BIAR Belalang mengaku siang-siang yang Belalang tidak pandai berbahasa Mandarin. Tapi Belalang ada ramai kawan di akhbar berbahasa Mandarin yang dapat membantu menterjemahkan apa jua maklumat Belalang perlukan ke dalam bahasa Melayu.
Kali ini Belalang perlu mendapatkan bantuan kawan-kawan di akhbar Cina untuk mengetahui apakah reaksi mereka ke atas keputusan Lim Kit Siang, 81, untuk bersara dari dunia politik pada Konvensyen Nasional DAP ke-17 minggu lalu.
Media-media berbahasa Mandarin membuat kesimpulan seperti berikut; "Dia (Kit Siang) keluar rumah pada sebelah pagi, untuk kembali semula pada sebelah petang.”
Ini kerana, pada sebelah pagi dalam ucapannya di hadapan lebih 2,000 perwakilan, beliau mengumumkan untuk bersara dari politik yang menyaksikan drama peluk memeluk di antara beliau dengan anaknya Lim Guan Eng serta titisan air mata namun itu semua hanya seketika.
Menjelang petang, semua drama dan episod sedih itu berlalu. Selepas pengundian berlangsung dan pemilihan dalam parti itu selesai, Kit Siang menerima tawaran untuk kembali sebagai mentor DAP. Situasinya sama seperti Lee Kuan Yew menerima jawatan menteri mentor selepas bersara sebagai Perdana Menteri Singapura.
KIT SIANG TIDAK BERSARA
Untuk rekod, Kit Siang adalah bekas Setiausaha Akhbar Kuan Yew sebelum Malaysia berpisah dengan Singapura.
Ramai wartawan dan pengarang kanan media berbahasa Cina menyatakan dengan menerima tawaran itu, Kit Siang pada hakikatnya tidak bersara. Sebaliknya, beliau dikatakan telah memperdaya perwakilan dengan pengumuman untuk bersara itu dengan harapan anaknya Guan Eng akan memperoleh ‘undi simpati’ bagi kerusi ahli jawatankuasa tertinggi pusat DAP.
Ini ternyata benar kerana Guan Eng berjaya menduduki di tempat ke sembilan daripada 30 kerusi yang dipertandingkan.
Ada pemerhati yang berkata, jika tidak kerana pengumuman persaraan itu, kedudukan Guan Eng mungkin lebih teruk daripada itu.
Guan Eng tidak mempunyai banyak pilihan kerana menurut perlembagaan parti, beliau tidak boleh lagi memegang jawatan Setiausaha Agung kerana telah menyandang jawatan tersebut selama lebih tiga penggal.
Jadi beliau perlu menang kerusi jawatankuasa pusat dan jika boleh menang besar untuk terus kekal relevan dengan kepimpinan DAP. Selepas beliau memenangi kerusi berkenaan, 30 orang ahli jawatankuasa pusat ini mengundi sesama mereka untuk menentukan barisan kepimpinan tertinggi parti. Guan Eng terpilih sebagai pengerusi DAP.
PENGARUH KELUARGA LIM
Walaupun di bawah sistem sosialis DAP, Setiausaha Agung adalah pemimpin parti, bukan pengerusi, tetapi dengan menduduki salah satu kerusi jawatankuasa pusat dan kemudian sebagai pengerusi, bisa dan pengaruh Guan Eng tidak hilang bersama jawatan Setiausaha Agung yang disandangnya dahulu.
Sebaliknya, kehadiran Guan Eng dan bapanya sebagai mentor hanya akan terus mengukuhkan pengaruh beliau malah menjadikan pemimpin baharu DAP, Anthony Loke lebih berada dalam keadaan serba salah dan tidak selesa kerana kepimpinan beliau dibayangi oleh seorang bekas ketua lama yang masih berada di dalam barisan utama.
Bukan itu sahaja, seorang lagi ahli Dinasti Lim iaitu anak perempuan Kit Siang, Lim Hui Ying turut memenangi salah satu kerusi jawatankuasa pusat DAP.
Facebook dua buah akhbar Cina, Oriental Daily dan Sin Chew dipenuhi dengan komen-komen yang kritikal ke atas keputusan Kit Siang untuk bersara di sebelah pagi dan kembali untuk menerima jawatan mentor di sebelah petang.
Akhbar yang lebih pro DAP, Kwong Wah Yit Poh turut tidak menyatakan sesuatu yang positif terhadap jawatan baharu Kit Siang.
Malah, terdapat komentar yang lebih berterus terang seperti yang dilakukan oleh akhbar berbahasa Mandarin yang berpusat di Pulau Pinang, Guang Ming Daily yang menyebut, drama persaraan itu adalah satu muslihat untuk melindungi keberadaan Dinasti Lim dalam barisan hadapan DAP.
Pengaruh media Cina sangat kuat dalam kalangan masyarakat itu dan apa yang berlaku pada Konvensyen DAP tidak memberangsangkan mereka, kata seorang pengarang media berkenaan kepada Belalang.
Dalam situasi di mana MCA sedang melakukan kemunculan semula dalam kalangan masyarakat dan komuniti Cina, apakah keluarga atau Dinasti Lim telah tersalah membuat perkiraan dalam permainan politik mereka?
Belalang - Hanya pandai buat surat khabar sahaja.
Klik di sini untuk terus membaca