SHAH ALAM - Majlis pelantikan dan angkat sumpah Ahli Majlis Kerajaan Negeri Johor hari ini menyaksikan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi menampilkan semua 10 muka baharu dalam Exconya. Ini bermakna Onn Hafiz tidak menyenaraikan dua Exco... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Majlis pelantikan dan angkat sumpah Ahli Majlis Kerajaan Negeri Johor hari ini menyaksikan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi menampilkan semua 10 muka baharu dalam Exconya.

Ini bermakna Onn Hafiz tidak menyenaraikan dua Exco lama Barisan Nasional (BN) di bawah Menteri Besar lama walaupun mereka menang di kawasan masing-masing pada Pilihan Raya Negeri Johor baru-baru ini.

Dua Exco lama tersebut ialah Datuk Samsolbari Jamali (ADUN Semerang) yang sebelum ini memegang portfolio Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar selain R Vidyananthan (ADUN Kahang) iaitu Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar.

Turut tidak tersenarai dalam Ahli Majlis Kerajaan Negeri Johor ialah Menteri Besar lama yang juga ADUN Benut, Datuk Seri Hasni Mohammad.

Bagaimanapun ketiadaan Hasni dalam Exco kerajaan negeri sememangnya tidak mengejutkan walaupun terdapat cadangan agar Hasni diberikan satu jawatan seperti penasihat atau mentor.

Dalam majlis angkat sumpah tersebut, hanya Onn Hafiz merupakan Exco muka lama apabila sebelum ini memegang jawatan Pengerusi Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Belia dan Sukan.

Untuk penggal baharu ini, selain dilantik sebagai Menteri Besar baharu Johor, Onn Hafiz turut memegang salah satu portfolio paling penting iaitu Exco Hasil bumi, Pentadbiran, Kewangan, Perancangan dan Pembangunan Ekonomi.

Dari segi pengagihan jawatan mengikut parti komponen dalam BN, ADUN UMNO memegang lapan portfolio, ADUN MCA dua portfolio dan ADUN MIC satu portfolio.

Berikut adalah senarai penuh portfolio Exco Johor yang baharu:

1. Datuk Onn Hafiz Ghazi (ADUN Machap)

Pengerusi Jawatankuasa Hasil Bumi, Pentadbiran, Kewangan, Perancangan dan Pembangunan Ekonomi

2.Datuk Zahari Sarip (ADUN Buloh Kasap)

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar

3. Datuk Mohd Jafni Md Shukor (ADUN Bukit Permai)

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan

4. K. Raven Kumar (ADUN Tenggaroh)

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya

5. Khairin Nisa Ismail (ADUN Serom)

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat

6. Mohd Hairi Mad Shah (ADUN Larkin)

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia

7. Mohd Fared Mohd Khalid (ADUN Semerah)

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam

8. Ling Tian Soon (ADUN Yong Peng)

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan

9. Lee Ting Han (ADUN Paloh)

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna

10. Mohamad Fazli Mohamad Salleh (ADUN Bukit Pasir)

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur

11. Norliza Noh (ADUN Johor Lama)

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi.

Klik di sini untuk terus membaca