PADA 27 Mac 2014, setelah pengilhakan Rusia ke atas Crimea, Malaysia telah mengundi menyokong Resolusi 68/262 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), menyokong keutuhan wilayah Ukraine. Hal ini sangat sukar dipercayai: Saya berada di Yalta setahun sebelum itu untuk melawat tapak persidangan yang membentuk keamanan selepas Perang Dunia Pertama.
Pada 2 Mac 2022, Malaysia telah menyokong Resolusi ES-11/1 Perhimpunan Agung PBB yang ‘amat mengesali tindakan agresif Persekutuan Rusia terhadap Ukraine; dan menuntut agar Persekutuan Rusia mengundurkan seluruh angkatan tenteranya dengan segera, sepenuhnya dan tanpa syarat’.
Hal ini merupakan pandangan sebahagian besar dunia termasuk sekitar separuh negara ahli Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan negara-negara jiran ASEAN kecuali Laos dan Vietnam (walaupun Duta Myanmar ke PBB tidak bercakap mewakili pemerintah negaranya). Negara-negara lain mengambil pendirian berkecuali; hanya Belarus, Syria, Korea Utara dan Eritrea menyertai Rusia dalam menolak resolusi tersebut.
Walaupun bahasa yang digunakan dalam resolusi ini penuh ketegasan, realitinya banyak negara yang masih mencuba seimbangkan persaingan kepentingan geopolitik dengan mengeluarkan kenyataan dua hala yang lebih lembut. Satu kesimpulan jika melihat konflik ini melalui prisma teori hubungan antarabangsa adalah hal ini merupakan peristiwa yang boleh diramal sepenuhnya.
Rusia sedang melakukan sesuatu yang secara logiknya negara itu akan lakukan: anda boleh memplot satu garis masa dengan semua tindakan serta tindak balas yang membawa kepada peningkatan konflik ganas ini yang telah menyebabkan 10 juta rakyat Ukraine meninggalkan kediaman mereka (menurut Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian, UNHCR), dan kematian beribu-ribu tentera di kedua-dua belah pihak.
Di bawah kerangka kerja ini, tidak penting sama ada Ukraine (atau sebagai sebuah demokrasi, ‘rakyat Ukraine’) mempunyai ‘hak’ untuk menyertai Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO). Ukraine mungkin mempunyai ‘hak’ tersebut di bawah undang-undang antarabangsa dan secara moral, tetapi hal itu tidak akan menghalang Rusia daripada bertindak mengikut kepentingan strategiknya.
PERALIHAN SIKAP
Tetapi geopolitik tanpa dipengaruhi perasaan jugalah yang membawa kepada peralihan sikap di Eropah, seperti Jerman yang sedang membina ketenteraannya; Sweden dan Finland yang cenderung untuk menyertai NATO; dan Switzerland yang terkenal sebagai negara berkecuali menyertai sekatan terhadap Rusia dan Belarus serta mengalu-alukan pelarian Ukraine.
Pandangan yang saya dengari dari rakyat Malaysia adalah sangat pelbagai, mendedahkan jangkaan yang berbeza kepada kedudukan Malaysia di pentas dunia. Ada rakyat Malaysia berfahaman konservatif yang menggemari pemimpin autoritarian umumnya dan Putin khususnya, namun di dalam pelbagai kumpulan WhatsApp saya, rakan dan saudara-mara yang bersungguh-sungguh pro-Rusia kebanyakannya disebabkan mereka anti-Amerika Syarikat (kadang kala merujuk kepada keyahudian Presiden Ukraine), manakala sebahagian kecil adalah pro-China.
Sebahagian besar sikap anti-Amerika Syarikat ini mengambil bentuk sebagai menunjukkan kesalahan AS di serata dunia: "mengapa kita perlu mengambil berat akan hal Ukraine, terutamanya apabila Muslim di tempat lain sedang dibunuh?”
Ada yang memberi tindak balas dengan menterbalikkan analogi tersebut: kaki buli sebenar ialah Rusia, mengancam dengan senjata nuklear, dan telah menggunakan senjata fosforus ketika menyerang negara jirannya yang lebih kecil, oleh itu kita perlu menyamakan rakyat Ukraine dengan rakyat Palestin. Kelompok yang lain mengimbas kembali peristiwa MH17 ditembak jatuh dalam kawasan yang dikawal oleh puak pemisah pro-Rusia.
Hanya sedikit yang diperkatakan mengenai kesan ekonomi. Perdagangan Malaysia dengan kedua-dua buah negara berjumlah kurang 0.5 peratus daripada keseluruhan jumlah dagangan, tetapi konflik yang berpanjangan akan memberi kesan kepada permasalahan rantaian bekalan makanan disebabkan sumbangan gandum dan bijirin kedua-dua negara.
Sehingga kini, harga minyak kelapa sawit yang telah meningkat mendadak mencapai harga rekod RM8,000 satu tan kerana penghantaran minyak bunga matahari dari Laut Hitam telah tergendala.Simpati
Pandangan majoriti bagaimanapun adalah simpati. Tanpa mengambil kira geopolitik, laporan dan rakaman penduduk Ukraine melarikan diri dari rumah atau mempertahankan bandar mereka adalah menyayat hati dan berani.
Rasa simpati juga kepada para remaja Rusia yang dihantar untuk menyerang Ukraine tanpa memahami sebab dan alasan sepenuhnya dan tidak mendapat bekalan mencukupi (menurut pintasan komunikasi). Intensiti propaganda ini dapat digambarkan dengan rakyat Ukraine dengan ibu bapa yang berada di Rusia yang enggan mempercayai bahawa bandar-bandar Ukraine diserang bertubi-tubi.
Malah terdapat skeptis terhadap laporan media: krisis kemanusiaan dan kemusnahan kononnya adalah ciptaan media. Justeru, para wartawan profesional yang bergadai nyawa memberi laporan dari barisan hadapan tidak diendahkan berbanding blog-blog yang menyebarkan teori konspirasi atau akaun-akaun Twitter yang menyebarkan propaganda.
Ya, sudah tentu agensi media rasmi juga mempunyai kecenderungan mereka, tetapi terdapat ramai wartawan di lapangan dari pelbagai agensi berbeza (bukan sahaja agensi media Barat), bahan laporan tempatan dari lapangan yang dilaporkan dari pelbagai sudut pandang, dan penganalisis bebas yang melakukan semak silang ketulenan video, lokasi dan cap masa.
Dalam jangka panjang, mungkin perbualan paling berkaitan adalah sekitar analogi antara Malaysia dan Ukraine, sebagai sebuah negara kecil yang tertakluk kepada tekanan persaingan geopolitik. Suatu hari, pilihan yang kita lakukan mungkin akan mengundang pencerobohan kuasa besar berhampiran.
Adakah kita akan mengambil pandangan 'realis' iaitu melaraskan penyekutuan negara untuk mengekalkan keamanan? Atau sebaliknya kita akan mempunyai keyakinan terhadap nilai-nilai kita, menzahirkannya di pentas antarabangsa dan mendapatkan pertahanan dan sekutu yang diperlukan untuk menghadapi kemungkinan tindak balas?
Saya lebih menyukai pilihan kedua. Sementara itu, saya berharap Masjid Al-Salam di Odessa yang saya pernah bersembahyang di dalamnya tetap berdiri utuh.
* Tunku Zain Al-‘Abidin merupakan Presiden Pengasas IDEAS
Klik di sini untuk terus membaca