[WAWANCARA EKSKLUSIF] Prestasi Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang tidak memberangsangkan dalam dua siri Pilihan Raya Negeri (PRN) iaitu Melaka dan Johor sebelum ini menyebabkan ada pihak berpendapat parti berkenaan sudah semakin malap.
Namun, Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang merupakan orang lama dalam parti tidak bersetuju dengan dakwaan tersebut, sebaliknya optimis PKR adalah kekuatan politik baharu berasaskan kepada beberapa prinsip.
Malah, beliau yakin gabungan PKR dan Pakatan Harapan (PH) yang bersifat inklusif akan mampu bertahan lama.
Dalam Wawancara Eksklusif bersama Sinar Ahad, Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu itu turut memberitahu, beliau sudah lali dengan tuduhan kononnya PKR semakin hilang taring bahkan berkongsi kisah kebangkitan PKR.
Ikuti wawancara oleh wartawan, Farah Shazwani Ali bersama Saifuddin yang mengupas pelbagai isu termasuklah menjelang pemilihan PKR.
SINAR AHAD: Datuk Seri difahamkan akan bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR dalam pemilihan pada Mei ini. Apakah pertimbangan yang dibuat untuk memegang jawat
an nombor dua itu?
SAIFUDDIN: Saya masih belum membuat keputusan untuk bertanding pada ketika ini, maksudnya masih ada pilihan. Jika saya buat pengumuman untuk bertanding, sudah tentu saya mempunyai beberapa alasan.
Salah satunya adalah kerana lamanya tempoh penglibatan saya dalam PKR iaitu seawal kelahirannya pada tahun 1999 sehingga saat ini. Ini bermaksud saya berpengalaman dan setia, yang menjadi nilai boleh ditawarkan kepada ahli parti untuk membuat pertimbangan.
Penamaan calon hanya bermula pada 8 April, jadi saya masih ada masa. Dalam tempoh itu, saya berada pada saat jatuh bangun parti. Kalau parti itu diukur dengan penerimaan rakyat dalam bentuk prestasi dalam pilihan raya, PKR masuk pilihan raya seawal usia tujuh bulan.
Saya berada dalam tempoh parti naik turun sebagai cerminan kepada tahap sokongan rakyat pada tempoh-tempoh pilihan raya tersebut. Saya terlibat dalam kesemua Pilihan Raya Umum (PRU) sepanjang tempoh itu termasuk pada tahun 2004 saat kita jatuh teruk.
Justeru, jika saya menawarkan diri, saya menawarkan pengalaman ini. Apabila kita ada pengalaman, kita boleh belajar daripada peristiwa itu. Yang baik, kita manfaatkan dan yang tidak baik, kita elakkan sebab pengalaman mengajar kita.
Ini termasuklah pengalaman berkawan dengan parti-parti lain. Kita bersedia berkorban sedikit sebanyak kepentingan kita untuk meraikan hubungan dalam gabungan.
Dalam tempoh itu, saya sempat berurusan dengan tokoh-tokoh pemimpin elit daripada Pas seperti Datuk Fadzil Noor, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Tan Sri Abdul Hadi Awang, Datuk Mustafa Ali serta pemimpin DAP. Sampailah pada tahun 2018, rakan gabungan kami seperti Tun Dr Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang menjadi rakan koalisi kami. Saya yakin, itu akan memberi nilai tambah.
Dalam erti kata lain, kedudukan PKR dan rakan-rakan dalam Pakatan Harapan (PH) itu akan mudah untuk saya dan parti uruskan kerana pengalaman yang ada.
Dalam tempoh itu juga, saya berpeluang menjelajah seluruh negara dan melihat bagaimana parti bertapak dari kawasan bandar hingga desa dan pedalaman.
Parti juga mendapat dukungan daripada pelbagai etnik dan kaum. Bermula dari tahun 1999 hingga kini, kita mempunyai 1.2 juta anggota dalam tempoh 20 tahun ini. Saya kekal dalam parti dan melihat sendiri sejarah dalam parti.
Ini penting sebab generasi baharu hanya melihat di hujung-hujung setelah melihat PKR menang. Jadi, apabila PKR diuji dengan kekalahan di Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor, mereka panik sedangkan kita pernah berasakan keadaan yang lebih teruk.
Datuk Seri dijangka berdepan dengan bekas Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli untuk jawatan Timbalan Presiden. Bagaimana Datuk Seri melihat peluang untuk menang dan potensi lawan?
