PERTIKAIAN mengenai hal ehwal kekeluargaan sering kali membuka pekung antara pihak-pihak yang bertikai.
Di mahkamah, kedua-dua pihak berusaha keras membuktikan dakwaan masing-masing dan adakalanya mereka tersasar daripada landasan kebenaran.
Segala perkara buruk antara kedua-dua belah pihak akan diperdengarkan bagi mempengaruhi hakim membuat keputusan memihak kepada mereka.
Terbaru, Perdana Menteri membuat pengumuman membekukan akaun bank suami jika culas membayar nafkah. Pengumuman seterusnya dibuat iaitu membuat perintah perceraian bersekali dengan perintah nafkah.
Namun dalam perbicaraan perceraian, tidak kira siapa yang memenangi perbicaraan itu sebenarnya yang kalah ialah anak-anak hasil daripada perkahwinan mereka itu.
Anak-anak yang tidak berdosa ini akan kehilangan salah seorang daripada ibu bapa mereka. Anak-anak ini tidak dapat menikmati kehidupan berkeluarga sebagaimana yang dinikmati oleh anak-anak lain.
Kajian mendedahkan, anak-anak daripada keluarga yang bercerai-berai keciciran dalam pelajaran mereka. Mereka terpaksa berdepan trauma yang kuat akibat perceraian ibu bapa. Apatah lagi apabila media mensensasikan kisah perceraian ibu bapa mereka.
Tentulah terpalit perasaan malu, gusar dan tidak senang hati di dalam kalbu anak-anak kecil ini. Ibu bapa harus faham yang bercerai adalah mereka tetapi kasih sayang anak-anak tidak boleh diceraikan.
PENYIARAN DI MEDIA
Perbicaraan pembubaran perkahwinan bagi orang bukan Islam dibuat di Mahkamah Tinggi Sivil manakala bagi orang Islam pula di Mahkamah Syariah.
Terdapat suatu akta yang dinamakan Akta Prosiding Kehakiman (Peraturan Laporan) 1962 (Akta 114) yang berkuatkuasa di Malaysia Barat pada 15 Mac 1963 dan di Malaysia Timur pada 30 September 1965 yang bertujuan untuk mengawal penerbitan laporan prosiding kehakiman bagi menghalang kerosakan moral awam.
Akta ini antara menghalang penerbitan dalam akhbar, majalah dan sebagainya daripada melapor atau menyiarkan; a) sebarang perkara sumbang atau lucah ataupun perkara-perkara perubatan atau psikologi secara terperinci yang boleh merosakkan moral awam; b) berkaitan dengan perbicaraan pembubaran perkahwinan, pembatalan perkahwinan, pemisahan kehakiman; atau c) prosiding domestik.
Pengecualian yang diberikan oleh akta ini ialah tentang penyiaran nama, alamat dan pekerjaan pihak-pihak ataupun saksi. Alasan permohonan, pertuduhan ringkas, pembelaan dan tuntutan balas juga dibenarkan untuk disiarkan. Begitu juga dengan hujah-hujah dari aspek undang-undang dan penghakiman yang dibuat oleh mahkamah oleh disiarkan.
Sesiapa yang didapati bertindak berlawanan dengan perkara di atas jika disabitkan kesalahan boleh dipenjarakan untuk suatu tempoh tidak melebihi empat bulan atau denda tidak melebihi seribu ringgit atau kedua-duanya sekali.
Walaupun akta ini adalah akta lama namun ia telah berjaya mengawal laporan atau penyiaran tentang prosiding perbicaraan pembubaran perkahwinan dan prosiding domestik di Mahkamah Tinggi Sivil.
Berbeza pula keadaannya di mahkamah syariah kerana pemakaian akta ini tidak dipanjangkan penggunaannya di Mahkamah Syariah.
Sudah sampai masanya aplikasi Akta Prosiding Kehakiman (Peraturan Laporan) 1962 (Akta 114) ini dipanjangkan kepada prosiding di Mahkamah Syariah. Dengan cara ini pihak-pihak terutamanya anak-anak akan dapat dilindungi hak mereka. Begitu juga rasa hormat kepada mahkamah syariah juga akan data dikembalikan.
Melalui akta ini, umat Islam tidak akan ditertawakan dengan kisah-kisah perceraian yang amat memalukan.
* Datuk Zainul Rijal Abu Bakar ialah Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM)
Klik di sini untuk terus membaca