SHAH ALAM - Kemenangan pembangkang di Dewan Rakyat merupakan tindakan ‘backfire’ kepada barisan ahli Parlimen blok tersebut ekoran telah meletakkan Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik menjadi isu perdebatan... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Kemenangan pembangkang di Dewan Rakyat merupakan tindakan ‘backfire’ kepada barisan ahli Parlimen blok tersebut ekoran telah meletakkan Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik menjadi isu perdebatan bersama kerajaan.

Penganalisis Politik, Profesor Dr Mohd Aizuddin Mohd Sani berpendapat, tindakan mereka itu dilihat ‘memakan diri sendiri’ sekiranya kerajaan bertindak membatalkan MoU berkenaan sekali gus melaksanakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dalam masa terdekat.

"Ada elemen ‘backfire’, walaupun mereka (pembangkang) bersorak di Parlimen (kerana) berjaya mengalahkan kerajaan, selepas itu mereka ada proses untuk memperbetulkan semula.

"Anthony Loke (Setiausaha Agung DAP) kata tidak menggugat MoU, mereka pun bimbang kalau kerajaan membatalkan MoU, mereka tidak bersedia ke arah PRU15.

"Pakatan Harapan (PH) sedar risiko yang dihadapi dengan kemenangan kecil di Parlimen, perkara normal berlaku dalam sistem demokrasi, (namun) di Malaysia, ia satu yang unik kalau berlaku, dan ia terjadi kerana faktor kita memasuki era tiada parti dominan dalam negara," katanya ketika menjadi panelis Wacana Sinar edisi ke-332 bertajuk ‘Langgar MoU, PRU15 Menanti’ yang disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian pada Jumaat.

Turut menjadi panelis, pakar Perlembagaan, Profesor Datuk Dr Shamrahayu Abd Aziz, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau, Dr Akmal Salleh dan ADUN Seberang Jaya, Dr Afif Bahardin manakala Ismail Adnan sebagai moderator.

Terdahulu Sinar Harian melaporkan, isu Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) tidak dirunding antara kerajaan Persekutuan dan PH ketika memeterai MoU pada September tahun lalu.

Anthony berkata, tindakan barisan pembangkang yang menolak usul kerajaan melanjutkan tempoh pelaksanaan Sosma tidak mencerminkan hilang kepercayaan terhadap pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Sementara itu Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga dilaporkan berkata, kegagalan usul berkenaan diluluskan di Dewan Rakyat tidak mendatangkan kesan sama sekali kepada MoU berkenaan ekoran ia bukan sebahagian daripada intipati MoU yang dimeterai.

Mengulas lanjut Mohd Aizuddin berkata, MoU tersebut boleh diteruskan, namun sekiranya kerajaan mengambil langkah sebaliknya, kemungkinan PRU15 akan berlangsung Ogos ini.

"Pembangkang agak kuat di Parlimen, mereka (kerajaan) ada komitmen lain, bukan faktor ada pihak atau kumpulan tertentu yang mahu menjatuhkan kerajaan, cuma kesilapan yang boleh dibetulkan dengan langkah seterusnya selepas rundingan atau majoriti .

"Realitinya MoU hanya bentuk perjanjian kesepakatan untuk stabilkan kerajaan dan bersifat sementara.

"PRU15 paling awal mungkin (berlangsung) Ogos ini kerana perjanjian (MoU) akan berhenti pada Ogos. Tetapi ada desakan dari pihak PH untuk meneruskan (MoU), terpulang pada kerajaan mahu meneruskan atau tidak,” ujarnya.

Klik di sini untuk terus membaca