INDUSTRI kereta elektrik di negara ini bakal mengalami perubahan besar rentetan penemuan teknologi kuantum. Selepas puas mencari jalan penyelesaian bagi mengatasi persoalan bateri digunakan kereta elektrik, kini jurutera dan saintis berjaya menemukan jawapan menerusi kaedah fizik kuantum.
Teknologi kuantum menjanjikan mekanisme baharu untuk mengecas bateri pada kadar sangat pantas. Ketika ini, ada kereta elektrik dicas selama 10 jam. Namun, konsep ‘bateri kuantum’ (quantum battery) dicetus Robert Alicki dan Mark Fannes membuktikan kereta elektrik boleh dicas sepenuhnya hanya dalam masa 3 minit.
Penulis mendapati konsep bateri kuantum menjurus kepada kelas peranti penyimpanan tenaga baharu yang beroperasi mengikut prinsip fizik kuantum dengan memanfaatkan kuasa tenaga eksitonik (excitonic energy). Menerusi cara ini, elektron dalam sel-sel bateri menyerap foton cahaya. Konsep bateri kuantum kini diterajui QuantumScape Inc yang mengkomersialkan teknologi bateri kuantum.
Dipercayai mulai 2024, bateri kuantum akan dilancarkan di seluruh dunia.
Jika ini berlaku, penulis percaya lebih ramai pengguna di negara ini akan membeli kereta elektrik bermula 2024. Mengikut perangkaan Malaysia Automotive Association (MAA), hanya 274 kenderaan elektrik berkuasa bateri sepenuhnya (fully battery-powered electric vehicles (EV) pada 2021. Angka tersebut sangat kecil berbanding 6.6 juta penjualan EV pada akhir 2021 di peringkat global.
Penulis mendapati industri kereta elektrik tidak berkembang kerana harga yang terlalu mahal. Misalnya model Tesla dijual antara RM288,888 dan RM323,928. Senario itu diburukkan lagi dengan kos mengecas EV terlalu mahal iaitu RM120 bagi setiap kali proses tersebut dilakukan. Penyelidikan penulis mendapati EV mampu menyimpan 10 kiloWatt jam (kWj) elektrik untuk bergerak sejauh antara 48 kilometer (km) hingga 64km atau 4.8km hingga 6.4km setiap kWj.
PENYELAMAT TERBAIK
Jadi, jika kos RM120 diambil kira, ia bermakna kos perjalanan EV mencecah RM2 setiap km berbanding kereta petrol RM0.15 setiap km. Justeru, apakah berbaloi untuk Malaysia bertindak memajukan industri EV ini meskipun ia antara faktor penting untuk menjaga alam sekitar?
Selain itu, penulis percaya soal ketahanan, kos servis dan penyelenggaraan kereta elektrik juga perlu diambil kira. Di Malaysia, pengecas arus ulang-alik pantas bagi 50 kW boleh mengecas kereta antara 30 minit hingga 1 jam bergantung kepada saiz bateri dan keadaan pengecasan semasa tiba di tempat pengecasan. Pengecas arus terus (DC) pantas pula hanya mengambil masa sehingga 1 jam 20 minit.
Penulis percaya teknologi kuantum ialah penyelamat terbaik untuk industri EV. Teknologi kuantum membolehkan pengecasan bateri dua-hala dilakukan. Ini bermakna tenaga cas mengalir kedua-dua arah iaitu daripada grid ke kenderaan dan di sebaliknya (V2G) atau kenderaan ke arus di rumah (V2H), sekali gus meningkatkan kualiti pengecasan.
Lima teknologi bateri yang sedang berusaha untuk mencapai tahap penggunaan maksimum dalam EV ialah jenis Lithium-ion, Solid-state, Aluminum-ion, Lithium-sulfur dan Metal-air. Penulis mendapati semua teknologi disebut dalam al-Quran menerusi Surah al-Asr ayat [103:1-3] memberi maksud: "Demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar berada dalam kerugian; Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh serta saling menasihati supaya mentaati kebenaran dan saling menasihati supaya menetapi kesabaran.”
Teknologi EV akan lebih dihargai sekiranya persoalan tentang kecekapan tenaga bateri diatasi. Justeru, teknologi bateri kuantum sangat penting bagi menjaga kelestarian sumber tenaga minyak, gas dan arang batu. Seorang teman di Britain baru-baru ini menghantar berita kepada penulis tentang kepayahan beliau terpaksa beratur panjang untuk membeli petrol.
Teknologi bateri kuantum jelas satu alternatif terbaik untuk memajukan industri EV di negara ini. Malaysia boleh berperanan dan terlibat dalam pembangunan teknologi bateri kuantum. Kita tidak boleh terus menjadi pembeli sebaliknya harus mula menjadi pereka cipta.
Kesimpulannya teknologi bateri kuantum sangat membantu memelihara kemurnian alam sekitar. Alam sekitar akan lebih terjaga sekiranya banyak kereta elektrik jadi pilihan rakyat Malaysia.
* Profesor Muhidin Arifin ialah Ketua Pegawai Operasi Selangor Technical Skills Development Centre
Klik di sini untuk terus membaca