[WAWANCARA EKSKLUSIF] Sebagai seorang ilmuwan dan ahli politik, idealisme yang dibawa perlu seimbang dalam berhadapan dengan masyarakat dan permainan politik. Baginya, menjadi seorang pemimpin perlu bersedia menerima pandangan untuk... Klik di sini untuk terus membaca

[WAWANCARA EKSKLUSIF] Sebagai seorang ilmuwan dan ahli politik, idealisme yang dibawa perlu seimbang dalam berhadapan dengan masyarakat dan permainan politik.

Baginya, menjadi seorang pemimpin perlu bersedia menerima pandangan untuk mengatasi kelemahan yang wujud.

Ikuti kupasan lanjut Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), DATUK SERI DR ZAMBRY ABDUL KADIR dalam wawancara yang dikendalikan Tokoh Wartawan Negara, TAN SRI JOHAN JAAFFAR di Kumpulan Karangkraf, Shah Alam pada Rabu.

JOHAN: Datuk Seri bermula sebagai seorang ilmuwan. Apakah darah ilmuwan itu masih mengalir dalam tubuh Datuk Seri?

ZAMBRY: Saya tidak dapat menafikan perkara itu kerana saya bermula sebagai ahli akademik. Saya bersyukur tradisi itu masih mengalir meskipun saya sudah berada dalam profesion yang baharu, apatah lagi dalam konteks hari ini yang sarat dengan ilmu dan maklumat. Jika ditinggalkan, kita akan akan jauh ketinggalan.

Sebagai seorang ilmuwan dan sarjana, seorang ahli akademik selalunya berteraskan idealisme. Masih membara lagikah idealisme dalam diri Datuk Seri?

Bagi saya setiap orang sama ada ilmuwan atau tidak, jika mereka menceburkan diri dalam politik, perlulah ada wawasan. Paling penting kita tahu menterjemahkan idealisme itu menjadi realiti terutama apabila berhadapan dengan masyarakat, permainan politik serta sistem yang ada.

Ini mengingatkan saya kepada seorang ahli falsafah Amerika, John David yang bercakap tentang praktikal idealisme, bagaimana nak menterjemahkan idea-idea sesuai dengan situasi ketika ini.

Orang selalu mengatakan politik mencorakkan individu. Apakah Datuk Seri tidak lagi dirosakkan oleh politik?

Tafsiran rosak atau tidak sebenarnya bergantung kepada individu, bukan disebabkan oleh disiplin itu sendiri. Sama ada dia dirosakkan atau watak yang akan melakukan perubahan. Dengan melihat cabaran di depannya, bagaimana untuk memperbetulkan kelemahan dan kecelaruan dalam sistem yang ada.

Bilakah kali terakhir Datuk Seri bercakap tentang hal-hal seperti ini?

Saya sering kali mengadakan perbincangan. Perbincangan itu membuka pintu untuk kita meninjau tentang kelemahan-kelemahan. Saya bagi contoh, ketika saya menjadi Menteri Besar dahulu, tradisi ini saya teruskan termasuk ketika saya mempengerusikan Mesyuarat Exco. Saya tidak membenarkan ahli Exco saya takut dengan bos, kunci mulut diam, dan tidak menyuarakan pandangan.

Bagi saya tradisi musyawarah sangat penting untuk melihat retrospeksi bagaimana kita boleh mengatasi kelemahan yang ada. Tradisi itu saya teruskan.

Zambry

Kalau Datuk Seri sebagai seorang Menteri Besar, saya seorang ahli Exco atau pegawai kanan kerajaan, saya mahu berinteraksi dan berwacana dengan Menteri Besar saya yang cerdik. Tetapi apakah saya ada upaya, sebab kalau dalam sistem kita, kadang-kadang pilot dan co-pilot pun tidak dapat perimbangan untuk berdialog secara terbuka dan tuntas?

Kita yang memimpin kena beri keyakinan kepada mereka untuk meluahkan pandangan. Memberi pandangan itu bukanlah satu hukuman kepada pemimpin. Pandangan berbeza dengan ketuanya, mereka akan dihukum.

Sepanjang saya jadi Menteri Besar, tradisi ini saya praktikkan untuk memberi ruang melontarkan pandangan. Ia perlu dilakukan secara berprinsip iaitu perlu sedia bersetuju dan tidak bersetuju dengan beberapa pandangan. Keduanya, kena ada adab berbeza pandangan, itu paling mustahak.

