NARATIF ketidakstabilan politik seperti berlaku di Johor mungkin bakal merebak ke peringkat Persekutuan apabila kerajaan gagal mendapatkan kelulusan usul bagi meminda tempoh pelanjutan kuat kuasa Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan... Klik di sini untuk terus membaca

NARATIF ketidakstabilan politik seperti berlaku di Johor mungkin bakal merebak ke peringkat Persekutuan apabila kerajaan gagal mendapatkan kelulusan usul bagi meminda tempoh pelanjutan kuat kuasa Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) di Parlimen, pada Rabu.

Sejak semalam sehinggalah ke hari ini, beberapa pemimpin utama UMNO nampaknya sedang membina naratif isu ketidakstabilan kerajaan sebagai impak daripada kekalahan kerajaan di Parlimen pada Rabu.

Malah, ada pemimpin UMNO secara terang-terangan mendakwa Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik yang dimeterai antara kerajaan dengan Pakatan Harapan (PH) terbatal akibat blok pembangkang menolak usul pindaan di Parlimen.

Laporan berita kenyataan Zahid Hamidi mengenai kekalahan usul kerajaan di Parlimen.

"PH telah melanggar MoU, dengan secara mengejut meminta undi belah bahagi bagi satu usul yang dibawa oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin di mana PH telah mengundi menolak usul tersebut.

"Pada hemat saya, dengan tindakan itu, maka terbatal sudah MoU berkenaan," kata Ahli Parlimen Ketereh yang juga Menteri Komunikasi Dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa.

"Pembangkang langgar MoU yang telah ditandatangani. Ini pandangan peribadi saya. Berdasarkan kepada peristiwa semalam di Dewan Rakyat bila Kementerian Dalam Negeri (KDN) kalah undi belah bahagi, maka selamat tinggal MoU,” kata Ahli Parlimen Pontian merangkap Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Bagaimanapun, pemimpin kerajaan daripada Perikatan Nasional dan Gabungan Rakyat Sarawak dilihat masih mempertahankan MoU antara kerajaan dan PH yang dimaklumkan masih belum terbatal.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, ia berdasarkan klausa 4.1 dalam MoU itu yang memperuntukkan perjanjian itu tidak terus tamat jika usul kerajaan tidak disokong.

"Sebenarnya, ia masih terbuka untuk kedua-dua pihak berunding. Ini bermakna kalau ada percanggahan dibuat,sebagaimana berlaku semalam, belum secara automatik MoU itu akan tamat.

"Ia akan tamat apabila dua-dua pihak bersetuju kalau mahu menamatkannya," kata Wan Junaidi yang juga Ahli Parlimen Santubong - GPS.

Dalam pada itu, walau bagaimanapun menolak usul pindaan kerajaan sehingga menjadi punca kekalahan pertama kerajaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Parlimen, pemimpin PH menegaskan mereka masih berpegang kepada janji dan MoU dengan kerajaan belum tamat.

Laporan berita kenyataan Ahmad Maslan mengenai kekalahan usul kerajaan di Parlimen.

Setiausaha Agung DAP yang baharu, Anthony Loke berkata, Ismail Sabri tidak hilang kepercayaan kerana kegagalan Dewan Rakyat meluluskan usul melanjutkan tempoh kuat kuasa Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) pada Rabu.

"Obligasi kita ialah meluluskan Belanjawan 2022 yang kita telah panggil belah bahagian sepanjang perbahasan tahun lepas.

"Kalau sekarang siapa-siapa pertikaikan atau ada persoalan bahawa Bera sudah hilang kepercayaan, bawalah satu usul kepercayaan, kita akan berkecuali dan pasti usul kepercayaan itu diluluskan. Jadi soal usul kepercayaan itu tidak timbul sama sekali," katanya di Dewan Rakyat di sini pada Khamis.

Bagaimanapun, yang pasti naratif kerajaan sedia ada tidak stabil walaupun blok pembangkang masih menyokong ketua kerajaan itu, nampaknya hampir menyamai dengan naratif yang berlaku di Johor sehingga menimbulkan persoalan sama ada pilihan raya umum makin hampir?

Sivamurugan

Penganalisis politik merangkap Pensyarah di Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Sivamurugan Pandian berkata, biarpun kerajaan sedia ada masih mempunyai keabsahannya, namun keputusan itu menyebabkan Perdana Menteri terus menerima desakan supaya beliau segera memohon perkenan Yang di-Pertuan Agong membubarkan Parlimen, secepat mungkin.

