PENCEROBOHAN Rusia di Ukraine telah mencetuskan sesuatu yang dianggap hampir tidak dapat difikirkan iaitu penggunaan senjata nuklear. Presiden Rusia, Vladimir Putin dianggap akan membenarkan apa yang disebut sebagai serangan nuklear... Klik di sini untuk terus membaca

PENCEROBOHAN Rusia di Ukraine telah mencetuskan sesuatu yang dianggap hampir tidak dapat difikirkan iaitu penggunaan senjata nuklear.

Presiden Rusia, Vladimir Putin dianggap akan membenarkan apa yang disebut sebagai serangan nuklear 'taktikal' terhadap negara jirannya, Ukraine.

Sebelum ini pada 27 Februari lalu iaitu tiga hari setelah bermulanya pencerobohan, Putin mengarahkan ketua pertahanannya untuk meletakkan pasukan nuklear Rusia berada dalam keadaan kewaspadaan yang tinggi.

Negara-negara Barat pula mengutuk tindakan itu dalam tempoh yang cepat dengan Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Antony Blinken menanggap kenyataan Putin tersebut sebagai provokatif dan tidak bertanggungjawab.

Sebilangan besar penganalisis Barat percaya kenyataan Presiden Rusia itu dirancang untuk menghalang AS dan sekutunya meningkatkan sokongan masing-masing kepada Ukraine.

"Ini dimaksudkan bagi untuk menanamkan perasaan takut di seluruh dunia. Ia juga memberi maksud untuk menakut-nakutkan pihak yang mahu membantu Ukraine," kata Beatrice Fihn yang mengetuai Kempen Antarabangsa untuk Menghapuskan Senjata Nuklear kepada AFP.

JUMLAH PELEDAK NUKLEAR TERBESAR

Rusia mempunyai sejumlah peledak nuklear yang terbesar berbanding negara-negara lain, menurut Stockholm International Peace Research Institute yang menyatakan Moscow memiliki bilangan peledak nuklear sebanyak 6,255 buah.

Pakar menyatakan risiko di Ukraine bukanlah dengan menempatkan senjata gergasi yang strategik dan boleh menimbulkan ancaman kepada seluruh planet bumi.

Sebaliknya, Putin mungkin terdorong untuk menggunakan senjata 'taktikal' itu dengan menggunakan peledak kecil nuklear yang mampu membawa kehancuran di kawasan setempat di Ukraine tetapi ia tidak akan mengancam nyawa di seluruh Eropah.

Senjata-senjata itu terdapat dalam pelbagai saiz dan kesannya bergantung sama ada ia akan meletup di permukaan tanah atau di atas permukaan bumi.

Presiden AS, Joe Biden juga mendakwa baru-baru ini bahawa Moscow sedang mempertimbangkan untuk menggunakan senjata kimia dan biologi di Ukraine.

"Senjata kimia tidak akan mengubah hala tuju peperangan. Adakah satu senjata taktikal nuklear (peledak kecil nuklear) boleh menyebabkan kemusnahan kepada sebuah bandar raya Ukraine? Ya," kata Mathieu Boulegue iaitu seorang penganalisis di Chatham House yang juga dikenali sebagai Royal Institute of International Affairs dan mempunyai ibu pejabat di London kepada AFP.

Bagaimanapun, Ukraine dan Barat bimbang jika Putin mungkin akan mengalami kerugian di medan perang dan masalah ekonomi di Rusia.

Ia juga menyebabkan timbulnya tanda tanya tentang kelangsungan politiknya.

TAKUT-TAKUTKAN

Satu serangan taktikal nuklear adalah bertujuan untuk mematahkan tentangan daripada tentera Ukraine dan memaksa Presiden negara tersebut, Volodymyr Zelenskyy menyerah diri.

Pavel Luzin iaitu seorang pakar di Riddle yang merupakan sebuah badan pemikir menyatakan bahawa langkah pertama yang akan dilihat ialah satu senjata nuklear kecil akan digunakan di laut atau kawasan yang tidak mempunyai penduduk.

Menurutnya, ia dilakukan sebagai satu tindakan untuk menakut-nakutkan Ukraine di dalam perang tersebut.

"Selepas itu, jika musuh masih mahu berperang, ia dapat digunakan untuk melawannya," katanya.

Senjata nuklear dibimbangi akan digunakan di Ukraine. - Foto AFP

Beliau menganggap satu serangan menggunakan peledak nuklear kecil itu akan dilakukan di sebuah bandar raya.

Christopher Chivvis yang berkhidmat sebagai seorang pegawai perisik AS untuk Eropah dari tahun 2018 sehingga 2021, menyatakan baru-baru ini bahawa hanya ada dua 'kaedah' bagi menamatkan perang Ukraine.

"Satu adalah menerusi penentangan secara berterusan yang berpotensi dan melalui satu perdamaian pahit yang dikenakan ke atas Ukraine yang kalah," menurut artikelnya di akhbar The Guardian.

Namun, baru-baru ini, jurucakap Putin, Dmitry Peskov ketika diwawancara oleh pengacara CNN, Christiane Amanpour menyatakan bahawa Moscow kemungkinan akan menggunakan senjata nuklear.

Peskov berkata: "Jika itu merupakan ancaman bagi negara kita, maka ia dapat digunakan sesuai dengan konsep kita."

Dalam wawancara itu, beliau juga menegaskan bahawa pencerobohan Ukraine adalah mengikut perancangan seperti yang dirancang dan berkata, tentera Rusia hanya menyerang sasaran tentera.

Putin sebelum ini telah memberi amaran kepada negara lain agar tidak campur tangan dengan pencerobohannya dan memberi amaran sebarang usaha menentang Rusia akan mendapat akibat yang tidak pernah dilihat sepanjang sejarah.

Dalam pada itu, dakwaan terbaharu dari Kremlin tentang Ukraine yang cuba membangunkan senjata kimia, biologi atau senjata nuklear telah ditolak sebagai maklumat yang salah oleh pegawai-pegawai Barat.

"Penggunaan senjata pemusnah besar-besaran terhadap Rusia akan menyebabkan wajar ia bertindak balas dengan menggunakan senjata nuklear," kata Kristin Ven Bruusgaard iaitu pakar mengenai doktrin nuklear Rusia di University of Oslo, Norway.

Dalam pada itu, William Alberque iaitu seorang pakar kawalan senjata di International Institute for Strategic Studies, sebuah badan pemikir Britain memberitahu AFP bahawa beliau meragui Putin akan menggunakan senjata nuklear kecil.

"Kesan politik akibat penggunaan senjata nuklear akan menjadi keterlaluan. Beliau (Putin) akan kehilangan sedikit sokongan yang masih ada. India akan menarik sokongan termasuk juga China," katanya.

Ven Bruusgaard menyatakan Putin memerlukan persetujuan untuk melancarkan senjata nuklear itu sama ada daripada Menteri Pertahanan, Sergei Shoigu atau Ketua Turus Am Tentera Rusia, Valery Gerasimov.

"Kesan ketenteraan tidak dapat diramalkan bahawa ia sangat berbahaya bagi Rusia," katanya.

Ini kerana Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) atau AS mungkin merasa perlu untuk masuk campur dalam konflik di Ukraine secara langsung.

"Itulah senario tepat yang cuba dihindari oleh Rusia," katanya. - Agensi

Klik di sini untuk terus membaca