KUNJUNGAN sulung Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ke Vietnam atas jemputan Perdana Menterinya baru-baru ini bukan sahaja mengeratkan lagi hubungan antara kedua-dua negara, tetapi memberikan nafas baharu kepada kerjasama yang... Klik di sini untuk terus membaca

KUNJUNGAN sulung Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ke Vietnam atas jemputan Perdana Menterinya baru-baru ini bukan sahaja mengeratkan lagi hubungan antara kedua-dua negara, tetapi memberikan nafas baharu kepada kerjasama yang sedang dan bakal dijalankan.

Tambahan pula, layanan yang diterima Ismail Sabri di Hanoi amat luar biasa apabila beliau diberikan penghormatan untuk bertemu dengan empat orang yang dianggap sebagai 'pemimpin tertinggi negara itu seperti Perdana Menteri Pham Minh Chinh, Presiden Nguyen Xuan Phuc, Setiausaha Agung Parti Komunis Vietnam Nguyen Phu Trong dan Pengerusi Dewan Rakyat (Chairman of the National Assembly), Vuong Dinh Hue.

Mengikut tradisi Vietnam, hanya tetamu negara yang dianggap istimewa akan diberikan penghormatan untuk bertemu keempat-empat pemimpin tertinggi negara itu.

Ini bermakna, Vietnam menganggap hubungannya dengan Malaysia yang sudah terjalin sejak 49 tahun yang lalu sebagai sesuatu yang serius.

Selain itu, Vietnam sendiri memandang tinggi dan menganggap Malaysia sebagai sebuah negara yang progresif kerana mampu untuk menangani masalah-masalah dan kejutan-kejutan terhadap ekonomi serantau dan global seperti Krisis Kewangan Asia 1997.

Tindakan berani Malaysia menambat mata wang dan menolak bantuan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) sehingga berjaya keluar dengan cepat daripada krisis tersebut mendapat penghormatan yang tinggi terutamanya daripada negara-negara membangun seperti Vietnam.

Sebagai antara sebuah negara Asia Tenggara yang mempunyai ekonomi paling pesat membangun, Vietnam merupakan sebuah negara yang sesuai untuk dijadikan sebagai rakan strategik Malaysia dalam mendepani cabaran-cabaran membangunkan semula ekonomi pasca pandemik Covid-19.

Dengan nilai dagangan global yang kini hampir mencecah AS$650 bilion (RM2.7 trilion), Vietnam merupakan rakan dagang Malaysia yang keempat terbesar di ASEAN dan yang ke-11 di peringkat global.

Selain itu, Malaysia juga merupakan pelabur asing yang kesembilan terbesar di Vietnam bernilai AS$13 bilion (RM54 bilion) selain jumlah pelaburan yang kedua terbesar dalam kalangan negara-negara ASEAN.

Pada 2021, perdagangan dua hala Malaysia-Vietnam bernilai AS$16.7 bilion (RM70 bilion), yang merupakan peningkatan memberangsangkan sebanyak 41.6 peratus berbanding 2020.

PETROLEUM, INDUSTRI HALAL

Dan daripada jumlah perdagangan antara kedua-dua negara ini, Malaysia mencatatkan nilai dagangan surplus sebanyak AS$5 bilion (RM21 bilion).

Bagaimanapun seperti yang dinyatakan oleh Perdana Menteri, sasaran nilai dagangan AS$18 bilion (RM76 bilion) menjelang 2025 yang ditetapkan oleh kedua-dua negara masih kecil dan masih banyak ruang untuk dipertingkatkan.

Dalam kunjungan baru-baru ini, Vietnam turut mengemukakan permintaan bekalan petroleum dan gas tambahan dan sebagai langkah permulaan, Malaysia bersetuju untuk menjual 300,000 tong petroleum pada harga semasa kepada mereka dengan segera.

Ini sekali gus akan merancakkan industri petroleum dan gas di peringkat antarabangsa selain menonjolkan peranan Malaysia dalam memenuhi keperluan Vietnam untuk terus membangun.

Selain itu, Vietnam juga meminta bantuan kepakaran Malaysia untuk membangunkan industri halal di negara mereka. Perdana Menteri memberikan jaminan Malaysia sedia menawarkan kepakaran dan khidmat nasihat kepada Vietnam termasuk syarikat-syarikat negara itu yang berminat dalam industri halal.Vietnam merupakan antara negara yang mempunyai pertindihan tuntutan terhadap pulau dan wilayah kelautan dengan Malaysia di Laut China Selatan. Sudah pasti dengan hubungan akrab bersama Vietnam, jika terjadi sebarang ketegangan, sudah pasti kedua-dua negara mampu menyelesaikan segala permasalahan melalui perundingan.

Jelas sekali, kunjungan sulung perdana menteri ke Vietnam akan memberikan manfaat kepada kedua-dua negara. Selain hubungan erat di peringkat kerajaan dengan kerajaan, komuniti perniagaan di Malaysia juga perlu mengambil kesempatan ini untuk menerokai pasaran baru terutama dalam bidang telekomunikasi, perbankan digital dan industri halal.

* Herizal Hazri merupakan Ketua Eksekutif Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS), Malaysia

Klik di sini untuk terus membaca