada Sinar Harian dalam wawancara eksklusif, baru-baru ini.
Mohd Kamarudin berkata, mangsa akan diminta untuk meningkatkan kadar jualan produk tertentu yang ada dijual di platform e-dagang terbabit kononnya untuk meninggikan rating produk berkenaan.
"Contohnya kalau kita hendak beli barang, sudah tentu kita akan lihat rating produk terbabit. Jadi, sindiket menggunakan hal itu di mana mangsa ini diminta untuk membeli produk itu biar pun sebenarnya ia tidak berlaku.
"Langkah pertama, sindiket akan mengarahkan mangsa untuk membeli barang yang murah terlebih dahulu dengan dijanjikan pulangan seperti lapan peratus daripada nilai pembelian.
"Saya bagi contoh, bila mangsa membeli barang dengan nilai RM100 dan dijanjikan pulangan lapan peratus, suspek akan memberi pulangan RM108 iaitu tambahan RM8,” ujarnya.
MEMANCING MANGSA
Tambahnya, modus operandi sindiket adalah ‘memancing’ mangsa di peringkat awal dengan memberikan wang pulangan.
Katanya, namun tugasan kedua dan seterusnya nilai barangan adalah lebih mahal dan setiap pembayaran perlu dibuat di akaun peribadi milik individu lain (keldai akaun). Jika kita mampu beli lebih mahal, suspek akan menaikkan lagi nilai bayaran.
"Biasanya kali pertama dan kedua akan dapat keuntungan. Tapi kemudian, lepas mangsa masukkan jumlah bayaran yang banyak hingga ribuan ringgit, suspek akan memberi pelbagai alasan seperti masalah bank dan sebagainya.
"Walhal, syarikat e-dagang terbabit tidak pernah mengetahui dan menawarkan kerja atau tugasan kononnya bagi menaikkan rating produk sedemikian,” katanya.
Menurut beliau, kebiasaan produk yang ditawarkan sindiket adalah pelbagai seperti barangan elektrik dan pakaian.
"Dalam scam ini pertamanya, suspek akan ‘pancing’ dulu dengan harga murah dan ini adalah helah yang sama dengan kes penipuan pelaburan,” katanya.
RUGI RM7 JUTA
Modus operandi yang telah dikesan sejak awal tahun 2021 itu merekodkan 316 kes dengan nilai kerugian mencecah RM7 juta sehingga Februari tahun ini.
"Ketika itu adalah tempoh sekatan pergerakan Covid-19 dan sindiket memanipulasi keadaan dengan melihat orang yang perlukan wang.
"Kita percaya modus operandi ini akan bertambah dari semasa ke semasa,” ujarnya.
Katanya lagi, hasil tindakan dan risikan, JSJK berjaya memberkas 70 individu termasuk dua warga China dipercayai terlibat dalam kegiatan penipuan ini.
Tambahnya, soal siasat mendapati penipuan ini membabitkan mangsa di kalangan warga tempatan dan Singapura.
"Kita percaya walaupun sindiket tidak sama, tetapi ia melibatkan keldai akaun yang sama dan siasatan masih dijalankan untuk mengenal pasti adakah rangkaian ini membabitkan sindiket yang sama.
Tegas Mohd Kamarudin, JSJK akan terus pertingkatan operasi dalam usaha mengesan pemilik akaun yang terbabit menjual akaun mereka kepada individu tertentu.
"Tindakan menjual akaun adalah satu kesalahan dan usaha memburu keldai akaun ini giat dilaksanakan di seluruh negara.
"Semua sindiket penipuan melibatkan keldai akaun. Kita mahu pastikan tiada lagi keldai akaun dan saya percaya jika tiada keldai akaun, automatik tiada berlaku penipuan online,” jelasnya.
Justeru, beliau mengingatkan masyarakat untuk berhati-hati dan usah percaya dengan helah seperti kes ini.
"Jika ada tawaran sebegini, adalah perlu untuk dirujuk dengan platform sebenar sama ada betul atau tidak. Mereka yang menerima tawaran kerja sampingan ini diminta agar tidak meneruskannya dan usah terlibat kerana tiada keuntungan dengan jalan mudah,” katanya.