SHAH ALAM - Kemenangan besar Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor seharusnya membuka mata semua parti pembangkang termasuk Perikatan Nasional (PN), bahawa mereka wajib mewujudkan 'zon bebas ego' demi menjayakan agenda penyatuan dalam mendepani Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif EMIR Research, Datuk Dr Rais Hussin Mohamed Ariff berkata, parti-parti pembangkang seperti Pakatan Harapan (PH), Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Parti Warisan (Warisan) dan Parti Ikatan Demokratik Muda (Muda) juga perlu mengambil iktibar daripada sifat takbur Azazil atau Iblis yang akhirnya dilaknat ALLAH SWT hanya disebabkan beliau enggan sujud kepada manusia.
Menurutnya, apabila pembangkang tidak bersatu, situasi berkenaan memberi kelebihan besar kepada UMNO-BN untuk menang bergaya bukan sahaja dalam PRN Melaka dan Johor, bahkan rentak itu berkemungkinan akan berulang pada mana-mana pilihan raya akan datang.
Tambahnya lagi, sebaik sahaja PH memutuskan menggunakan dua lambang pilihan raya berbeza, Muda dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkelahi sesama sendiri dan parti-parti pembangkang gagal mewujudkan pertembungan dua penjuru, pihaknya sudah mengunjurkan UMNO-BN akan menang besar dengan majoriti dua pertiga.
"PH, PN, Muda dan parti-parti pembangkang lain termasuk Pejuang dan Warisan, kini perlu berlapang dada mewujudkan 'zon bebas ego' dan berbincang strategi terbaik untuk mereka bersatu bagi menghadapi pilihan raya seterusnya.
"Kalau mereka berterusan berpecah seperti sekarang, keputusan PRU15 pastinya sudah boleh dijangka dengan UMNO-BN akan mengulangi kemenangan majoriti dua pertiga kerusi Parlimen.
"Mereka juga kena ambil iktibar daripada peristiwa Azazil atau Iblis yang pernah diangkat darjat menjadi ketua malaikat, namun dilaknat ALLAH SWT hanya kerana ia takbur, berasa lebih bagus dan ego terhadap Nabi Adam AS, makhluk ALLAH yang hanya diciptakan daripada tanah.
"Takkan kita tidak belajar lagi daripada sifat takbur? Kalau pemimpin pembangkang masih dengan ego masing-masing, mereka kena terima hakikat sebuah parti yang dipenuhi pemimpin terpalit kes mahkamah dan isu korupsi akan terus mengepalai negara," katanya kepada Sinar Premium.
Beliau berkata demikian bagi mengulas cadangan terbaik untuk blok pembangkang kembali bangkit pada PRU15 setelah kesemua parti terlibat kalah teruk pada PRN Johor, 12 Mac lalu.
Dengan blok pembangkang berpecah sehingga 10 parti, UMNO-BN berjaya mencapai kemenangan selesa dengan meraih 40 daripada keseluruhan 56 DUN Johor, meskipun undi popular diraih koalisi yang turut disertai MCA dan MIC itu hanya sekadar 43 peratus.
PRN Johor juga menyaksikan PH termasuk PKR hanya memperoleh 12 kerusi DUN, PN (3) dan Muda (1).
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dalam satu kenyataan bagaimanapun mengenepikan pertikaian pihak tertentu terhadap undi popular rendah diperoleh UMNO-BN.
Jelas beliau, sistem demokrasi di negara ini tidak menggunakan sistem undi popular sebaliknya menggunakan sistem ‘first past the post’.
Mengulas lanjut, Rais Hussin menegaskan jika perbincangan dibuat tidak melandaskan emosi sekali gus memuktamadkan satu kerjasama politik tidak rasmi antara parti-parti pembangkang, beliau yakin pasti ada formula khas yang mampu memuaskan hati semua pihak.
Ujarnya, satu contoh formula terbaik yang mampu dipersetujui semua parti pembangkang adalah dalam aspek persepakatan memilih calon Perdana Menteri baik, mewujudkan kabinet bayangan berwibawa di samping manifesto pilihan raya realistik dan memenuhi keperluan rakyat.
"Paling penting, parti-parti pembangkang yang bersatu perlu membawa mesej politik yang bersederhana dan konsisten memandangkan pada saat ini, rakyat tidak perlukan pendirian atau mesej politik yang ekstrem.
"Mana-mana parti tidak perlu hendak menunjukkan mereka berhaluan kanan memperjuangkan nasib Melayu, kaum Cina atau agama tertentu.
"Selain itu, mereka juga perlu menjuarai beberapa paksi pembaharuan penting negara seperti reformasi pentadbiran negara yang inklusif, bersederhana, progresif dan berintegriti," ujarnya.
Dalam soal agihan kerusi pilihan raya di antara parti-parti pembangkang, Rais Hussin turut mencadangkan setiap parti termasuk Muda perlu diberi jaminan akan diserahkan kerusi yang dikenal pasti memberi kelebihan kepada parti masing-masing.
"Sebagai contoh, bagi negeri Kelantan dan Terengganu, mungkin semua parti boleh berlapang dada memberi ruang kepada Pas untuk kekal mentadbir di situ.
"Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan, mungkin boleh terus kekal di tangan PKR dan DAP, manakala untuk PN dan Pejuang pula mungkin boleh fokus kepada negeri-negeri majoriti pengundi kaum Melayu. Bagi Warisan, saya fikir lebih baik fokus menang di Sabah.
"Kalau PH, PN, Muda, Pejuang dan Warisan boleh berbincang apa yang terbaik untuk Malaysia, melupakan seketika prinsip perjuangan parti masing-masing demi permaslahatan rakyat lebih besar, atau sekurang-kurangnya mewujudkan satu pakatan tidak rasmi, saya percaya rakyat akan kembali yakin dengan kemampuan pembangkang," tegasnya lagi.
Klik di sini untuk terus membaca