KETIKA dunia tertumpu kepada konflik di Ukraine, tidak ramai yang tahu cabaran dan perjuangan penduduk Afghanistan untuk terus hidup. Menurut Program Makanan Sedunia PBB, hanya dua peratus daripada penduduk Afghanistan mempunyai makanan... Klik di sini untuk terus membaca

KETIKA dunia tertumpu kepada konflik di Ukraine, tidak ramai yang tahu cabaran dan perjuangan penduduk Afghanistan untuk terus hidup.

Menurut Program Makanan Sedunia PBB, hanya dua peratus daripada penduduk Afghanistan mempunyai makanan yang mencukupi. Lebih 3 juta kanak-kanak menghadapi masalah kekurangan zat makanan, manakala sejuta orang lagi dijangka mati akibat kelaparan.

Masyarakat antarabangsa khasnya media Barat, cepat mengaitkan bencana itu dengan pemerintahan Taliban berikutan kejatuhan Kabul pada 15 Ogos 2021.

Namun, mereka bersikap dingin untuk mencari punca sebenar yang melumpuhkan ekonomi Afghanistan.

Ia mungkin disebabkan rasa malu akibat kejatuhan kerajaan Afghanistan pimpinan Ashraf Ghani yang disokong oleh Amerika Syarikat (AS) dan pengunduran tentera AS dalam keadaan terhina kerana terpaksa berundur lebih awal daripada tempoh yang waktu ditetapkan.

Pada masa sama, kembalinya kuasa Taliban iaitu sebuah organisasi dalam senarai sekatan ekonomi AS.

Justeru, AS telah membekukan aset simpanan Bank Pusat Afghanistan sebanyak AS$9.5 bilion. Sebahagian besar daripadanya berada dalam akaun dengan Rizab Persekutuan institusi kewangan yang berpangkalan di New York, AS.

Dengan berbuat demikian, pentadbiran baru Taliban telah dinafikan akses kepada rizab Afghanistan. Langkah ini menyebabkan para peniaga dan penduduk Afghanistan yang menggunakan bank Afghanistan untuk urusan perniagaan terhindar daripada akses kepada dolar AS sekali gus urusan perniagaan antarabangsa serta ekonomi terjejas teruk.

Kemiskinan di Afghanistan semakin berleluasa dan kesukaran untuk memperoleh makanan dan peralatan pemanas ketika musim sejuk menjadikan keadaan di Afghanistan amat menyedihkan.

Kini, hampir keseluruhan penduduk Afghanistan berada di ambang bawah paras kemiskinan. Kadar kemiskinan dijangka melonjak kepada 97 peratus menjelang Jun 2022 daripada 72 peratus pada September menurut perangkaan PBB.

PEMBEKUAN ASET

Keadaan ini mengakibatkan ekonomi dan sosial di Afghanistan dijangka menjadi semakin teruk. Bagaimanapun AS dan sekutunya masih bertekad untuk menyisihkan diri sepenuh daripada pentabiran Taliban dengan menghindar Taliban daripada sistem kewangan antarabangsa atas nama menentang pencabulan hak asasi manusia oleh rejim terhadap rakyat Afghanistan.

Walaupun pembekuan aset bertujuan untuk mempertahankan hak asasi penduduk Afghanistan, ironinya yang menjadi mangsa adalah rakyat Afghanistan.Kerajaan AS di bawah pentabiran Presiden Biden telah membuat perintah eksekutif supaya aset dolar AS$7 bilion milik Bank Pusat Afghanistan dicairkan dan dibahagikan kepada dua.

Satu bahagian akan diperuntukkan kepada dana amanah yang dikawal AS untuk tujuan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Afghanistan, manakala bakinya diagihkan kepada keluarga dan saudara mara mangsa serangan pengganas 11 September.

Persoalannya, bagaimana percairan aset milik bank pusat Afghanistan dapat membantu meringankan beban penduduk Afghanistan?

Bagaimanapun, pentadbiran Biden menegaskan bahawa perintah eksekutif presiden bertujuan untuk membantu penduduk Afghanistan dan menghindar pihak Taliban memperoleh sumber kewangan tersebut. Realitinya, kelewatan untuk mencairkan dana untuk sampai kepada rakyat Afghanistan hanya akan menambahkan lagi derita mereka.

Bantuan kemanusiaan dari luar negara perlu diselaraskan oleh PBB bersama organisasi-organisasi antarabangsa kemanusiaan seperti Persatuan Bulan Sabit Merah.

Persoalannya, mengapa dana dan aset milik Bank Pusat Afghanistan bernilai AS$3.5 bilion telah dicairkan perlu dikongsi dengan keluarga dan saudara mara mangsa serangan pengganas 11 September? Pernahkah AS mendapat persetujuan daripada penduduk Afghanistan terlebih dahulu? Adakah ini tindakan unilateral pentabiran Joe Biden? Apakah rasionalnya?

Perlu ditegaskan, yang bertanggungjawab atas serangan adalah kumpulan al-Qaeda.

Faktanya, rakyat Afghanistan telah dihukum tanpa sebab buat kali pertama apabila AS melancarkan ‘perang melawan keganasan’, walaupun bukan semua orang Afghanistan tidak bertangungjawab.

Peperangan itu berjaya merealisasikan agenda ‘perubahan rejim’ AS untuk menamatkan pemerintahan Taliban.

Hakikatnya, keputusan pentadbiran terbaharu Biden untuk membayar keluarga mangsa 11 September menggunakan dana Afghanistan juga merupakan satu bentuk hukuman.

* Dr Roy Anthony Rogers ialah Profesor Madya di Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik Universiti Malaya

Klik di sini untuk terus membaca