Datuk Seri seorang yang banyak membaca dan banyak dipengaruhi pemikir dari Iran, Ali Shariati; Almarhum Norkhalis Majid (Indonesia) dan Profesor Syed Muhammad Naquib Al-Attas (Malaysia). Bagaimana pencernaan pemikiran mereka boleh digunakan?

Paling penting bagaimana pendedahan kita sebagai seorang sarjana. Kita tidak boleh khususkan pembacaan kita kepada satu aliran dan pemikiran. Mungkin ada pihak sana yang kata dia mungkin berfikiran liberal, tetapi perlu ada kesungguhan dalam kalangan ahli akademik untuk menelaah, meninjau di sekelilingnya.

Kalau kita mahu membicarakan dalam soal politik Islam, tentunya ada kepelbagaian pandangan. Dalam konteks Malaysia, kita jangan nafikan.

Bagaimana konsep adab dipelopori Syed Muhammad Naquib itu sangat penting untuk kita faham, begitu juga dalam konteks Profesor Kamal Hassan, seorang sarjana yang menekankan aspek akhlak dan moral yang baik.

Indonesia juga ada pandangan berbeza tentang teori politik seperti Norkhalis Majid. Saya sendiri mungkin tidak bersetuju dengan beliau teori tentang disakralisasi agama. Agama mungkin tidak sakral lagi tetapi kita perlu memahami aliran sebegini.

Ali Shariati sebagai contoh, salah satu pemikiran yang cuba diterjemahkan dalam konteks sosiologi agama. Bagaimana agama itu menjadi penggerak kepada satu gerakan yang menyebabkan satu perubahan besar di Iran.

Tetapi dalam masa sama, kita tidak boleh menafikan juga ada pemikiran politik antara barat dan Islam. Bagaimana pengharmonian dapat dilakukan oleh sarjana Islam. Sebagai contoh, istilah Muslim demokrat yang dipelopori Syeikh Rashid Ganusi. Kemampuan kita untuk melihat aliran pemikiran yang dapat diterjemahkan dalam konteks kehidupan bernegara pada hari ini.

Dr Zambry menjadi tetamu program Bersama Johan Jaaffar yang berlangsung di Kompleks Kumpulan Karangkraf.

Apakah masalah sebenar dari segi tradisi keilmuan Islam sekarang?

Tradisi keilmuan Islam seperti yang kita tahu, berlaku kecelaruan. Sebab itu Syed Muhammad Naquib selalu menekankan aspek bagaimana konsep epistemologi Islam ini perlu difahami. Kalau tidak, akan berlaku kecelaruan. Maksudnya, tidak ada metodologi yang betul.

Kemudian dari segi aliran kecenderungan pemikiran. Sebagai contoh, sikap untuk mentafsirkan dalam menjatuhkan hukum antara satu sama lain. Mereka yang ada perbezaan pandangan dalam mahzab begitu mudah menjatuhkan hukuman kepada seseorang.

Sebab itu, ada seorang sarjana. Sebagai contoh, pernah disebut salah satu masalah kita hadapi sekarang ini ialah the crisis in Muslim mind. Krisis ini terlibat dalam kaedah bagaimana kita melihat satu perkara untuk selesaikan masalah di hadapan kita pada masa kini.

Satu perkara yang selalu dibangkitkan ialah soal konsep dan idea. Kita tak bercakap soal idea besar demokrasi tetapi dengan perkataan yang kadang-kadang mudah dijadikan sesuatu yang menakutkan. Contoh, perkataan liberal. Satu ketika dulu perkataan liberal ini maksudnya lain. Liberal sekarang ini dikaitkan dengan kelompok tertentu apresiasi kita, penerimaan kita terhadap sesuatu. Dalam konteks ilmu, apa Datuk Seri lihat krisis berhubung soal politik identiti ini?

Kita kembali kepada masalah epistemologi. Kita gagal memahami konsep teori pengetahuan yang ada dalam istilah dibawa. Ini berkaitan masalah ilmu dalam diri kita. Kita selalu percaya apa sahaja yang dilontarkan oleh seorang bergelar ilmuwan, sarjana, ustaz dan sebagainya dalam istilah liberal.

Pengalaman sebagai ahli akademik banyak membantu beliau dalam mentadbir kerajaan dan organisasi politik.

