KETIKA 20 askar India terbunuh dalam pertempuran di sempadan negara itu dengan China baru-baru ini, kebanyakan peralatan tentera India di perbatasan Himalaya kebanyakannya adalah berasal dari Rusia. Ini sekali gus menunjukkan bahawa India... Klik di sini untuk terus membaca

KETIKA 20 askar India terbunuh dalam pertempuran di sempadan negara itu dengan China baru-baru ini, kebanyakan peralatan tentera India di perbatasan Himalaya kebanyakannya adalah berasal dari Rusia.

Ini sekali gus menunjukkan bahawa India merupakan rakan lama buat Rusia yang kini menceroboh Ukraine.

Ia juga membantu menjelaskan kenapakah Perdana Menteri negara tersebut, Narendra Modi tidak mengkritik rakan sejawatannya dari Rusia, Vladimir Putin kerana menyerang Ukraine pada bulan lalu.

Sebelum ini, New Delhi telah menolak resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang mengecam Rusia dan bertindak membeli minyak serta barang-barang lain dari negara tersebut walaupun terdapat tekanan dari negara-negara Barat yang melaksanakan sekatan ke atas Moscow.

Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden pernah menyatakan bahawa India agak goyah bila berdepan dengan Rusia.

Dalam Perang Dingin, India yang tidak menyebelahi mana-mana pihak telah secara rasmi condong ke arah Kesatuan Soviet sebahagiannya adalah disebabkan oleh sokongan AS kepada Pakistan.

Ini menyebabkan India membeli sejumlah jet tempur MiG-21 buatan Rusia pada tahun 1962.

Hubungan ketenteraan dengan Rusia pula diperkuat dengan dua peristiwa iaitu kekalahan memalukan India kepada China dalam perang sempadan pada tahun 1962 dan perang dengan Pakistan pada tahun 1971 yang menyebabkan terbentuknya negara Bangladesh.

Ketika itu, Kesatuan Soviet menghantar kapal ke Lautan Hindi bagi menghalang campur tangan AS secara langsung untuk membantu Pakistan.

India dan Kesatuan Soviet yang kini dikenali sebagai Rusia pernah menandatangani Perjanjian Damai, Persahabatan dan Kerjasama Indo-Soviet yang terkenal.

Setelah negara itu bertempur dengan China pada tahun 2020, New Delhi mengukuhkan lagi kawalan sempadannya di Himalaya termasuk menggunakan kereta-kereta kebal dan pesawat-pesawat buatan Rusia.

PEMBEKAL SENJATA YANG DIPERCAYAI

Rusia membekalkan India pelbagai senjata ketika negara itu amat memerlukannya, kata Felo Nandan Unnikrishnan dari Observer Research Foundation yang beribu pejabat di New Delhi kepada AFP.

"Perang Ukraine tidak mengubah keadaan jiran kita. Justeru, mengapakah kita harus menimbangkan untuk menggantikan pembekal kita yang telah lama diuji dan dipercayai?" katanya.

Ketika Kesatuan Soviet runtuh pada tahun 1991, sebanyak 70 hingga 85 peratus peralatan tentera India adalah buatan Rusia.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, India memperoleh lebih banyak peralatan ketenteraan selain dari Moscow terutamanya Perancis, AS dan Israel.

Namun, menurut Stockholm International Peace Research Institute, Rusia bukan sahaja menjadi pembekal senjata utama yang terbesar di India tetapi New Delhi juga merupakan pelanggan paling besar Moscow dalam bidang peralatan senjata.

Hampir keseluruhan kereta kebal tentera India adalah direka bentuk oleh Rusia. - Foto AFP

Dari tahun 2017 hingga 2021, India adalah pengimport senjata-senjata utama terbesar di dunia dan 46 peratus daripadanya adalah dari Rusia.

Sebanyak 28 peratus eksport senjata Rusia adalah untuk India sekali gus menyumbang sebahagian besar perdagangan kedua-dua buah negara.

Hampir kesemua kereta kebal India adalah dari Rusia.

Ia direka bentuk di Rusia tetapi dibina di India selepas mendapat lesen dari Moscow manakala jet-jet tempurnya adalah Sukhoi dan MiG juga buatan Rusia.

Ketika ini, terdapat kira-kira 3,500 buah kereta kebal yang digunakan oleh India.

PESAWAT DAN KAPAL PEMUSNAH

Satu-satunya kapal pengangkut pesawat India ialah Admiral Gorshkov yang pernah digunakan di Kesatuan Soviet tetapi ia telah diperbaharui manakala empat daripada 10 buah kapal pemusnahnya adalah berasal dari Rusia begitu juga dengan lapan daripada 14 kapal selamnya yang tidak mempunyai enjin berkuasa nuklear.

India juga mempunyai pesanan senjata dari Rusia termasuk perjanjian bernilai AS$5 bilion (RM21.13 bilion) untuk sistem pertahanan udara S-400.

Penghantaran pertama sistem pertahanan udara itu bermula pada tahun lalu dan pesanan tersebut merangkumi empat buah kapal frigat dan sebuah kapal selam berkuasa nuklear.

"Dengan bentuk kebergantungan seperti itu, adalah sangat sukar bagi India untuk mengambil sebarang pendirian lain terhadap Rusia," kata Manoj Joshi iaitu seorang pengarang dan bekas ahli jawatankuasa khas kerajaan untuk pembaharuan keselamatan negara memberitahu AFP.

Bagaimanapun, beliau menyatakan bahawa kebergantungan kepada Rusia itu tidak berakhir dengan pembelian peralatan senjata.

Beberapa dekad selepas pembelian itu, peralatan senjata itu memerlukan peningkatan, penyelenggaraan, alat ganti dan sokongan lain dari Rusia.

India dan Rusia juga bekerjasama dalam bidang pertahanan, misalnya dalam membuat peluru berpandu BrahMos dengan salah sebuahnya secara tidak sengaja ditembak ke arah Pakistan baru-baru ini.

Menurut Joshi, AS enggan menjual beberapa jenis senjatanya kepada India.

"AS tidak akan menjual beberapa jenis senjata tertentu kepada kami tidak seperti Rusia," kata Joshi. - Agensi

Klik di sini untuk terus membaca