SHAH ALAM - Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mencadangkan kerajaan mengenakan cukai kepada syarikat yang mempunyai keuntungan luar biasa bagi membantu mana-mana syarikat yang mempunyai masalah membayar gaji minimum RM1,500 kepada... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mencadangkan kerajaan mengenakan cukai kepada syarikat yang mempunyai keuntungan luar biasa bagi membantu mana-mana syarikat yang mempunyai masalah membayar gaji minimum RM1,500 kepada pekerja.

Setiausaha Agungnya, Kamarul Baharin Mansor berkata, ini merupakan masa sesuai untuk kerajaan memperlihatkan kesungguhan dalam usaha meningkatkan gaji minimum kepada pekerja-pekerja di negara ini.

"Dasar yang ada sekarang ini, kerajaan memperkenalkan Program Subsidi Upah (PSU) kepada majikan-majikan yang ada masalah.

"Program itu boleh diperluaskan kepada mana-mana majikan yang mempunyai masalah untuk membayar gaji minimum iaitu RM1,500.

"Jadi kerjasama antara kerajaan dengan syarikat-syarikat adalah diperlukan dan kerajaan juga boleh mempertimbangkan pada mana-mana syarikat yang mempunyai keuntungan yang luar biasa boleh membantu mana-mana majikan yang berada dalam keadaan sesak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panelis dalam program Sinar Live bertajuk ‘Cukup ke RM1,500?’ yang disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian pada Khamis.

Dalam pada itu, Kamarul Baharin berkata, penetapan gaji minimum yang akan dilaksanakan pada 1 Mei ini tidak akan menyebabkan sesebuah syarikat itu terjejas sehingga gulung tikar.

"Penggulungan syarikat adalah disebabkan pelbagai faktor sebenarnya. Tetapi jika ada syarikat yang betul-betul mempunyai masalah berkenaan dengan gaji minimum, mereka perlu mendapatkan pertolongan daripada kerajaan.

"Kerajaan seharusnya mempunyai tanggungjawab untuk menolong syarikat-syarikat yang mempunyai masalah untuk menaikkan gaji minimum,” ujarnya.

Bagaimanapun, ketika ditanya adakah kenaikan gaji minimum RM1,500 itu cukup untuk mengimbangi kos sara hidup masa kini, Kamarul Baharin mengakui ia masih lagi tidak mencukupi.

"Sekali lagi MTUC berterima kasih kepada Perdana Menteri kerana membenarkan RM1,500 sebagai gaji minima itu dilaksanakan.

"Tetapi kita merasakan bahawa RM1,500 itu masih lagi tidak mencukupi dengan keadaan kos yang semakin meningkat sekarang ini.

"Sebab itulah kita merasakan bahawa (elaun sebanyak) RM300 perlu diberikan juga kepada pekerja-pekerja swasta,” jelasnya.

Klik di sini untuk terus membaca