Bila disebut sahaja liberal, masing-masing dah takut. Sebagai contoh apabila berlaku pertembungan Sunni dengan Syiah, seolah-olah siapa yang menyebut nama Ali akan dianggap sebagai Syiah. Ini perkara yang bahaya dalam tradisi keilmuan kita. Hal ini perlu diperbetulkan oleh para sarjana yang mempunyai kemampuan sangat dihormati pandangan mereka.

Perkara kedua yang dibangkitkan oleh Tan Sri tadi tentang politik identiti. Kalau boleh saya bawa dalam konteks dunia politik itu antara perkara besar yang pernah dibawa oleh (Francis) Fukuyama beberapa tahun lalu tentang politik identiti dalam dunia hari ini, di mana berlaku satu kecenderungan kembali semula bertanya kepada diri, siapa kita sebenarnya.

Dalam konteks politik berada dalam lingkungan negara kita, maka politik identiti perlu berteras kepada bangsa dan etnik. Ini berlaku di Eropah kerana berlakunya migrasi yang begitu besar daripada luar Eropah, maka kita masih bercakap orang lain tidak boleh datang ke sini. Itulah punca penularan politik identiti.

Datuk Seri salah seorang ahli panel dalam perbincangan mengenai buku Corruption and Hypocrisy in Malay-Muslim Politics karya Profesor Emeritus Tan Sri Dr Mohd Kamal Hassan. Apakah Datuk Seri bimbang dengan apa yang ditulis olehnya bahawa istilah hipokrasi itu diterjemahkan dengan perkataan kemunafikan dalam kalangan pemimpin Islam sekarang ini yang begitu serius dan merisaukan?

Mengenali Profesor Kamal sebagai guru saya juga. Apabila beliau menulis karya seperti ini, ia benar-benar menzahirkan keprihatinan beliau. Beliau seorang yang sangat tawaduk, bahasanya beralas.

Saya bersetuju, di pentas inilah saya dijemput bersama dengan Yang Berhormat (YB) Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Dr Maszlee Malik daripada pelbagai parti untuk membicarakan tentang isu dalam negara kita. Kami bersetuju dengan apa yang berlaku.

Kena ingat, dalam masa yang sama, isu yang dibawakan Profesor Kamal ada dua perkara penting berkaitan korupsi dan kemunafikan. Tetapi orang melihat daripada satu segi sahaja iaitu korupsi.

Kadang-kadang wataknya nampak baik bagi istilah itu. Ini bagi mewajarkan tindakan mereka, malah ada yang menggunakan ayat al-Quran. Di sebaliknya, dari segi tindakan, kita tahu bagaimana perilaku mereka.

Bagi saya, keadaan yang berlaku ini amat serius. Dalam perbahasan itu, saya menyebutkan tentang keseriusan di dalam konteks negara kita dan negara umat Islam. Ini mengingatkan saya satu perkara besar.

Tan Sri pun pernah sebut tentang zaman yang di mana hidup sudah tidak ada prinsip, yang palsu jadi benar. Inilah hiruk-pikuk keadaan yang dihadapi.

Profesor Mohd Kamal bercakap tentang politik orang Melayu dan Islam di negara kita. Rata-rata mereka yang ada dalam politik sekarang ini bagai hilangnya moral, etika dan nilai. Siapa yang sebenarnya boleh menjawab persoalan ini?

Masalah yang kita hadapi ini bukan hanya melibatkan negara kita. Dalam politik, yang lebih matang sistem demokrasinya. Saya ambil contoh di Amerika Syarikat (AS), sehinggakan ada sebuah buku besar yang ditulis oleh Michael Porter, walaupun beliau dikenali sebagai bapa pengurusan hebat.

Bagaimana beliau meletakkan pelbagai isu serius menyebabkan AS menjadi negara yang sakit dalam pandangan mereka. Ini juga disebabkan oleh sistem politik yang sudah pun hilang punca di AS.

Satunya apabila disebut tidak adanya lagi proses semak dan imbang antara Demokrat, kemudian ahli-ahli politik yang lebih mementingkan dari segi kepentingan kepada parti, bukan lagi kepada rakyat. Kemudian dari segi pertandingan politik, mereka sudah hilang arah apabila orang seperti Donald Trump boleh dipilih oleh rakyat AS.