Rafizi adalah rakan karib saya. Semasa saya Timbalan Ketua Pemuda (Angkatan Muda Keadilan) memikul tugas daripada Datuk Mohd Ezam Mohd Nor yang ketika itu berada dalam penjara, Rafizi adalah Exco Pemuda dan bertugas di London. Bila balik dari London, dia berkhidmat di Petronas dan hubungan kami menjadi semakin dekat.
Apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Penasihat Ekonomi Selangor pada tahun 2008, beliau dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif. Ketika itu saya menjadi ahli Parlimen dan dilantik menjadi Setiausaha Agung PKR tidak lama kemudian.
Jadi, hubungan kerja dan persahabatan dengan beliau sangat akrab, sekali gus membolehkan saya memahami dan mengakui, beliau seorang yang sangat berbakat dan mempunyai idea-idea bagus dan bernas.
Termasuklah pada tahun 2018 semasa PRU14, inisiatif baharu yang beliau buat membawa kami untuk bergerak bersama-sama seluruh negara. Kami bersama-sama ‘membidani’ PH yang mana kerja-kerja sebalik tabir kami lakukan bersama sehingga membolehkan PH dilancarkan dan didaftarkan.
PH menang tetapi beliau ketika itu tidak boleh bertanding kerana kes mahkamah. Beliau tidak mempunyai sebarang kedudukan dalam kerajaan, manakala saya dilantik sebagai anggota Jemaah Menteri dan hubungan kami masih berjalan.
Jadi, kalau ditanya peluang, sudah tentu ia bukanlah satu yang mudah kerana sosok Rafizi itu sangat kuat pengaruhnya dalam dan luar parti. Tapi, dalam klausa parti, memang ada satu klausa, setiap tiga tahun parti boleh buat pemilihan. Maksudnya, kita boleh bersaing dengan kawan untuk memberi peluang kepada anggota parti menilai kita berdasarkan rekod dan sumbangan kita.
Saya yakin, kalau takdirnya dalam masa terdekat ini saya membuat pengumuman untuk bertanding Timbalan Presiden, persaingan saya dengan Rafizi adalah persaingan sihat dan memberi peluang kepada anggota parti mengamalkan kebebasan memilih. Ia tidak akan sesekali mencarikkan persahabatan kami.
Baik saya atau Rafizi yang terpilih, saya yakin kami berdua akan terus kekal duduk dalam bahtera PKR. Kami tidak akan duduk di tebing. Saya buktikannya apabila saya bertanding Timbalan Presiden melawan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pada tahun 2014, saya kalah tapi saya terus berada dalam parti sampai sekarang dan buat kerja seperti biasa.
Sebelum ini Datuk Seri ada mengeluarkan kenyataan bahawa ketika berlaku pengkhianatan dalam PKR, ada dalam kalangan pemimpin parti itu yang memilih untuk bercuti. Adakah ini menunjukkan Datuk Seri kurang senang dengan tindakan Rafizi?
Itu bukan kenyataan kurang senang, tapi itu adalah fakta. Saya memulakan ayat itu dengan ‘sukarnya mengemudi parti selepas Langkah Sheraton sementelah ada juga yang mengambil keputusan bercuti’.
Dalam tempoh yang sukar itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim keseorangan mengemudi dan menyusun parti kerana episod itu memberikan kesan kepada struktur kepimpinan parti apabila adanya kelompongan.
Bayangkan, bila mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR, kerusi timbalan di sebelahnya kosong. Kerusi Naib Presiden juga kosong. Yang ada hanya MPP dan Setiausaha Agung.
Pada ketika itu, Anwar diharapkan mesti melonjakkan parti menjadi lebih hebat tetapi ia menjadi lompong kerana kekurangan angka kepimpinan yang sepatut mengisinya. Dalam keadaan yang sukar itu, kami tidak toleh ke belakang.
Mana negeri yang terkesan dengan peristiwa itu, orang keluar atau kena pecat, kami sulam dan susun menggunakan perlembagaan parti, mengisi balik kekosongan sesuai dengan perlembagaan. Ada negeri yang terkesan teruk seperti Sarawak apabila nama-nama besar parti seperti Baru Bian dan Datuk Ali Biju keluar parti, moral anggota parti terus ke bawah dan kita nak pulihkan balik.
Pada masa itu, semua tengok dan mengharapkan Anwar mesti buat parti menjadi kuat. Setiausaha Agung mesti buat parti kuat sedangkan ia sepatutnya menjadi kepimpinan kolektif. Kepimpinan parti ada strukturnya tapi apabila ada kekosongan berlaku, atas apa sebab pun, itu hakikat yang harus kita akui.
Saya menceritakan keadaan pada waktu itu. Pada saya, tidak adil untuk tohmah Anwar dengan meletakkan harapan besar tapi gagal mengangkat kedudukan parti pada ketika tiada orang di kiri dan kanan.