Bagaimanapun, Sivamurugan berkata, tindakan untuk memohonkan perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen bagi memberi laluan kepada PRU15 adalah bergantung kepada keputusan Perdana Menteri selaku Ketua Kerajaan.

"Malah, ramai pemimpin UMNO termasuk Datuk Seri Dr Ahmad Zahid sendiri, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dan Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa sudah mengeluar kenyataan menggesa supaya PRU15 diadakan secepat mungkin kerana beranggapan MoU antara kerajaan dan pembangkang sudah terbatal berikutan keputusan undi di Parlimen, pada Rabu lalu.

"Namun, kalau kita rujuk kepada keputusan Perhimpunan Agung UMNO (PAU), maka didapati keputusan pembubaran Parlimen dan PRU15 akan diumumkan selepas lima pemimpin utama UMNO termasuk Presiden dan Ismail Sabri selaku Naib Presiden UMNO berunding. Jadi adakah ini masanya sesuai untuk mereka berunding dan menentukan tarikh pembubaran Parlimen dan PRU15?," katanya kepada Sinar Premium.

BUKAN HILANG SOKONGAN

Dalam pada itu, Sivamurugan percaya PH akan menyokong usul pindaan Perlembagaan akan dibawa oleh kerajaan selepas ini bagi menimbal balik dan memperlihatkan bahawa perjanjian MoU antara Perdana Menteri dan PH masih lagi terpakai.

"Jika kerajaan pimpinan Perdana Menteri mampu mendapat sokongan undi dua pertiga daripada Ahli Parlimen yang hadir di Dewan Rakyat hari ini maka ia mungkin akan meredakan desakan supaya beliau segera memohon perkenan pembubaran Parlimen daripada Yang di-Pertuan Agong dalam masa terdekat," katanya.

Mohd Yusri

Penganalisis politik merangkap Ketua Penyelidikan Ilham Center untuk PRN Johor, Prof Madya Dr Mohd Yusri Ibrahim, pula menegaskan kegagalan kerajaan menang undi usul pindaan Akta Sosma di Dewan Rakyat, pada Rabu lalu, bukan bermakna Perdana Menteri sudah hilang sokongan majoriti Ahli Parlimen.

Mohd Yusri berkata, kegagalan Kementerian Dalam Negeri (KDN) memperoleh undi mencukupi bagi melanjutkan tempoh kuat kuasa Akta Sosma memang banyak menimbulkan persoalan mengenai apa sudah jadi dengan MoU antara kerajaan dan pembangkang, sebelum ini.

Antara kandungan utama MoU berkenaan adalah di mana pembangkang wajib menyokong atau berkecuali dalam semua usul di bawa oleh kerajaan termasuklah belanjawan dan perkara lain.

Bagaimanapun, Mohd Yusri berkata antara klausa penting dalam MoU berkenaan adalah di mana pihak kerajaan perlu berunding dengan pihak pembangkang sebelum sebarang usul dibentangkan dan dibahaskan di Parlimen.

"Saya difahamkan memang wujud rundingan antara kerajaan dan pembangkang mengenai belanjawan namun tiada apa rundingan atau perbincangan antara mereka berhubung pindaan bagi melanjutkan tempoh kuat kuasa Akta Sosma," katanya.

AHLI PARLIMEN KERAJAAN TIDAK HADIR

Mengulas lanjut, Mohd Yusri berkata, kegagalan kerajaan memperoleh undi mencukupi untuk meminda Akta Sosma juga berpunca daripada ramai Ahli Parlimen dari blok penyokong kerajaan yang gagal hadir dan mengundi di Dewan Rakyat, pada Rabu lalu.

"Kalau semua Ahli Parlimen blok penyokong kerajaan ada di Dewan Rakyat semasa undian dilakukan saya percaya undian berkenaan mampu dimenangi kerajaan dengan mudah tanpa sebarang isu berbangkit.

"Oleh itu, bagi saya apa yang jelas kegagalan kerajaan mendapat kelulusan pindaan Akta Sosma di Dewan Rakyat (semalam) bukan indikator penting yang menunjukkan Perdana Menteri sudah hilang sokongan majoriti dan Parlimen dibubarkan secepat mungkin," katanya.

Laporan berita kenyataan Mohamad Hasan mengenai kekalahan usul kerajaan di Parlimen.

PELIK DAN ANEH

Penganalisis politik dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Mohd Izani Mohd Zain pula berkata, tidak nampak keputusan undian berkenaan akan menjejaskan kedudukan Perdana Menteri yang masih mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen di Dewan Rakyat.

