SHAH ALAM - Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz tidak menolak kemungkinan satu pertemuan diadakan dalam kalangan menteri daripada UMNO di Putrajaya pada Jumaat adalah bagi membincangkan kewajaran pelaksanaan Pilihan... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz tidak menolak kemungkinan satu pertemuan diadakan dalam kalangan menteri daripada UMNO di Putrajaya pada Jumaat adalah bagi membincangkan kewajaran pelaksanaan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lebih awal.

Jelas bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) itu, pertemuan itu bagaimanapun tidak akan memberi impak langsung terhadap penentuan keputusan kerajaan Keluarga Malaysia pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob terhadap perkara penting itu.

Ujar Mohamed Nazri, segala keputusan terakhir berkenaan penentuan tarikh bersesuaian mengadakan PRU15 masih perlu dibincangkan dalam kalangan lima pemimpin utama UMNO terdiri Presiden, Timbalan Presiden dan tiga Naib Presiden.

Desas-desus pelaksanaan PRU15 lebih awal semakin kuat diperkatakan susulan kerajaan gagal mendapatkan kelulusan usul bagi meminda tempoh pelanjutan kuat kuasa Subseksyen 4 (5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) di Parlimen pada Rabu.

"Ya, mereka (menteri UMNO) mungkin sedang bincang pasal keperluan PRU15. Namun, pertemuan itu tidak akan beri sebarang impak kerana keputusan pelaksanaan pilihan raya umum masih perlu ditentukan 'Top 5' UMNO.

"Sebagaimana saya jelaskan dalam perbahasan di Parlimen pada Rabu, apabila kerajaan kalah dalam undi belah bahagi sesuatu usul, kerajaan sebenarnya sudah hilang asas moral untuk terus mentadbir negara ini.

"Mengikut amalan demokrasi negara-negara seperti Britain, sekiranya kerajaan kalah dalam mana-mana pembentangan usul dan Rang Undang-Undang (RUU), jalan yang betul adalah dengan kembali mendapatkan sokongan daripada rakyat selaku pengundi.

"Lagipun, kekalahan kerajaan turut membuktikan pihak pembangkang tidak menghormati Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik dimeterai dengan kerajaan," katanya kepada Sinar Premium pada Jumaat.

Beliau berkata demikian bagi mengulas satu pertemuan di antara menteri UMNO berlangsung di sebuah hotel terkemuka di Putrajaya pada Jumaat.

Bagaimanapun tiada maklumat jelas mengenai fokus yang menjadi perbincangan tersebut.

Shahidan (tengah) tiba di pekarangan hotel diiringi pegawainya bagi menyertai pertemuan itu

Tinjauan media mendapati terdapat pergerakan masuk kenderaan kenamaan dan pegawai pengiring seawal jam 8 pagi.

Antara hadir adalah Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa; Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar; Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad; Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim; Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan Menteri Perpaduan, Datuk Halimah Saddiq.

Tiada kelibat Menteri Kanan (Pertahanan), Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein; Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, Menteri Sains Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Adham Baba dan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahadzir Khalid kelihatan.

Difahamkan pertemuan itu berkata langsung selama sejam sebelum masing-masing meninggalkan hotel jam 9.50 pagi.

Annuar ketika ditemui media menegaskan tiada pertemuan khas diadakan dalam kalangan menteri dan timbalan menteri UMNO, sebaliknya mereka hanya sarapan bersama.

Sejak Khamis, beberapa pemimpin utama UMNO nampaknya sedang membina naratif isu ketidakstabilan kerajaan sebagai impak daripada kekalahan kerajaan di Parlimen pada Rabu.

Malah, ada pemimpin UMNO secara terang-terangan mendakwa MoU Transformasi dan Kestabilan Politik dimeterai antara kerajaan dengan Pakatan Harapan (PH) terbatal akibat kekalahan usul pindaan dibawa kerajaan, diluluskan di Parlimen.

Pertemuan menteri dan timbalan menteri UMNO di Putrajaya pada Jumaat adalah isyarat jelas bahawa parti itu kini lebih serius dalam mempertimbangkan pembubaran Parlimen lebih awal.

Bagaimanapun, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Setiausaha Agung DAP baharu, Anthony Loke menegaskan Ismail Sabri masih belum hilang kepercayaan majoriti ahli Parlimen.

Jelas Wan Junaidi, ia berdasarkan klausa 4.1 dalam MoU itu yang memperuntukkan perjanjian itu tidak terus tamat jika usul kerajaan tidak disokong.

Klik di sini untuk terus membaca