DAKWAAN oleh ahli-ahli Parlimen dan pemimpin UMNO bahawa Memorandum Persefahaman (MoU) antara kerajaan Ismail Sabri dengan Pakatan Harapan (PH) telah terbatal kerana kekalahan usul Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012... Klik di sini untuk terus membaca

DAKWAAN oleh ahli-ahli Parlimen dan pemimpin UMNO bahawa Memorandum Persefahaman (MoU) antara kerajaan Ismail Sabri dengan Pakatan Harapan (PH) telah terbatal kerana kekalahan usul Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) dengan 85-86 undi tidak dapat disokong dengan fakta dan alasan.

Kerajaan Ismail Sabri mempunyai 116 kerusi dan mengatasi 104 kerusi pembangkang dengan kelebihan 12 kerusi.

Ini bermakna, Kerajaan boleh meluluskan sebarang usul dan Rang Undang-undang (RUU) yang memerlukan majoriti mudah selagi ahli Parlimen kerajaan yang ponteng tidak melebihi ahli Parlimen pembangkang yang ponteng daripada 11 orang.

Usul Sosma gagal pada petang Rabu kerana 31 ahli Parlimen kerajaan tidak hadir untuk mengundi manakala bilangan ahli Parlimen pembangkang yang tidak hadir cumalah 18 orang. Lebih 13 tukang ponteng di sebelah kerajaan.

Kalau kerajaan rasa malu dengan kekalahan ini, maka ia harus selidik mengapa 31 ahli Parlimen kerajaan tidak hadir. Sebilangan kecil ahli Parlimen terpaksa kuarantin sebab Covid-19, apakah alasan untuk yang selainnya?

MoU bukanlah alasan. Tiada satu perenggan dalam 16 muka surat MoU menjanjikan bahawa PH akan melucutkan hak mereka untuk mengundi dalam Dewan Rakyat.

Sebaliknya Item 9 dalam teks utama jelas menjamin "peranan, hak dan tanggungjawab Pakatan Harapan untuk menyemak imbang, mengawasi, meneliti, dan memastikan kerajaan bertanggungjawab kepada Parlimen”.

Atas mentaliti apa ahli-ahli Parlimen kerajaan membuat andaian bahawa dengan MoU, mereka boleh ponteng dan tetap harapkan pembangkang akan menyokong usul dan RUU Kerajaan? Tidak rasa segankah mereka untuk naik marah kebudak-budakan kerana jari terbakar akibat ponteng?

Ada yang cuba mengelirukan orang awam dengan memetik sebahagian daripada Item 3.3(b) untuk menutup kepontengan 31 orang ahli Parlimen kerajaan.

Ini adalah ungkapan penuh Item 3.3b dalam Bahasa Melayu yang mudah: "[Pakatan Harapan ... bersetuju...] Tertakluk kepada penunaian dan pelaksanaan Transformasi dalam Memorandum Persefahaman ini, mengambil pendirian menyokong atau berkecuali dalam proses meluluskan apa-apa usul atau rang undang-undang lain yang kegagalan meluluskannya merupakan satu bentuk ketidakpercayaan atau tiada keyakinan kepada kerajaan, selepas proses penggubalan rang undang-undang tersebut dirundingi dan dipersetujui secara bersama pada dasarnya.”

Kalau ada yang pura-pura tidak faham, ini penjelasannya: PH berjanji untuk tidak menjatuhkan kerajaan dalam undi usul atau RUU yang dikira sebagai petunjuk kepercayaan kepada kerajaan atas syarat PH dibawa berunding dan kandungannya dipersetujui.

DUA SYARAT MESTI DIPENUHI

Maka, kalau ada pihak yang menggunapakai MoU atas usul Sosma, maka dua syarat mesti dipenuhi. Pertama, kerajaan mesti menyatakan secara sahih kelulusannya adalah petunjuk kepercayaan kepada kerajaan. Kedua, kerajaan mesti berunding dengan PH untuk mencapai persetujuan atas kandungan usul atau RUU.

Adakah kedua-dua ini dilakukan? Tidak. Sebenarnya, kalau kerajaan telah mewarwarkan ini pasal kepercayaan, bukankah lebih besar lagi "dosa” ahli Parlimen yang ponteng?

Hakikatnya, ekspetasi bahawa sesebuah kerajaan berhak meluluskan setiap usul dan RUU sebelum ia dijatuhkan adalah satu idea yang songsang, memudaratkan dan lapuk.

Tiada bumi yang tidak ditimpa hujan. Sejak bila berkuasa menjadikan sesebuah parti itu maksum? Apa salahnya kalau Parlimen membetulkan pelan kerajaan dari masa ke semasa?

Memang UMNO inginkan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tetapi kalau nak jadikan usul Sosma untuk menamatkan MoU dan menjatuhkan kerajaan Ismail Sabri, maka PRU15 bolehlah jadi referendum untuk hak ahli Parlimen berponteng.

Berjalan di atas benteng,

Hayati langit senja.

Si-YB janganlah ponteng,

Nak Gaji Buatlah kerja.

*Profesor Wong Chin Huat (chinhuatw@gmail.com) seorang ahli sains politik yang khusus dalam sistem pilihanraya, politik parti dan demokrasi berparlimen.

Klik di sini untuk terus membaca