SHAH ALAM - Setiausaha Agung parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Amira Aisya Abd Aziz mengakui parti itu tidak boleh bertanding bersendirian pada pilihan raya umum akan datang kerana ia memerlukan sokongan gabungan besar untuk mendekati rakyat dan membentuk kerajaan.
Kata Amira yang masih segar daripada kemenangan di kerusi Dewan Undangan Negeri Puteri Wangsa pada Pilihan Raya Negeri Johor baru-baru ini, Muda akan kekal dengan pendirian untuk tetap bersama Pakatan Harapan (PH) sebagai rakan sekutu menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 kelak.
Katanya, sejak mula, Muda mempunyai prinsip yang sama dengan apa yang diperjuangkan oleh PH dan ini menjadikan parti itu rakan seperjuangan yang terbaik bersama Muda untuk PRU akan datang.
"Saya rasa Muda sendiri sudah banyak kali menyatakan yang kami mahukan ‘United Opposition’ dalam perjuangan politik kami.
"Muda memiliki asas perjuangan seperti PH dan Muda juga selesa untuk bersama PH setelah bekerjasama sewaktu PRN Johor,” katanya kepada Sinar Premium.
Tambahnya, biarpun Muda boleh berdiri di atas kaki sendiri atau memenangi 10 kerusi, namun ia masih belum mencukupi untuk membentuk sebuah kerajaan.
"Saya berpendirian bahawa Muda sebagai sebuah parti baharu tidak boleh berdiri seorang jika kami ingin membentuk kerajaan. Jadi amat jelas sekiranya Muda mahu membentuk kerajaan, kami memerlukan rakan sekutu yang mempunyai perjuangan yang sama dengan Muda.
"Saya yakin rakan-rakan dari PH dan Muda sendiri sedang mengambil langkah untuk membincangkan apa yang perlu ditambah baik untuk PRN atau PRU selepas ini. Kami telah mengadakan ‘post mortem’ untuk membincangkan kelemahan dan juga kekuatan Muda sewaktu di PRN Johor,” katanya.
Amira Aisya juga menafikan pertembungan antara Muda dan PH di DUN Larkin enam penjuru pada PRN Johor lepas menjadikan hubungan mereka semakin dingin malah kedua-dua parti itu akan bangkit dan bekerjasama selepas ini.
"Semestinya hubungan antara Muda dan PH bertambah baik selepas kami bekerjasama sewaktu PRN Johor.
"Namun amat penting untuk Muda dan PH mengambil masa yang ada sebelum PRU atau PRN seterusnya untuk bincang dan menjalinkan hubungan yang lebih rapat. Saya pasti kami akan bangkit bersama dan berusaha sehabis boleh demi rakyat Malaysia,” katanya.
Amira Aisya pada PRN Johor baru-baru ini menjadi satu-satunya calon Muda yang berjaya memenangi kerusi dengan undi sebanyak 22,884.
"Perasaan saya bercampur baur ketika menang. Saya rasa terharu namun sedikit takut kerana dengan kemenangan itu, ia juga menjadi titik permulaan saya harus menggalas tanggungjawab yang lebih besar untuk berkhidmat bagi warga Puteri Wangsa.
"Saya menganggap kemenangan itu bukan kemenangan saya seorang tetapi kemenangan kita semua. Saya juga tekad untuk memberikan khidmat terbaik sebagai ‘benchmark’ atau contoh kepada calon-calon Muda yang akan datang,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca