ADA dua cerita menarik dalam minggu ini. Seperti biasa ramai yang akan memberi ulasan dan pandangan untuk menjustifikasikan apa yang berlaku. Ada juga yang ulasannya penuh dengan fakta. Saya tidaklah mahu memberi ulasan yang berkaitan fakta... Klik di sini untuk terus membaca

ADA dua cerita menarik dalam minggu ini. Seperti biasa ramai yang akan memberi ulasan dan pandangan untuk menjustifikasikan apa yang berlaku. Ada juga yang ulasannya penuh dengan fakta.

Saya tidaklah mahu memberi ulasan yang berkaitan fakta atau untuk menjustifikasi dua berita menarik ini. Cuma saya tertarik sahaja untuk kaitkan dengan pepatah Melayu lama kita yang penuh dengan hikmah.

Dua cerita menarik yang hangat diperkatakan dan diperdebatkan adalah yang pertama berkenaan isu gaji minimum RM1,500. Seperti yang kita ketahui kerajaan sudah bersetuju untuk menaikkan gaji minimum ini.

Kata kerajaan, ia akan bermula pada 1 Mei 2022. Eloklah dikuatkuasakan pada hari tersebut, memandangkan ia merupakan Hari Buruh Sedunia.

Setelah dilaksanakan gaji minimum ini, diharapkan kehidupan rakyat lebih sejahtera dan sedikit sebanyak membantu untuk mencukupkan perbelanjaan asas walaupun kalau kita melihat pada hakikatnya, gaji minimum ini masih belum boleh dikatakan mencukupi di setengah tempat sahaja.

Mungkin, masih ada yang perlu mencari pendapatan tambahan untuk keselesaan tambahan kepada kehidupan keluarga. Bak kata pepatah, ranap pertulang, ijok penebal. Melihat kepada pepatah ini tidaklah saya faham akan maksudnya. Tetapi merujuk kepada Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM) ialah mencari pendapatan tambahan selain daripada gaji.

TAK SAMPAI HUJUNG BULAN

Biasanya kita ini rakyat jelata bak kata pepatah lagi, air lalu kubangan tohor. Gaji bulanan kita biasanya, tidak sempat sampai hujung bulan, sudah habis untuk membayar banyak hutang seperti rumah, kereta, sekolah anak-anak dan perbelanjaan untuk pergi balik ke tempat kerja.

Diharapkan dengan pengumuman ini sedikit sebanyak dapatlah menambah apa yang kurang di samping memberi sedikit keselesaan dan kelegaan kepada rakyat jelata seperti kita ini, yang keadaannya kering pengayuh di tangan, kering wang di pinggang. Kalau menjadi orang-orang besar ini, kebanyakannya semua ditanggung. Gaji pokok sudahlah besar, elaun itu ini lagi yang mungkin tidak menjejaskan pun gaji pokok. Contohnya orang yang berjawatan seperti ketua pegawai eksekutif.Ada cerita yang saya dengar, kalau menjadi ketua pegawai eksekutif ini, penyelenggaraan kereta, bil air rumah, bercuti, semuanya ditanggung oleh syarikat juga. Dan bilangan cuti tahunannya, ada juga yang bercerita, melampau juga banyaknya berbanding pekerja bawahan.

Cuti tahunan ini katanya, boleh sahaja dibawa ke hadapan tanpa ada tarikh luput pula. Kalau pekerja biasa seperti saya ini, lepas raya sahaja sudah habis cuti tahunan. Hendak bawa ke hadapan pun tidak ada lagi bakinya.

Cerita kedua yang agak hangat minggu ini pula, berkenaan gaji sehari RM200,000. Saya tidaklah mahu memberi ulasan kepada orang yang dikatakan menerima gaji sebanyak itu. Cuma saya terbayang-bayang sahaja bak kata pepatah, gila di abun-abun, jika mendapat gaji sebanyak itu, apakah akan terjadi kepada saya. Kalau mendapat RM10,000 daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pun, masih tertanya-tanya apa yang hendak dilakukan atau hendak dibelanjakan, apatah lagi sebanyak ratus-ratus ribu sehari ini.

Mungkin saya boleh menjadi seperti cacing yang melanting-lanting kepanasan. Dan apabila sudah banyak pendapatannya, maka bak kata pepatah, besar kayu, besarlah bahannya. Cuma hendaklah kita beringat juga, berkelahi dulu pendapatan berkelahi kemudian yang menyebabkan kerugian.

Kita tidaklah tahu akan nasib kita suatu hari nanti. Mungkin kita boleh menjadi seperti nasib penyapu, banyak jasa turun darjat. Ataupun, kalau kita tidak berjasa, hendaklah jangan lupa akan asal usul pula.

Jadi apabila difikirkan kembali, mungkin saya tidak layak untuk menerima gaji beratus-ratus ribu sehari ini. Bukan apa, takut saya akan lupa pula asal usulnya. Apabila lupa asal usul saya kan lupa arah tujuan hadapan saya.

Bak kata pepatah lagi, usul menunjukkan asal. Bukan hanya asal kenyang sahaja, akan lupalah kacang akan kulitnya.

* Faisal Muhamad ialah seorang jurutera kanan di sebuah syarikat lebuh raya dan amat meminati penulisan kreatif. Untuk berbual, e-mel beliau: mrfaisalmuhamad@gmail.com

Klik di sini untuk terus membaca