EROPAH menyaksikan kenaikan import senjatanya di dunia dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini dan ia merupakan satu trend di tengah-tengah ancaman yang ditimbulkan oleh Rusia kerana menyerang Ukraine.
Walaupun eksport senjata menurun secara global sebanyak 4.6 peratus pada tahun 2017-2021 berbanding lima tahun sebelumnya, Eropah mencatat kenaikan import senjata sebanyak 19 peratus.
Ia berdasarkan kajian yang diterbitkan oleh Stockholm International Peace Research Institute (SIPRI).
"Eropah adalah lokasi panas yang baharu," kata Siemon Wezeman iaitu pengarang bersama laporan tahunan itu selama lebih dari tiga dekad kepada AFP.
Beliau menyatakan bahawa bahawa majoriti senjata-senjata baharu itu kemungkinan datang dari negara-negara Eropah lain dan Amerika Syarikat (AS).
Jerman khususnya telah mengumumkan rancangan untuk meningkatkan perbelanjaan ketenteraannya sama seperti Denmark dan Sweden.
Negara-negara Eropah yang merasa bimbang disebabkan oleh pencerobohan Rusia di Ukraine telah meningkatkan keupayaan tentera masing-masing dengan pembelian jet-jet pejuang seperti F-35 buatan AS, peluru-peluru berpandu, artileri-artileri dan senjata-senjata berat lainnya.
"Kebanyakan perkara ini memerlukan sedikit masa. Anda harus melalui prosesnya, anda harus membuat keputusan, anda harus membuat pesanan. Pada kebiasaannya, ia memerlukan masa sekurang-kurangnya beberapa tahun," kata Wezeman.
Beliau menyatakan bahawa trend kenaikan pengimportan senjata itu sebenarnya bermula setelah Rusia menguasai Crimea pada tahun 2014 tetapi kesannya hanya kini dapat dilihat hari ini.
Penglibatan Eropah dalam perdagangan senjata global telah meningkat daripada 10 hingga 13 peratus dalam lima tahun kebelakangan ini dan ia akan meningkat lagi, menurut Wezeman.
PERDAGANGAN SENJATA RM422 BILION
Adalah sukar untuk memberikan angka yang tepat untuk perdagangan senjata dunia tetapi para pakar menganggarkan perolehan hampir AS$100 bilion (RM422 bilion) berlaku pada setiap tahun.
Menurut SIPRI, Asia dan Oceania kekal sebagai wilayah pengimport utama dalam tempoh lima tahun yang terakhir ini yang menempatkan 43 peratus pemindahan senjata.
Ia menyatakan terdapat enam pengimport terbesar senjata di Asia dan Oceania iaitu India, Australia, China, Korea Selatan, Pakistan serta Jepun.
Walaupun import senjata ke wilayah paling ramai penduduk di dunia menurun sekitar lima peratus dalam tempoh lima tahun yang terakhir, Asia Timur dan Oceania secara khusus melihat pertumbuhan yang kuat masing-masing mencatatkan sebanyak 20 serta 59 peratus.
"Ketegangan antara China dan kebanyakan negara di Asia serta Oceania adalah pemacu utama import senjata ke rantau ini," kata penulis laporan itu dalam satu kenyataan.
Di Timur Tengah yang merupakan pasaran kedua terbesar dengan 32 peratus import senjata global, peningkatan importnya adalah sebanyak tiga peratus.
Ini adalah didorong terutamanya oleh pelaburan yang dilakukan di Qatar.
"Harga minyak semasa bermaksud negara-negara (di Timur Tengah) akan mempunyai banyak pendapatan dan pada kebiasaannya ia membawa maksud terdapat banyak pesanan untuk mendapatkan senjata," kata Wezeman.
Sementara itu, Amerika dan Afrika mendapati import senjatanya menurun dengan mendadak, masing-masing sebanyak 36 dan 34 peratus dan menyumbang sekitar enam peratus daripada pengimportan senjata global.
Dari segi negara pula, India dan Arab Saudi berkongsi tempat teratas sebagai pengimport terbesar, masing-masing menyumbang sebanyak 11 peratus dan berada di hadapan Mesir (5.7 peratus), Australia (5.4 peratus) serta China (4.8 peratus).
AS PENGEKSPORT UTAMA
AS pula mendahului negara-negara lain dari segi pengeksportan senjata dengan 39 peratus.
Rusia kekal berada di tempat kedua walaupun eksport senjatanya turun menjadi 19 peratus dalam tempoh lima tahun yang terakhir ini.
Sebahagian besarnya adalah disebabkan oleh penurunan import oleh China yang kini hampir sepenuhnya bebas daripada memiliki senjata-senjata Rusia.
Peminggiran Rusia ekoran pelbagai sekatan ekonomi dikenakan ke atas negara berkenaan ekoran Perang Ukraine mungkin akan lebih membebankan industri senjatanya pada masa hadapan.
Wezeman turut menyatakan bahawa Turki membeli sistem pertahanan peluru berpandu S-400 buatan Rusia.
"Saya rasa tekanan akan sangat besar bagi negara-negara seperti Algeria atau Mesir yang merupakan pengimport senjata Rusia yang besar," katanya.
Perancis adalah pengeksport ketiga terbesar senjata dengan 11 peratus sementara China dan Jerman masing-masing berada di tempat keempat dan kelima dengan 4.6 dan 4.5 peratus. - Agensi
Klik di sini untuk terus membaca