SHAH ALAM - Rakyat Malaysia kini lebih gemar memilih kaedah pembayaran tanpa tunai memandangkan ia merupakan satu cara yang selamat, mudah dan cepat untuk membeli-belah.
Tinjauan Sinar Harian mendapati kaedah tersebut semakin popular khususnya semasa pandemik Covid-19 kerana ia membantu mengelakkan risiko dijangkiti wabak berkenaan yang masih melanda negara.
Penjawat awam, Muhammad Fauzi Yusof, 29, berpendapat pembayaran tanpa tunai dapat menjimatkan masa dan transaksi boleh dilakukan tanpa mengira keadaan apa sekali pun.
Jelasnya, penggunaan tanpa tunai juga lebih selamat kerana tidak lagi perlu membawa wang tunai yang banyak apabila keluar membeli-belah sekali gus membantu mengawal perbelanjaan seseorang.
Dalam masa sama, katanya, kaedah itu mempunyai pelbagai kelebihan, antaranya memperoleh mata ganjaran yang boleh ditebus dengan pelbagai hadiah dan baucar pembelian.
"Ia dapat menjimatkan jumlah bayaran yang sepatutnya saya bayar kepada penjual dengan menebus baucar ganjaran tersebut.
"Selain itu, transaksi tanpa tunai juga menyediakan sejarah pembelian secara terperinci seperti barang yang dibeli serta jumlah bayaran. Resit pembelian juga boleh diakses pada bila-bila masa sekiranya diperlukan.
"Saya sangat bersetuju kalau semua kedai menyediakan perkhidmatan ini kerana kita kini dalam zaman teknologi yang semakin berkembang,” katanya kepada Sinar Harian.
Pekerja swasta, Nur Syahirah Jamal, 25, pula berkata pembayaran tanpa tunai amat membantu dari segi keselamatan pengguna kerana tidak perlu membawa wang yang banyak pada satu-satu masa.
Tambahnya, ia bukan sahaja memudahkan pembeli, malah peniaga juga mendapat manfaat kerana wang yang diterima terus masuk ke dalam akaun mereka.
"Kelebihan kaedah ini ia dapat menjimatkan masa. Sebagai contoh, pelanggan boleh membuat tempahan dan bayaran awal serta hanya datang ke premis apabila barang sudah tersedia untuk diambil.
"Jadi penggunaannya perlu diperluas. Orang ramai juga tidak lagi perlu beratur untuk mengeluarkan wang tunai di mesin ATM malah tidak perlu sediakan duit kecil. Peniaga pula tidak perlu risau untuk menyediakan wang baki yang mencukupi,” ujarnya.
Sementara itu, pelajar, Muhammad Azeem Mohd Fadil mencadangkan supaya kaedah tersebut diperluaskan lagi di institusi pengajian tinggi.
Tambahnya, pembayaran tanpa tunai dapat mendidik masyarakat untuk beradaptasi selaras dengan perkembangan teknologi di negara ini.
"Sekarang macam-macam boleh berlaku. Rasanya di IPT perlu menggunakan kaedah ini bagi mengelakkan kes kecurian. RM50 besar nilainya bagi seorang pelajar,” jelasnya.
Seorang pereka grafik, Ayn Zainal, 24, memberitahu dia beralih kepada pembayaran tanpa tunai kerana risau untuk mengeluarkan wang di mesin ATM memandangkan ia digunakan oleh ramai pelanggan dan mungkin kurang disanitasi.
"Lagipun bayaran tanpa tunai membuatkan urusan kita lebih cepat kerana tidak perlu menunggu untuk membayar, menerima wang baki dan sebagainya,” ujarnya.
Pekerja pertubuhan bukan kerajaan, Abdul Azim Naim Rahman, 24, berkata, kaedah pembayaran tanpa tunai tidak memerlukannya membawa duit yang terlalu banyak.
"Tidak perlu juga bawa beg duit yang tebal. Jadi ringan sedikit. Hanya perlu ‘tap’ kad bank atau telefon pintar dan boleh dapat barang yang kita mahu. Sebaiknya diperluaskan bagi memudahkan urusan.
"Orang tua juga wajar diajar menggunakan teknologi ini supaya mereka tidak ketinggalan. Apatah lagi rata-rata golongan berusia berisiko untuk kena ragut,” ujarnya.
RISIKO JENAYAH
Sementara itu, Pakar Kriminologi, Datuk Shahul Hamid Abd Rahim berkata, pembayaran tanpa tunai juga dapat mengelakkan orang ramai membawa duit yang banyak sekali gus mengelakkan kejadian jenayah ragut.
"Risiko jenayah untuk berlaku akan berkurang kerana orang ramai tidak membawa wang dan hanya membawa e-dompet atau kad selain hanya pengguna itu yang tahu kata laluan untuk menggunakan aplikasi pembayaran tersebut,” katanya kepada Sinar Harian.
Bagaimanapun, Shahul Hamid turut menggesa agar pencipta aplikasi atau pihak perbankan sentiasa menambah baik tahap keselamatan aplikasi mereka untuk mengelakkan pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan.
"Sudah tentu aplikasi sebegini turut mempunyai masalah. Kita risau sekiranya ada penggodam yang boleh menggodam sesuatu aplikasi sehingga menyebabkan rugi besar,” kata beliau.
Shahul Hamid turut mengingatkan pengguna untuk sentiasa peka dengan jumlah wang yang mereka ada dan setiap transaksi yang mungkin tidak dilakukan oleh mereka.
"Mungkin ada pengguna terutama golongan yang sudah berusia tidak tahu menggunakan kaedah pembayaran tanpa tunai ini. Kita bimbang jika mereka tanpa sengaja mendedahkan kod atau nombor pin yang menyebabkan akaun mereka bakal menjadi mangsa kepada penjenayah,” ujarnya.
Klik di sini untuk terus membaca