Dalam kepayahan itu, Alhamdulillah kami dapat membawa parti untuk terus bertahan.
Selepas Langkah Sheraton, adakah PH dalam keadaan yang paling teruk?
Tidak syak lagi, kesan daripada episod Langkah Sheraton itu, kesannya sudah tentu ada. Pertamanya, hilang kerajaan yang dipilih rakyat melalui demokrasi iaitu pilihan raya hanya melalui jalan khianat. Sudah tentu ada kesan kepada parti-parti dalam PH bila ahli-ahli Parlimen berpaling tadah.
Ada kesan dan terkesan itu satu bab, dan bagaimana kita bingkas bangun daripada episod itu adalah satu cabaran yang berbeza. Sebab itu PH tidak berpecah dan strukturnya masih kompak dengan gabungan tiga parti kecuali Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang keluar.
Kita tetap bersama dalam pilihan raya dan tidak bertembung sesama sendiri, cuma kebelakangan ini wujud pula parti pembangkang yang baharu dan ikut masuk bertanding. Kemudian, timbul pula kekeliruan daripada segi memahami.
Kalau dalam PRN Melaka dan Johor itu ada penyertaan blok Perikatan Nasional (PN) yang di peringkat Persekutuan, mereka kerajaan tetapi di peringkat negeri mereka berlawan dengan Barisan Nasional (BN). Kita nak kategori mereka ini kerajaan atau pembangkang? Ada orang yang pukul rata, ini bukti perpecahan pembangkang.
PKR menggunakan lambang sendiri dan yang lain menggunakan lambang PH untuk menguji logo dalam PRN Johor. Adakah taktik ini memakan diri?
Dalam penyertaan sesuatu parti atau gabungan dalam pilihan raya, faktor yang menjamin kemenangan ini adalah pelbagai. Satu juzuk daripadanya ialah logo selain calon, polisi, tawaran dan rekod kerja kita yang lepas.
Gabungan pembangkang ini sebenarnya daripada tahun 1999, 2004, 2008 dan 2013 bertanding logo masing-masing tapi kita bersetuju satu iaitu elakkan pertembungan sesama sendiri. Kita bertanding lawan satu sama satu dengan BN.
Masuk PRU14 pada 2018, PH belum lulus pendaftaran dan hanya lulus setelah menjadi kerajaan. Ketika itu, ada sedikit masalah Kementerian Dalam Negeri (KDN) terhadap Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan mereka tidak boleh bertanding menggunakan lambang mereka. Jadi, kita bincang dan dipersetujui pakai lambang PKR. Selepas itu, PH lulus pendaftaran dan kita sudah ada lambang sendiri.
Apabila PRN Sabah, lambang PH tidak digunakan, sebaliknya kita gunakan lambang Parti Warisan (Warisan), sedangkan Warisan bukannya anggota PH. Ramai orang yang tidak lihat keadaan itu. Sebab itu, apabila timbul isu guna lambang sendiri, serangan itu terkena kepada PKR tetapi dua komponen kita ketika PRN Sabah bukan sahaja tidak guna lambang PH, malah lambang parti sendiri juga tidak guna, sedangkan PKR guna lambang PKR.
Apabila PRN Johor, Warisan pula melawan kita. Fakta ini adalah fakta yang menjelaskan supaya berlaku adil kepada PKR. Nilailah semua fakta-fakta ini secara jujur.
Saya setuju, satu gabungan pembangkang yang kompak mestilah mempunyai polisi yang sama, manifesto yang satu dan kepimpinan yang jelas. Satu lambang itu membantu tapi ia bukanlah segala-galanya.
PKR terbuka dengan idea ini. Nak kata kami obses dengan lambang sendiri tidak juga. Di PRN Melaka, kami guna lambang PH tapi kalah juga. Di Johor, kami cuba lambang kami dan menang satu kerusi.
Salah seorang pemimpin PH yang juga tokoh veteran DAP, Lim Kit Siang mengumumkan bersara dari arena politik. Adakah Datuk Seri melihat ini masa yang sesuai untuk PH diterajui pemimpin generasi baharu?
Relevan atau tidak, bertahan atau tidak PH adalah kerana ia merupakan gabungan parti politik. Gabungan parti politik ini penentuan nasibnya adalah pilihan raya. Kalau rakyat boleh memberikan sokongan dan dukungan, nescaya nyawa politiknya bertahan. Begitulah PH, masa depannya diukur dengan penerimaan rakyat ketika pilihan raya.
