DALAM bahasa mudah, kalau kita guna 100 biji lampu elektrik dan semua dinyalakan, 14 biji daripada jumlah itu akan menggunakan elektrik yang dijana oleh syarikat milik kerajaan China. Sebelum ini, semuanya dinyalakan oleh kuasa elektrik... Klik di sini untuk terus membaca

DALAM bahasa mudah, kalau kita guna 100 biji lampu elektrik dan semua dinyalakan, 14 biji daripada jumlah itu akan menggunakan elektrik yang dijana oleh syarikat milik kerajaan China.

Sebelum ini, semuanya dinyalakan oleh kuasa elektrik yang dijana oleh syarikat-syarikat tempatan. namun, sejak tahun 2015, akibat skandal 1MDB, China General Nuclear Power Corporation (CGN) muncul sebagai penjana elektrik kedua terbesar di Malaysia selepas Malakoff Berhad.

Ia berlaku apabila 1MDB yang kesuntukan duit untuk membayar faedah hutang telah menjual anak syarikat milik penuhnya, Edra Global Energy Sdn Bhd kepada CGN iaitu sebuah syarikat milik negara China.

Inilah antara kesan sampingan konspirasi pencurian harta awam melalui skim 1MDB. Malangnya banyak orang, khususnya Melayu, masih tidak jelas malah ada yang tidak percaya.

Pada peringkat awal pendedahan skandal itu sebahagian besar media massa berbahasa Melayu memihak kepada Perdana Menteri waktu itu, Datuk Seri Najib Tun Razak. Penjualan Edra Global kepada syarikat pemerintah China adalah antara contoh hilang daulat akibat daripada skandal 1MDB.

Edra Global yang ditubuhkan pada tahun 2014 itu kononnya bertujuan menjadikan 1MDB penjana elektrik bebas (IPP) utama di Malaysia walaupun pada masa itu sudah ada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) iaitu Tenaga Nasional Berhad yang bergiat dalam bidang sama.

Macam urusan-urusan lain berkaitan 1MDB, perniagaan Edra mengambil jalan pintas sebab hendak dapat duit cepat. Jadi, ia tidak membina penjana sendiri sebaliknya membeli penjana-penjana bebas (IPP) sedia. 1MDB membayar RM12 bilion bagi penjana-penjana hujung usia tersebut.

Apabila sesak duit untuk membayar faedah hutang 1MDB, IPP berkenaan dijual kepada CGN dengan harga RM9.83 bilion saja.

Inilah jenis perniagaan atas angin 1MDB yang tujuannya bagi membolehkan individu tertentu membuat duit mudah menggunakan nama dan jaminan kerajaan.

Dalam perbicaraan bekas pengurus kanan Goldman Sachs, Roger Ng di Mahkamah Persekutuan Amerika di New York yang berlangsung sekarang, lagi banyak ‘najis’ berkaitan 1MDB yang melibatkan Najib, anggota keluarga dan konco-konconya didedahkan.

PAKATAN

Goldman Sachs ini adalah bank pelaburan yang digunakan oleh Najib bagi meminjam AS$6.5 bilion (kira-kira RM27.3 bilion) atas nama 1MDB dengan jaminan Kerajaan Malaysia.

Mahkamah Amerika itu diberitahu oleh agen Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI), Eric Van Dorn, AS$756 juta (RM3.17 bilion) diambil oleh Najib, AS$1.42 bilion (RM6 bilion) dicuri oleh Jho Low dan selebihnya dijarah oleh pelbagai pihak termasuk penasihat-penasihat Najib berketurunan Melayu.

Daripada keterangan itu juga, timbul semula cerita berlian merah jambu berharga AS$23 juta (RM96.6 juta) yang direka khas oleh tukang emas tersohor New York, Lorraine Schwartz untuk Datin Seri Rosmah Mansor. Namun, Rosmah menafikannya.

Turut terdedah adalah cerita Jho Low dan Tim Leissner berpakat melakukan rasuah dengan jenama besar dalam sektor korporat Malaysia iaitu Empayar Lim, pemilik Genting Highlands.

Leissner yang berupa bekas eksekutif kanan Goldman Sachs memberitahu mahkamah, dia dan beberapa orang lain menerima AS$28 juta (RM117.6 juta) daripada Genting Power Holdings Ltd pada tahun 2012.

Katanya, atas arahan Jho Low sebanyak AS$14 juta (RM58.8 juta) daripada jumlah itu telah dipindahkan kepada seorang ahli keluarga Lim bagi membantu penjualan IPP milik mereka kepada1MDB.

Kesimpulannya, penipuan adalah business plan 1MDB. Semua jenis pinjaman dan perbelanjaan adalah bertujuan rasuah serta setiap pihak yang terlibat mendapat habuan.

Kalau betul propaganda Najib menubuhkan 1MDB mahu mencari wang untuk UMNO, sepatutnya hari ini parti itu sudah kaya- raya.

Daripada bukti-bukti yang dikemukakan kepada mahkamah di Malaysia, Amerika Syarikat dan Singapura, duit curi 1MDB itu masuk ke akaun peribadi Najib, Jho Low, anak, isteri dan konco-konco mereka.

Akhirnya, kita rakyat jelata Malaysia terpaksa tanggung lebih RM50 bilion hutang 1MDB. Sebanyak RM38.81 bilion masih berbaki dan akan habis dibayar hanya pada tahun 2039.

Wallahuaklam.

* Datuk A Kadir Jasin ialah Tokoh Wartawan Negara

Klik di sini untuk terus membaca