PIHAK berkuasa Rusia dan Ukraine telah menggunakan taktik yang berbeza untuk mempertahankan nilai mata wang masing-masing yang kini susut akibat peperangan antara kedua-dua buah negara sejak bulan lalu. Pada 23 Februari lalu, nilai AS$1... Klik di sini untuk terus membaca

PIHAK berkuasa Rusia dan Ukraine telah menggunakan taktik yang berbeza untuk mempertahankan nilai mata wang masing-masing yang kini susut akibat peperangan antara kedua-dua buah negara sejak bulan lalu.

Pada 23 Februari lalu, nilai AS$1 (RM4.21) bersamaan dengan 81.27 ruble sebelum Moscow menghantar tentera ke Ukraine pada 24 Februari lalu.

Ia kemudian pernah mencecah hampir 150 ruble (RM6.07) untuk AS$1 sebelum kembali meningkat kepada 104.01 ruble (RM4.21) untuk nilai perbandingan sama baru-baru ini.

Sejak itu, ia berada pada tukaran asing sekitar 105 ruble (RM4.26) untuk setiap AS$1 dolar.

Ia disebabkan oleh perbincangan antara Moscow dan Kiev yang diadakan di Turki bagi menamatkan Perang Ukraine.

Walaupun tidak lagi menerima banyak rizab mata wang asingnya kerana sekatan pihak Barat, Bank Pusat Rusia kadang-kala bertindak menjualnya sebagai salah usaha untuk menyokong ruble.

Bagaimanapun, berikutan pelaksanaan kawalan modal yang ketat sehingga menyebabkan pihak pengeksport menjual sebahagian besar mata wang asing mereka ke Bank Pusat dan mengehadkan pengeksportan, langkah-langkah tersebut nampaknya berfungsi dengan baik.

"Selama 10 tahun terakhir, Bank Pusat telah campur tangan secara langsung buat beberapa kali untuk menstabilkan kadar pertukaran pasaran," kata seorang penganalisis di bank pelaburan Aton, Alexander Kudrin.

"Tanda-tanda penstabilan pertama sudah pun muncul," tambahnya.

Perang Ukraine turut menyebabkan nilai mata wangnya susut. - Foto AFP

Seorang pakar ekonomi Rusia, Janis Kluge yang bertugas dengan badan pemikir SWP di Berlin, Jerman baru-baru ini membuat ciapan di aplikasi Twitter bahawa ruble sedang mengukuh disebabkan oleh pelaksanaan kawalan modal yang ketat dilaksanakan Moscow.

Pendapatan minyak dan gas yang besar berikutan sekatan Barat juga membantu pengukuhan semula mata wang Rusia.

Dalam pada itu, ketika Ukraine berada di bawah kuat kuasa undang-undang tentera, Bank Pusat negara berkenaan telah menangguhkan semua perdagangan mata wang dan menetapkan kadar pertukaran tetap sekitar 29 hryvnia (RM4.18) untuk AS$1.

Bank Pusat itu juga melarang pengeluaran mata wang asing dibuat di negara berkenaan.

Volodymyr Lepushynskyi iaitu Pengarah Dasar Monetari di Bank Pusat Ukraine menyatakan bahawa para pegawainya sudah pun mempunyai pelan yang telah disediakan bagi menghadapi sebarang konflik di negara itu.

Beliau berkata, pihaknya berharap bahawa Bank Pusat tidak perlu melaksanakan rancangan tersebut namun institusi kewangan itu perlu bersiap sedia menghadapi sebarang konflik.

"Kami mempunyai pemahaman yang jelas tentang apa yang perlu dilakukan untuk mencegah ketidakstabilan sektor kewangan dan untuk mewujudkan operasi yang berkesan dalam keadaan seperti itu," ujarnya.

Menteri Kewangan Ukraine, Sergiy Marchenko baru-baru ini menyatakan menerusi televisyen di negara itu bahawa langkah-langkah yang dilaksanakan oleh Bank Pusat telah mewujudkan kadar pertukaran mata wang asing yang kembali stabil.

Beliau juga menyatakan bahawa Ukraine telah mendapat sokongan daripada rakan-rakan antarabangsanya termasuk Kesatuan Eropah (EU) dan Bank Dunia.

Marchenko berkata, Dana Kewangan Antarabangsa telah meluluskan program bantuan kecemasan sebanyak AS$1.4 bilion

(RM5.91 bilion) untuk Ukraine.

Felo pelawat London School of Economics di Britain, Ousmene Mandeng memberi amaran bahawa walaupun langkah-langkah itu dibenarkan dilakukan disebabkan oleh keadaan yang melampau, ia masih tetap membawa risiko.

"Penangguhan perdagangan pertukaran mata wang asing adalah sama dengan pembekuan harga.

"Jika berpanjangan, ia boleh menyebabkan wujudnya pasaran gelap untuk pertukaran mata wang asing," katanya kepada AFP.

Mandeng juga menyatakan bahawa Ukraine mempunyai kira-kira AS$28 bilion (RM1.18 trilion) rizab mata wang asing.

"Ini semestinya memberikan sedikit keselesaan untuk jangka pendek," katanya. - Agensi

Klik di sini untuk terus membaca