SEBUAH pasukan khas Ukraine dikenali sebagai Rejimen Azov kerap kali menjadi sasaran media sosial pro-Rusia termasuk kedutaan Rusia di Paris dan London.
Rusia menggelar rejimen itu sebagai Batalion Nazi dan dijadikan antara sebab Moscow menyerang Ukraine pada 24 Februari lalu.
Rejimen Azov muncul dalam hampir semua laporan berita di Rusia sejak perang meletus di Ukraine.
Moscow pula telah menyatakan bahawa Rusia akan membebaskan Ukraine daripada Nazi apabila perang tersebut meletus.
Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy yang berbangsa Yahudi pula digambarkan menerusi televisyen Rusia sebagai pemimpin kerajaan berhaluan neo-Nazi yang disusuli oleh kumpulan Azov.
Rejimen ini kini berperang di bandar pelabuhan Mariupol, selatan Ukraine yang mana tentera Chechen turut ditempatkan di bandar raya tersebut.
Menteri Luar Rusia, Sergei Lavrov turut menggunakan penempatan rejimen Azov untuk mewajarkan serangan bom di wad bersalin di Mariupol.
Rejimen itu yang dibentuk pada tahun 2014 pertama kali dikerahkan untuk bertempur dengan kumpulan pemisah pro-Rusia di timur Ukraine.
Sejak itu, ia disatukan ke dalam pasukan keselamatan Pengawal Kebangsaan di bawah perintah Kementerian Dalam Negeri Ukraine.
Ia diasaskan oleh aktivis-aktivis sayap kanan dan antara pengasasnya ialah Andriy Biletsk iaitu bekas anggota Organisasi separa tentera Patriot Ukraine.
Biletsk ialah bekas samseng bola sepak kulit putih yang dikaitkan dengan penyokong kelas bola sepak FC Metalist Kharkiv yang dikenali sebagai Sect 82.
Dikenali sebagai Bely Vozd atau Penguasa Putih oleh para penyokongnya Biletsky telah menyatakan misinya adalah untuk memimpin kaum kulit putih di dunia dalam perang salib terakhir untuk kelangsungan kehidupan mereka.
Berikutan kemenangan batalion itu di Mariupol dan Marinka pada musim panas 2014, ia yang terkenal kerana memakai pakaian hitam, memakai tatu Nazi dan berperang dengan swastika yang terdapat pada topi keledarnya.
Ia secara rasminya diserap ke dalam pasukan keselamatan Pengawal Kebangsaan pada November tahun itu sebelum bertukar menjadi rejimen.
Bekas Presiden Ukraine, Petro Poroshenko pernah menyampaikan Pingat Keberanian Pangkat III kepada Biletsky.
Pada awalnya, batalion itu disertai oleh anggota-anggota sukarelawan dan memakai lambang mirip cangkuk serigala yang mengingatkan pada simbol yang pernah digunakan oleh unit SS Nazi Jerman.
Ia dinamakan sempena nama Laut Azov di selatan Ukraine dan menjadi terkenal kerana dapat menguasai semula Mariupol dari kumpulan pemisah yang disokong oleh Rusia pada tahun 2014.
EKSTREMIS
Rejimen Azov juga terlibat dalam perang propaganda dan menyiarkan berita kemenangan menerusi aplikasi Telegram yang sering disertai dengan video yang menunjukkan kereta-kereta kebal Rusia terbakar dan menggelarkan Rusia sebagai fasis sebenar.
Unit itu mempunyai anggota-anggota yang dianggarkan berjumlah antara 2,000 hingga 3,000 orang.
Rejimen itu tidak lari daripada kontroversi dan pernah dituduh oleh Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kerana terlibat dalam jenayah perang termasuk penyeksaan, rompakan, penahanan yang menyalahi undang-undang dan dikaitkan dengan penindasan masyarakat Roma di Ukraine serta golongan lesbian, gay, biseksual termasuk transgender (LGBT).
Etnik Roma iaitu kelompok Indo-Aryan dan sebahagian mereka tidak mempunyai dokumen pengenalan diri serta hidup dalam kemiskinan.
Ketika ini, rejimen itu dilaporkan cukup kejam kerana mahu menyalutkan peluru dengan lemak babi dengan harapan akan menyebabkan penderitaan maksimum kepada mana-mana askar Muslim Chechnya yang akan ditembak dalam perang Ukraine.
Menurut portal berita Global Times dari China, Batalion Azov didapati mempunyai hubungan bukan sahaja dengan pihak berkuasa Ukraine tetapi juga dengan Amerika Syarikat (AS).
Ia menyatakan bahawa selepas meneliti maklumat awam daripada kerajaan AS dan beberapa laporan penyiasatan oleh wartawan Barat, terdapat ahli politik, tentera dan pegawai perisikan Amerika yang berkemungkinan besar telah bekerjasama dengan Batalion Azov untuk memupuk pasukan ekstremis di Eropah Timur bagi menentang Rusia.
Batalion Azov dianggap sebagai kumpulan perkauman kanan yang berjaya mendirikan satu batalion.
Seorang saintis politik di Institut Nasional Perancis untuk Bahasa dan Peradaban Oriental, Sergei Fediunin menyatakan bahawa dalam konteks Rusia, istilah nazisme dan fasisme membangkitkan kejahatan mutlak.
Satu-satunya pilihan yang ada adalah melawan dan menghancurkannya, katanya sebelum ini seperti dilaporkan oleh AFP.
Rusia pernah mengeluarkan propaganda juga menyasarkan kumpulan nasionalis Ukraine yang memerangi Kesatuan Soviet selepas tahun 1945 dan pemimpin mereka, Stepan Bandera pernah bekerjasama dengan Nazi Jerman.
Itulah sebab kenapa Rusia membenci kepada Batalion Azov. Persoalannya, adakah kebencian itu boleh menghalalkan serangan Rusia ke atas Ukraine ketika ini?
Klik di sini untuk terus membaca