SHAH ALAM - Sebanyak 80 peratus penduduk Malaysia dijangka menggunakan kaedah pembayaran tanpa tunai dalam tempoh 10 tahun akan datang. Penganalisis Ekonomi daripada Asia e University, Profesor Datuk Dr Shazali Abu Mansor berkata, unjuran 50 peratus keseluruhan rakyat menggunakan kaedah itu pula boleh dicapai dalam masa lima tahun lagi.
Menurut beliau, setakat ini kira-kira 30 peratus sahaja penggunaan pembayaran tanpa tunai di negara ini kerana kebanyakan kawasan terutama di pedalaman masih menggunakan wang tunai untuk membeli barangan.
"Hendak kata 100 peratus tanpa tunai itu memang agak mustahil. Jadi angka majoriti itu sudah kira satu kejayaan juga kerana pembayaran tanpa tunai ini memerlukan satu sistem yang sangat bagus.
"Dianggarkan dalam masa 10 tahun lagi kita mampu mencapai 80 peratus kerana jumlah ini boleh dianggap sebagai sudah mempunyai teknologi yang terbaik.
"Sekarang peratusan rendah kerana banyak tempat di luar bandar jauh ketinggalan dari segi kemudahan digital.
"Kalau pergi pasar raya, ramai orang tua masih bayar pakai duit tunai. Kuih tepi jalan pun masih pakai tunai,” kata Shazali kepada Sinar Harian.
Pakar Ekonomi, Dr Nungsari Ahmad Radhi pula memberitahu Malaysia mula beralih kepada bayaran tanpa tunai secara besar-besaran selepas Perintah Kawalan pergerakan (PKP) dikenakan susulan pandemik Covid-19.
"Pembayaran bantuan kerajaan kepada rakyat juga disalurkan secara digital sekarang. Trend ini akan berterusan dan sepatutnya diteruskan,” jelasnya.
Beliau menambah, pembayaran tanpa tunai adalah lebih bagus kerana kos dan kecekapan transaksi lebih baik berbanding tunai sekali gus menjadikan ekonomi negara lebih produktif.
"Ia juga lebih cepat dan murah. Oleh itu, ekonomi lebih produktif,” ujar beliau.
Mengulas mengenai gesaan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) supaya kerajaan membenarkan penggunaan mata wang digital atau kripto sebagai sebahagian transaksi tanpa tunai, beliau berkata, perkara tersebut perlu dikawal selia oleh Bank Negara Malaysia dan Kementerian kewangan.
Tambah Nungsari, BNM dan MoF perlu memberikan kerangka undang-undang dan dasar yang lebih jelas sebelum membenarkan penggunaan kripto di negara ini.