Ini pun berlaku dalam konteks kita. Perlu ada kesungguhan untuk kita memperbetulkan suasana itu. Dalam Barisan Nasional (BN), ada kelemahan yang perlu kita baiki.

Apakah Datuk Seri rasakan bahawa tempelakan, teguran keras oleh Profesor Mohd Kamal ditujukan kepada parti yang Datuk Seri menjadi ahlinya?

Beliau tidak tujukan kepada satu-satu parti. Beliau lontar kepada semua parti dalam konteks hipokrasi. Kita perlu mengambil nasihat yang dilontarkan oleh para sarjana. Masalahnya ada kelompok tertentu yang melihat pandangan para sarjana dan ilmuwan elok ‘dibakul sampahkan’. Jika ada yang berpendirian sebegini, inilah krisis yang sebenarnya.

Apakah Datuk Seri rasakan bahawa parti yang Datuk Seri menjadi anggotanya dapat memenuhi cita rasa, idealisme, perjuangan yang selama ini Datuk Seri perjuangkan, akhirnya ada sistem nilai dalam parti itu sendiri hingga menyebabkan orang mencurigai dari segi kepimpinan?

Sebuah parti dalam sistem demokrasi, ia tidak wujud secara statik. Ia akan merubah kedinamikan yang berlaku, apatah lagi dalam konteks BN, UMNO dalam istilahnya sebagai grand party. Parti yang lama tentunya mereka memerlukan perekayasaan untuk membetulkan semula kelemahan-kelemahan yang ada. Kita tidak dapat nafikan.

Sebab itu saya kata kita hidup jangan dalam keadaan penafian. Kita menafikan dan mengaku sebagai sebuah parti yang sempurna, ataupun kita nak tinjau balik, untuk ingat balik dulu kita hebat. Tetapi sekarang, zamannya berbeza, maka kita perlu lakukan perubahan.

Alhamdulillah, pimpinan sendiri pun merasai kerana kekalahan (pada Pilihan Raya Umum ke-14) itu sebenarnya memberi banyak pengajaran kepada kita.

Zambry

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah merupakan ilmuwan pemikir dan banyak bertitah mengenai soal kesederhanaan pelbagaian dan amat vokal tentang soal rasuah ketika melancarkan sebuah buku baru-baru ini. Beliau menyebut betapa pentingnya seseorang itu menggunakan hak mengundi, perlunya anak muda diberi literasi politik. Dalam situasi itu, seorang sultan yang menunjukkan keprihatinan yang luar biasa, sistem nilai yang penting. Apa yang Datuk Seri dapat dari pengajaran itu?

Saya syukur kepada ALLAH kerana sempat berada di Perak menjadi Menteri Besar di mana Tuanku merupakan Sultan. Pengalaman Sultan Nazrin sebenarnya banyak memberi pengajaran dan saya belajar daripada pemikiran-pemikiran besar Tuanku yang dipanggil King of Philosopher yang mempunyai pemikiran yang baik, tajam dalam hal ehwal pentadbiran negara.

Baginda mempunyai latar belakang dalam bidang falsafah politik dan ekonomi. Dari segi keberadaan, Tuanku berikan banyak buah fikiran ke arah kita mentadbir sebuah negeri dan peringatan baginda adalah demi kebaikan dan kemaslahatan kita.

Baginda selalu mengingatkan perlu ada semak dan imbang dalam kehidupan dan bernegara iaitu raja dan sultan adalah faktor pengimbang yang sangat mustahak ketika krisis berlaku dalam negara ini.

Sebagai ahli politik, jangan merasakan bahawa pandangan yang dizahirkan oleh seorang raja itu seolah-olah mengambil satu pendirian yang lain.

Saya sebenarnya sangat teruja mendengar diskusi ilmu Datuk Seri daripada mendengar cakap-cakap politik. Ada rasa kesal masuk politik?

Saya tidak kesal masuk politik kerana ia satu proses dalam kehidupan. Mesti ada kelompok-kelompok yang perlu melakukan proses perubahan. Kalau kita tidak ada dalam lapangan ini, ia akan diambil oleh golongan yang akan kita pertikaikan. Sebaiknya kena ada imbangan.

Bukan bermaksud tidak ada latar belakang seperti saya tidak boleh berada dalam politik, tetapi paling penting kena ada perimbangan.

Klik di sini untuk terus membaca