Kita di sini masih bertahan dan bergerak serta strukturnya kompak daripada segi kepimpinan, kegiatan dan kenyataan bersamanya. Daripada sudut perundangan, ia sah berdaftar dengan pendaftar pertubuhan.
Kita ada struktur di setiap peringkat negeri dan kita bergerak sebagai satu gabungan. Buat masa ini, saya masih anggap PH masih lagi ada fungsi dan dikenali rakyat. Hanya dengan keputusan politik di peringkat negeri baru-baru ini, PH kena cepat respons kepada isyarat yang telah dihantar oleh rakyat.
Benarkah tanggapan sesetengah pihak yang melihat PKR semakin hilang taring, adakah kerana ketandusan pemimpin?
PKR hilang taring ini, serangan yang kita sudah terima sejak kami lahir pada April 1999. Hilang taring atau paling lemah dalam gabungan. Kalau dahulu dalam Barisan Alternatif the weakest link. Bila kami buat Pakatan Rakyat (PR), DAP dan Pas dikatakan lebih berdisiplin dan lebih kompak. Selepas tahun 2018 pun sama, tuduhan sudah hilang tarikan. Itu kenyataan-kenyataan yang kami terima.
Tuduhan PKR hilang taring, kalau benarlah serangan itu, ia seharusnya dibuktikan dengan sokongan dalam pilihan raya. Betul, dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) kami ada menang, ada kalah. Bersatu pun macam itu, UMNO pun macam itu. Jadi, saya tidak langsung terkalih. Orang Kedah kata saya dah ‘mangli’ dengan serangan-serangan macam ini. Fakta saya, ukurannya adalah pilihan raya.
Kita tengoklah apabila datang pilihan raya nanti, saya menang lagi tak? Atau calon-calon PKR, menang lagi tak?
Dituduh parti paling kucar-kacir tapi pada PRU tahun 2008, kita menang banyak kerusi. Begitu juga selepas itu. Selalunya jika berdepan dengan soalan sebegitu, saya langsung tak terkalih tetapi saya selalu mengajak kepada fakta.
Bagaimana Datuk Seri melihat masa depan PKR dan PH?
Saya optimis sebab kekuatan PKR dan PH adalah kekuatan politik baharu yang berasaskan kepada prinsip keadilan, good governans (tadbir urus yang baik), menentang rasuah dan penyelewengan, gabungan politik yang mengiktiraf perkara-perkara yang disepakati dalam Perlembagaan Persekutuan, Islam sebagai agama rasmi negara, mengiktiraf peranan dan kedudukan institusi Raja-raja, bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan Perkara 153, kedudukan istimewa orang Melayu dan hak bumiputera Sabah dan Sarawak.
Kita menjadikannya sebagai landasan kepada gabungan dan mengamalkan pendekatan politik yang inklusif. Parti yang meletakkan asas-asas sebegini, dalam konteks PKR dan PH, adalah gabungan yang mampu terus bertahan.
UMNO dan BN dilihat kembali menarik sokongan rakyat. Bagaimana Datuk Seri melihat peluang PH dalam menghadapi saingan daripada BN khususnya dalam PRU15 nanti?
Saya akui prestasi UMNO dan BN khususnya dalam PRN Melaka dan Johor memberikan satu gambaran bahawa mereka semacam berjaya mengembalikan sokongan rakyat seumpama penguasaan mereka selama lebih 60 tahun sebagai parti utama dalam negara. Tetapi, itu berlaku di peringkat PRN dan beberapa pilihan raya kecil. Ia menjadi satu ukuran, namun bukanlah satu-satunya faktor yang memberikan kelebihan yang jelas kepada UMNO dan BN.
Sentimen ketika PRU berbeza, namun harus diakui jangan dinafikan bahawa UMNO dan BN sedikit sebanyak sudah berjaya mengembalikan sokongan dan keyakinan rakyat kepada mereka.
Walaupun kita kata suasana PRU itu berbeza, tapi ia tetap sesuatu yang perlu dicermati dan melihat kembali, bagaimana mereka kembali bingkas bangun daripada kekalahan lepas untuk berada pada kedudukan sekarang.
Tapi, kalau kita lihat sedikit sebanyak, sudah ada tanda-tanda rakyat kembali bersedia kembali menerima mereka atas apa sebab sekalipun. PKR dan PH harus segera mengubah strategi dalam menangani keadaan ini.
Nama: Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail
Tarikh lahir: 7 Disember 1963 di Singapura
Pendidikan: Sarjana Sains (Agronomi), Universiti Putra Malaysia
Kerjaya politik:
Setiausaha Agung PH
Setiausaha Agung PKR
Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (2018-2020)
Klik di sini untuk terus membaca