KEGAGALAN kerajaan mendapatkan kelulusan Dewan Rakyat bagi meminda tempoh pelanjutan kuat kuasa Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) Rabu lalu menarik untuk diperhatikan.
Menarik kerana kekalahan itu dijangka menimbulkan spekulasi berterusan terhadap situasi semasa politik negara. Yang pasti peristiwa ini akan digunakan sebagai modal politik menguntungkan pihak berkepentingan.
Kegagalan undian berbelah bahagi menerusi keputusan nipis itu mungkin tidak timbul kalau 50 ahli Parlimen yang lain hadir ke Sidang Dewan. Apa pun alasan mereka untuk tidak hadir, keputusan tersebut jelas memperlihatkan hakikat kerapuhan majoriti kerajaan.
Tiga perkara dijangka terbit daripada keputusan berikut. Pertama tekanan kuat terhadap Perdana Menteri untuk membubarkan Parlimen selepas diasak dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) dua minggu lalu. Kedua, hala tuju Perikatan Nasional (PN) dalam memberikan sokongan dan kekuatan kerajaan serta ketiga, keabsahan memorandum persefahaman (MoU) antara Pakatan Harapan (PH) dan kerajaan.
Namun perkara yang berkaitan dengan MoU mungkin paling menarik perhatian. Ironi juga apabila MoU dijadikan tumpuan dan PH disalahkan tidak menghormatinya berbanding isu ketidakhadiran ahli Parlimen kerajaan yang sepatutnya menyokong usul tersebut.Benar MoU merupakan perkara yang unprecedented (tidak pernah berlaku) dalam sejarah politik negara. Ketika ditandatangani September tahun lalu, MoU tersebut seharusnya membuka jalan kepada transformasi dan kestabilan politik yang dilihat bergelora selepas Langkah Sheraton.
Inti patinya mudah, MoU tersebut menjadi persefahaman bersifat pampas-memampas antara kerajaan dan pembangkang. Kerajaan menawarkan perlaksanaan transformasi yang termaktub dipampas oleh pembangkang dengan menyokong dan berkecuali dalam proses meluluskan apa-apa usul kerajaan yang dipersetujui bersama.
KONTROVERSI MoU
Paling penting, MoU tersebut menyatakan dengan jelas bahawa ia terpakai dan berkuat kuasa sehingga pembubaran Parlimen Ke-14, atau setidak-tidaknya
sebelum 31 Julai 2022. Jadi sepanjang tempoh itu kerajaan harus menunaikan perlaksanaan enam transformasi yang dipersetujui merangkumi Pemerkasaan Pelan Covid-19, Transformasi Pentadbiran, Pembaharuan Parlimen, Kebebasan Institusi Kehakiman, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Penubuhan Jawatankuasa Pemandu.
Di sebalik segala kontroversi tentang MoU yang diperkatakan kini (batal atau masih sah), baik kita semua bertanya tentang hasilnya. Bagaimana pelaksanaan enam transformasi yang dipersetujui itu, sudahkan ia ditunaikan semua atau sebaliknya?
Setakat ini, tidak ada mana-mana pihak yang tampil untuk menjelaskan perkembangan MoU tersebut. Walaupun fahaman umum tentang MoU ini diwujudkan supaya kestabilan politik serta usul undi tidak percaya kepada Perdana Menteri tidak berlaku, ia belum cukup untuk menerangkan keseluruhan kandungan MoU dalam konteks sebenar.Mempersoalkan hasil MoU ini lebih penting berbanding mempolitikkannya. Apa yang berlaku Rabu lalu sebenarnya menjauhkan lagi pemahaman umum tentang kerangka besar MoU tersebut dirangka dalam konteks penambahbaikan perjalanan demokrasi negara.
Secara umum kekalahan usul kerajaan dalam sidang Parlimen masih tidak menjejaskan perkara fundamental yang menyentuh tentang keabsahan kerajaan. Selagi mana tidak ada usul undi tidak percaya berlaku kepada Perdana Menteri, kerajaan masih lagi sah dari segi Perlembagaan.
Isunya mudah. Kalau ahli-ahli Parlimen kerajaan hadir ke sesi pengundian usul tersebut mungkin sudah diluluskan. Sebab itu gambaran yang diberikan tidak mencerminkan keadaan yang sebenar yang sudah tentu memesongkan maksud dan semangat sebenar MoU yang dipersetujui bersama.
Sebab itu yang patut ditanya ialah masih berjalankah MoU itu? Kalau ya apa perkembangannya? Dan yang paling penting, mana hasilnya?
* Mujibu Abd Muis ialah Pensyarah Kanan Sains Politik Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi Universiti Teknologi MARA (UiTM)
Klik di sini untuk terus membaca