Bagaimanapun, Mohd Izani melahirkan rasa pelik dan aneh apabila usul dibawa kerajaan gagal mendapat undian mencukupi daripada ahli Parlimen biarpun wujud perjanjian MoU antara Perdana Menteri dan wakil rakyat PH, sebelum ini.

"Namun, kalau kita lihat bahawa kegagalan itu sebenarnya bukan berpunca daripada pihak pembangkang semata-mata, sebaliknya ramai ahli Parlimen dari blok penyokong kerajaan termasuk Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Razak dan Presiden Bersatu sendiri Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri tidak dapat hadir ke Parlimen.

"Saya juga melihat keputusan itu adalah kerana kegagalan Ketua Whip memainkan peranan penting bagi memastikan semua ahli Parlimen dari blok kerajaan menghadiri sesi undi kelulusan usul pindaan Akta Sosma berkenaan di Dewan Rakyat, semalam," katanya.

INFO:

Senarai Ahli Parlimen yang tidak hadir semasa pengundian:

BN:

1. Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (BN-Sembrong) - Berada di luar negara

2. Datuk Zahidi Zainul Abidin (Padang Besar) - Lewat masuk dewan

3. Datuk Seri Ir Dr Wee Ka Siong (Ayer Hitam)- Berada di luar negara

4. Datuk Seri M Saravanan (Tapah)

5. Tan Sri Annuar Haji Musa (Ketereh) - Lewat masuk dewan

6. Datuk Seri Hasan Arifin (Rompin)

7. Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (Bagan Datuk)

8.Datuk Seri Mohd Najib Tun Haji Abdul Razak (Pekan) - Kes mahkamah

9. Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor (Putrajaya)

10. Datuk Shamsul Anuar Nasarah (Lenggong)

11. Datuk Seri Bung Moktar Radin (Kinabatangan)

12. Datuk Seri Ahmad Maslan (Pontian)

Bersatu:

1. Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (Gombak) - Lewat masuk dewan

2. Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah) - Umrah

3. Datuk Eddin Syazlee Shith (Kuala Pilah)

4. Datuk Kamarudin Jaffar (Bandar Tun Razak)

5. Datuk Mansor Othman (Nibong Tebal)

6. Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang)

7. Datuk Shabudin Yahaya (Tasek Gelugor)

8. Tan Sri Mahiaddin Mohd Yassin (Pagoh)

9. Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof (Alor Gajah)

10. Datuk Mohamaddin Ketapi (Lahad Datu)

Pas:

1. Nik Muhammad Zawawi Haji Salleh (Pasir Puteh)

2. Tan Sri Abdul Hadi Awang (Marang) - Positif Covid-19

3. Ahmad Fadhli Shaari (Pasir Mas)

DAP:

1. Kelvin Yii Lee Wuen (Bandar Kuching)

2. Lim Kit Siang (Iskandar Puteri) - Positif Covid-19

PKR:

1. Maszlee Malik (Simpang Renggam)

2. Datuk Christina Liew Chin Jin (Tawau)

3. Maria Chin Abdullah (Petaling Jaya)

4. Awang Husaini Sahari (Putatan)

5. Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (Pandan) - Kontak rapat

6. Nurul Izzah Anwar (Permatang Pauh) - Kontak rapat

7. Datuk Seri Anwar Ibrahim (Port Dickson) - Positif Covid-19

8. Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (Kulim Bandar Baharu)

9. Datuk Johari Abdul (Sungai Petani)

10. Michael Teo Yu Keng (Miri)

Parti Bersatu Sabah (PBS)

1. Datuk Seri Panglima Dr Maximus Johnity Ongkili (Kota Marudu)

2. Datuk Masir Kujat (Sri Aman)

Gabung Parti Sarawak (GPS)

1. Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar (Bersatu-Santubong)

2. Datuk Seri Tiong King Sing (Bintulu)

3. Datuk Seri Hajah Rohani Abdul Karim (Batang Lupar)

STAR:

1. Datuk Jeffrey Gapari Kitingan (Keningau)

Warisan:

1. Ahmad Hassan (Papar)

2. Ma’mun Sulaiman (Kalabakan)

3. Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal (Semporna)

Pejuang:

1. Tun Dr Mahathir Mohamad (Langkawi)

2. Datuk Dr Shahruddin Md. Salleh (Sri Gading)

Bebas:

1. Datuk Mohd Khairuddin Aman Razali (Kuala Nerus) - Berada di luar negara

Klik di sini untuk terus membaca