SUDAH rezeki generasi sekarang, masuk kerja mulai 1 Mei ini mereka boleh dapat gaji minimum RM1,500 sebulan.
Kali terakhir gaji minimum dinaikkan adalah pada 1 Februari 2020 daripada RM1,100 kepada RM1,200 sebulan. Gaji minimum RM1,000 mula diperkenalkan di Malaysia pada tahun 2016.Malangnya, sejak cerita naikkan gaji minimum RM1,500 muncul awal tahun ini, harga barang terus mencanak. Pandemik Covid-19, ditambah perang di Ukraine adalah antara punca utamanya.
Sebab itu ada yang lebih setuju supaya harga barang distabilkan dahulu berbanding naikkan gaji. Walaupun angka RM1,500 itu nampak besar, mereka takut nilai duit itu semakin mengecil.
Sebenarnya isu utama bukanlah gaji tinggi atau rendah, tetapi kos sara hidup yang tinggi, bermaksud nilai duit kita semakin mengecil sehinggakan 5 sen tidak lagi dapat membeli gula-gula.
Pada 20 tahun lalu masih ada orang masuk ke alam pekerjaan dengan gaji bawah RM300 sebulan. Tetapi pada masa itu roti canai masih 70 sen sekeping, duit 5 sen masih ada nilai dan bukan zaman internet yang perlu tambah nilai data RM50 sebulan.
Kalau kita kembali ke zaman 40 tahun lalu pada 1970-an, pasti ada yang masih ingat mereka makan roti canai berharga 25 sen di Terengganu. Ada juga orang-orang lama memberitahu harga mi rebus di Teluk Intan, Perak sekitar 50 hingga 70 sen sahaja. Rata-rata harga roti canai kosong sekarang RM1.50 sekeping manakala mi rebus RM5.
Sebagai perbandingan lebih tepat seperti yang pernah dikongsikan Persatuan Pemilik Restoran India Malaysia (Primas), harga roti canai pada 1970-an ialah 30 sen, 50 sen (1980-an), 70 sen (1990-an), RM1 (2000-an), RM1.20 (2010-an) dan RM1.50 (bermula 2018).
Kalau pandai cari kedai makan, mungkin masih boleh jumpa roti canai harga RM1 tapi saiznya tentu lebih kecil.
Belanja sekolah anak-anak zaman sekarang juga sudah jauh berbeza. Pada penghujung 1970-an, duit poket 30 sen sudah besar nilainya, boleh dapat sepinggan mi goreng, sebiji kuih dan segelas air sirap di kantin sekolah.
Hari ini, bawa RM3 ke sekolah belum tentu cukup. Kalau anak nak makan makanan yang lebih sedap dan berkhasiat seperti nasi ayam, harganya saja sudah RM4 ke RM5.
PELBAGAI KOS
Terbaharu, seorang pengguna Twitter berkongsi keluhannya mengenai harga ayam gunting yang suatu ketika dulu RM5 kini hampir mencecah RM10. Pengguna Twitter itu, @Abeyricano mahukan penjelasan kenapa harga makanan itu semakin tak masuk akal.
Rata-rata warganet bersetuju dengan perkongsian tersebut dan mengatakan harga ayam gunting jauh lebih mahal berbanding dahulu.
Pengguna Twitter, @AshAvril bagaimanapun menjelaskan memang bila jadi pembeli akan terasa mahal, tapi kena faham sekarang harga bahan mentah naik mendadak.
Bagi peniaga ada gaji pekerja yang harus dibayar, begitu juga sewa tapak. Nak ikutkan memang tak masuk akal ayam gunting RM9 tapi kena tengok berapa harga ayam mentah di pasaran, katanya.
Ayam gunting merupakan salah satu makanan kegemaran rakyat Malaysia dan banyak dijual di tepi jalan. Kepingan isi ayam yang digoreng rangup dan ditaburi perisa pedas memang sedap dimakan panas-panas. Ayam gunting juga popular pada bulan Ramadan.
Ironinya, menjelang Ramadan kira-kira 10 hari lagi, sudah ada cakap-cakap harga juadah berbuka puasa akan naik lagi.
Persatuan penjaja di Pulau Pinang dilaporkan berkata, kenaikan harga makanan termasuk minuman sehingga RM3 dijangka berlaku Ramadan nanti manakala di Terengganu, peniaga bazar Ramadan mungkin terpaksa mengecilkan saiz makanan atau minuman yang dijual sebagai pilihan terakhir untuk tidak menaikkan harga.
Ternyata nilai wang yang semakin mengecil akibat kenaikan harga barang telah memberi kesan kepada kita semua.
* Zuki Pileh ialah Timbalan Pengarang Berita Sinar Harian
Klik di sini untuk terus membaca