PEMILIHAN Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke Siew Fook sebagai Setiausaha Agung baharu DAP bagi penggal 2022-2025 membuka lembaran baharu kepada parti roket itu.
Ini kerana dalam DAP, Setiausaha Agung itu adalah ketua parti sama seperti presiden untuk parti-parti politik yang lain. Setiausaha Agunglah yang menetapkan hala tuju dan masa depan parti.
ADUN Perling, Liew Chin Tong dalam satu artikelnya pernah menggambarkan jawatan Setiausaha Agung DAP adalah ibarat CEO dalam sesebuah organisasi manakala Pengerusi adalah seperti Pengerusi Lembaga Pengarah.
Jelas Chin Tong, walaupun Setiausaha Agung tidaklah mempunyai kuasa mutlak tetapi beliau memiliki kuasa eksekutif untuk tujuan operasi dengan perbincangan bersama Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) dalam soal-soal dasar.
Lantaran itu, di bahu Anthony Loke selaku pemimpin keenam pernah menduduki jawatan terpenting itu terpikul banyak cabaran dan keperluan melakukan transformasi baharu.
Sebelum Anthony Loke, lima pemimpin lain yang pernah menyandang tugas Setiausaha Agung ialah Devan Nair (1966-1967), Goh Hock Guan (1967-1969), Lim Kit Siang (1969-1999), Kerk Kim Hock (1999-2004) dan Lim Guan Eng (2004-2022).
Cuma bezanya, jika dahulu tempoh menyandang jawatan ini tiada had tahun tetapi setelah perlembagaan parti itu dipinda, Setiausaha Agung yang baharu tidak lagi boleh memegang melebihi tiga penggal.
Atas sebab itu jugalah Guan Eng tidak boleh lagi terus memimpin DAP. Jawatan itu perlu dipimpin oleh orang lain.
Satu daripada beberapa tanggungjawab besar Anthony Loke ialah untuk mengembalikan DAP ke Putrajaya sebagaimana yang berjaya dilakukan oleh Guan Eng pada 2018.
Sudah tentulah prasyarat untuk DAP berbuat demikian ialah melalui penyatuan dan kerjasama jitu semua parti pembangkang sepertimana yang ditunjukkan pada Pilihan Raya Umum ke-14.
Cabaran kedua Anthony Loke sudah tentulah bagaimana untuk membawa DAP sebagai parti pelbagai kaum yang dapat diterima oleh orang Melayu. Ini kerana imej kecinaan yang diperjuang dan dibawa oleh DAP dilihat oleh orang Melayu sebagai terlalu menebal sehinggakan mereka susah menembusi kawasan-kawasan majoriti pengundi Melayu.
Dan cabaran terbesar beliau seterusnya ialah bagaimanakah beliau hendak memisahkan dirinya daripada pengaruh Dinasti Lim. Bolehkah Anthony Loke muncul sebagai pemimpin baharu DAP yang tidak lagi dibayangi oleh pengaruh Guan Eng sebaliknya memeperlihatkan daya kepimpinan baharu yang dinamik dan keluar daripada kepompong serta imej lama DAP.
Ini kerana, Guan Eng walaupun bukan lagi Setiausaha Agung masih berada dalam senarai CEC sebagai Pengerusi DAP manakala bapanya, Kit Siang walaupun sudah mengumumkan persaraan tetapi masih dilantik sebagai mentor atau penasihat parti.
Bayang-bayang bapa dan anak ini masih wujud dalam pucuk pimpinan DAP. Mereka tidak mengundurkan diri sepenuhnya.Pengaruh Dinasti Lim dalam parti itu bukan lagi satu rahsia apabila Kit Siang menjadi Setiausaha Agung selama 30 tahun manakala anaknya Guan Eng menduduki kerusi sama selama 18 tahun.
PENGARUH DINASTI LIM
Bagi Penganalisis Politik dan Geostrategis, Dr Azmi Hassan, walaupun sesetengah orang mungkin melihat pengaruh keluarga Lim telah berkurangan dengan pengumuman persaraan Kit Siang, namun legasi yang ditinggalkan oleh keluarga Lim masih kuat dan terasa.
"Saya berpandangan, biarpun ada perubahan dalam DAP sekarang, namun pengaruh keluarga Lim masih kuat. Apatah lagi legasi yang ditinggalkan baik Kit Siang mahupun Guan Eng sangat besar,” katanya.
Anthony Loke akan dibantu oleh tiga timbalan yang mana dua daripadanya dilantik oleh CEC. Mereka ialah Chin Tong, Sivakumar Varatharaju Naidu (dilantik) dan Tengku Zulpuri Shah Raja Puji (dilantik).
Dalam sistem sosialis DAP, perwakilan akan terlebih memilih 30 anggota CEC. Selepas itu, 30 anggota eksekutif inilah yang akan mengundi sesama mereka bagi menentukan siapakah menerajui parti iaitu mengisi jawatan Setiausaha Agung, Pengerusi dan lain-lain jawatan termasuklah kerusi lantikan tambahan anggota CEC.
Keputusan pemilihan CEC pada Ahad lalu juga menyaksikan Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo mendapat undian tertinggi iaitu sebanyak 1,782 undi, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow pula mendapat undian kedua tertinggi iaitu 1,641, manakala Loke yang juga bekas Menteri Pengangkutan di bawah pemerintahan PH memperoleh 1,625 undi.
Mereka berjaya memperoleh undi lebih banyak berbanding Guan Eng (1,311) dan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok Suih Sim (1,373).
Sementara itu, Young Syefura Othman yang memenangi jawatan Timbalan Ketua Jawatankuasa Eksekutif Kebangsaan Sosialis Pemuda DAP (DAPSY) memperoleh 991 undi berada di hadapan Ahli Parlimen Batu Kawan, Kasthuriraani Patto dengan 978 undi. Ketua DAPSY, Dr Kelvin Yii Lee tidak bertanding dalam pemilihan CEC.
Untuk rekod, Young Syefura yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ketari adalah satu-satunya calon Melayu yang tersenarai dalam 30 kerusi CEC.
Dalam pada itu, Azmi berkata, apa yang menarik dan baik berlaku dalam DAP sekarang adalah, Setiausaha Agung DAP baharu ialah seorang pemimpin yang dilihat lebih mesra Melayu dan fasih berbahasa Melayu berbanding pemimpin-pemimpin sebelumnya yang mungkin mempunyai sejarah atau masih tebal dengan persepsi kecinaan dalam sebilangan masyarakat Malaysia.
Berikutan itu, beliau tidak menolak kemungkinan faktor Anthony Loke dan persaraan Kit Siang daripada arena politik tanah air mungkin boleh menarik sedikit sokongan pengundi Melayu untuk menyokong DAP pada PRU15 nanti."Wajah-wajah pemimpin Melayu muda seperti Young Syefura dan Marina Ibrahim mungkin dapat membantu Anthony Loke dalam memikat lebih ramai pengundi Melayu terutamanya di kawasan luar bandar.
"Apatah lagi Marina baru-baru ini tampil sebagai calon PRN Johor yang menang paling banyak undi bukan sahaja bagi DAP bahkan semua parti yang bertanding,” ujar Azmi.
Klik di sini untuk terus membaca